Salam,dalam artikel ini kita akan lihat sebesar mana dan sejauh mana pengaruh Srivijaya dalam lembaran sejarah dunia. Bukanlah tujuan saya untuk berlebih lebihan dalam memaparkan sejarah Srivijaya. Namun demikian semua kenyataan saya dalam artikel ini bukanlah didapati dari mimpi, wasiat tok nenek atau alamat ghaib, tetapi sebaliknya ada sokongan daripada sumber-sumber dari kajian yang telah dibuat oleh sejarawan tempatan dan luar. Mungkin ada yang akan mempersoalkan, mengapa mempercayai kajian dari luar? Tujuannya bukanlah untuk mengagungkan kajian mereka, namun sebenarnya kerana terpaksa. Mengapa? Kerana adalah agak sukar untuk kita mencari catatan tentang Srivijaya dalam hikayat atau catatan tempatan, hal ini mungkin kerana kurangnya kesedaran dikalangan rakyat marhaen Srivijaya untuk menulis . Mungkin juga kerana tulisan-tulisan mereka telah musnah atau belum dijumpai dan masih tertimbus dimana-mana, atau telah dicuri! Namun tak usah kita risau kerana bangsa-bangsa luar memang banyak menceritakan tentang kerajaan ini. Dari timur hinggalah ke barat, dari dataran rendah hinggalah ke bumbungan Asia di Tibet. Dari hutan belantara Indochina hinggalah ke Padang pasir di Baghdad dan Parsi. Mereka semua ada mencatat mengenai sebuah bangsa dan kerajaan yang sangat besar dan hebat yakni SRIWIJAYA, SRIBHOJA, SHAMBALA, SAYABIGA, SIBOLGA, SABAG, ZABAJ, SHAVAKA, JAVAKA, CHEVAKA, SVIYAGA…
Sayabiga
Pada tahun 656 masihi dalam catatan Arab di Baghdad ada menyatakan bahawa khalifah telah mengupah sekumpulan puak yang bernama Sayabiga untuk menjadi pengawal Baitulmal atau harta kerajaan. Sarjana hari ini masih tidak dapat memutuskan dari mana asalnya mereka ini. Malahan catatan Arab juga tidak mengetahui asal usul perkataan Sayabiga kerana ia bukan bahasa Arab mahupun Parsi . Namun mereka sependapat bahawa puak ini berasal dari pantai utara al Sind atau al hind. Dalam catatan Arab dan Parsi mereka juga terkenal sebagai penanam Padi dan penternak Kerbau. Kawasan Basra pada suatu masa dahulu terutama pada zaman kerajaan Sasanid , Bani Ummayyah serta Abbasiah pernah menjadi pembekal beras kepada seluruh Jajahan Empayar . Namun dari mana asalnya padi atau beras ini? Ada sarjana berpendapat bahawa padi dan Kerbau dibawa masuk ke Iraq atau Basra oleh Puak Sayabiga. Siapa sebenarnya puak Sayabiga ini?
Kajian terbaru menyatakan bahawa mereka ini adalah tentera upahan daripada tak lain dan tak bukan orang-orang Nusantara dari kerajaan SRIVIJAYA. Ini dapat menjelaskan unsur persamaan diantara perkataan Srivijaya dan Sayabiga yang berasal daripada sebutan Arab Sabag atau Zabaj, Zanj, Zanaj. Apa yang menarik lagi adalah, puak Sayabiga ini dikatakan sebagai Sea Gypsy atau pelaut yang sangat handal dan penguasa kapal-kapal. Mereka digaji oleh kerajaan Parsi dan kerajaan Umayyah kemudiannya untuk menjadi warden, pengawal, polis dan tentera laut. Gabriel Ferrand menyatakan bahawa:
Kajian terbaru menyatakan bahawa mereka ini adalah tentera upahan daripada tak lain dan tak bukan orang-orang Nusantara dari kerajaan SRIVIJAYA. Ini dapat menjelaskan unsur persamaan diantara perkataan Srivijaya dan Sayabiga yang berasal daripada sebutan Arab Sabag atau Zabaj, Zanj, Zanaj. Apa yang menarik lagi adalah, puak Sayabiga ini dikatakan sebagai Sea Gypsy atau pelaut yang sangat handal dan penguasa kapal-kapal. Mereka digaji oleh kerajaan Parsi dan kerajaan Umayyah kemudiannya untuk menjadi warden, pengawal, polis dan tentera laut. Gabriel Ferrand menyatakan bahawa:
The Sayabiga are the descendant of ancient Sumatran immigrant to India then to Iran and Persian gulf, where there is evidence if their existence before Islam. This is not surprising because we know from other sources also that the Sumatran colonized Madagascar at a very early date. The eastern route is very familiar to them.
Sesetengah sarjana berpendapat mereka berasal dari pesisir pantai selatan Parsi. Namun mereka bukanlah orang Parsi. Bahasa dan cara hidup serta rupa paras mereka berbeza dengan Puak-puak parsi yang lain. Apa yang menarik lagi bahawa catatan Al Masudi ada menyatakan bahawa semasa Saidina Ali diserang dalam perang Siffin yang terkenal dalam sejarah Islam, orang-orang kufah yang datang membantu Saidina Ali termasuklah puak Sayabiga. Sejak dari hari itu puak Sayabiga dikatakan telah menganut fahaman Shiah. Ada sedikit puzzle yang hendak saya tunjukkan disini. Saya pernah mendengar satu riwayat dari para pengamal tarian kuda kepang bahawa tarian ini adalah berasal daripada pengalaman seorang Nusantarian yang melihat kuda tunggangngan Saidina Ali naik berang dalam perang. Adakah peristiwa ini berdasarkan kisah yang sebenar? Walau apapun jawapannya, tidak dapat kita nafikan lagi bahawa pengaruh empayar Melayu srivijaya bukan terhad kepada nusantara sahaja malahan hingga ke Baghdad! Sebelum ini memang ada bukti bahawa Maharaja Srivijaya pernah menghantar surat kepada Khalifah Umar abdul Aziz. Ini bermakna sebenarnya sejak awal lagi Srivijaya telah memainkan peranan yang besar dalam sejarah kerajaan-kerajaan dunia. hal Ini mengukuhkan lagi teori yang menyatakan bahawa sebelum kedatangan islam lagi orang nusantara telah mengadakan hubungan perdagangan dan membuka penempatan di pelabuhan-pelabuhan utama di seluruh dunia sebelah sana.
Saudara sekalian sebenarnya, sejak turun temurun Parsi adalah salah satu rakan dagangan Nusantara yang sangat akrab. Ini dibuktikan dengan kolonialisasi penduduk dari Sayabiga atau Srivijaya di selatan Iran. Kajian daripada Prof Asyaari Muhammad seorang ahli arkeologi UKM menunjukkan bahawa sememangnya hubungan diantara Kerajaan Parsi dari dinasti awal lagi telah berlaku dengan Nusantara. Beliau telah membuat perbandingan diantara tembikar berglaze biru yang dijumpai di beberapa tapak di negara ini dengan yang terdapat di Parsi dan hasilnya ternyata sama. Ini dapat menjelaskan puzzle mengapa banyak perkataan Parsi dalam vocabulari bahasa Melayu selain bahasa Arab, antaranya ialah bandar, dewan, domba, kahwin, kelasi, kenduri, medan, piala, nobat, pasar, nakhoda, saudagar, pahlawan, jam, serunai kurma dan gandum . Catatan Arab tentang Kalah atau Kedah pada era kegemilangannya ada menyatakan tentang barang yang didagangkan di pasarnya. Menurut pencatat tersebut di pasar Kalah ada menjual gandum dan kurma dan rakyatnya memakan gandum sebagai makanan ruji. Darimanakah mereka mendapat gandum ini? Sudah tentu bukan ditanam di Kedah kerana keadaan cuaca dan tanah di sini tidak sesuai untuk penanaman gandum begitu juga Kurma. Sudah tentulah barangan ini diimport dari Parsi yang sehingga sekarang adalah salah satu negara pengimport Kurma terbesar. Sekarang terpulang kepada anda untuk menilai samaada benar atau tidak pelayar Srivijaya pernah sampai ke Basra dan menjadi tentera upahan Dinasti Ummayyah. Apa yang saya buat ialah mengemukakan kajian-kajian yang telah dibuat dan meurmuskannya secara ringkas. Namun pencarian mengenai kemegahan Srivijaya masih belum berakhir.
Sebelum ini saya ada menyebut bahawa adanya perhubungan yang cuba dibuat oleh Maharaja Srivijaya dengan pemerintah Khilafah Ummayyah di Banghdad dan Damsyik. Sebenarnya kajian mengenai ini telah dibuat dan dibukukan oleh S.Q Fatimi dan boleh dibaca dalam internet. Beliau telah menganalisis dua pucuk surat yang dihantar dari Mihraj atau Maharaja Srivijaya kepada Khalifah. Satu surat kepada Muawiyah Bin Abi Sufyan yang bertarikh 661 Masihi dan satu lagi surat kepada Umar Bin Abdul Aziz yang memerintah sekitar 717 masihi. Menurut Fatimi, Raja al hind yang disebut dalam catatan-catatan Arab dalam surat ini adalah dari Kerajaan Zabaj atau Srivijaya. Perlu diingat bahawa Zabaj sebenarnya lebih merujuk kepada kawasan dalam pengaruh sebuah bangsa iaitu Javaka dan bukan nama sebenar sebuah Kerajaan. Namun sebahagian ahli sejarah sepakat mengatakan bahawa Maharaja Zabaj yang disebut-sebut dalam catatan Arab adalah maharaja Kerajaan Srivijaya , kerana Javaka adalah panggilan orang-orang India dan Sri Lanka kepada orang Melayu Nusantara dan bukan bererti orang Jawa dari pulau Jawa sahaja.
Surat pertama telah dicatatkan mengenainya oleh Al- Jahiz dalam kitabnya Al hayawan. Menurut Jahiz, Abdul al Malik bin Umar melihat surat tersebut di pejabat setiausaha Khalifah Muawiyah yang kemudiannya telah diberikan kepada Abu ya’kub al Thaqafi yang kemudian pula memberikan kepada Al Haytham yang menjadi sumber kepada Ibnu jahiz.
Namun malangnya Jahiz hanya mencatat mukaddimah surat tersebut sahaja dan tidak keseluruhannya. Catatan itu berbunyi:
… ini surat dari Raja Al Hind, yang didalam kandangnya ada beribu-ribu gajah dan istananya dibina dari emas dan perak yang berkilauan, yang dilayan oleh beribu anak perempuan Raja-raja, yang menguasasi dua Sungai yang mengairi tanah-tanah subur, kepada Muawwiyah…
Surat kedua ditemui dalam Al-Iqd al Farid oleh Ibnu Rabbih sekitar 860-940 Masihi yang menyatakan bahawa sumbernya diperolehi daripada Nuaim Bin Hammad. Nuaim menyatakan bahawa Raja Al Hind telah menghantar sepucuk surat kepada Khlifah Umar Bin Abdul aziz seperti berikut:
Dari raja kepada Raja yang berketurunan dari seribu raja, yang kandangnya dipenuhi dengan beribu gajah dan kawasan taklukannya adalah dua sungai yang mengairi tanam-tanaman, wangi-wangian, pohon pala dan kapur wangi, yang wangiannya semerbak sehingga 12 batu jauhnya…kepada raja Arab, yang tidak menyekutukan tuhan dari tuhan yang satu. Beta telah menghantar hadiah, yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan dan beta harap agar anda menghantar seseorang yang dapat mengajarkan ajaran Islam serta menunjukkan undang-undangnya. (ini terjemahan saya sendiri berdasarkan terjemahan Inggeris).
Ada beberapa persoalan yang perlu dirungkaikan mengenai surat ini. Yang pertama ialah siapa sebenarnya maharaja yang bersedia memeluk agama Islam tersebut., yang kedua adakah benar bahawa ada salah seorang maharaja Srivijaya telah diislamkan, dan persoalan ketiga mengapa ada banyak persamaan diantara surat Maharaja atau Mihraj ini dengan surat-surat yang dihantar oleh Prester John? Persoalan pertama dan kedua sebenarnya telah cuba dijawab oleh S.Q Fatimi, jadi saya tidak mahu menyentuhnya disini kerana tidak mahu memanjangkan artikel. Yang ingin saya sentuh adalah persoalan ketiga, yakni adanya persamaan diantara diskripsi atau gambaran tentang kerajaan Prester John dengan kerajaan Mihraj Al Hind atau Srivijaya/ Zabaj.
Prester John dan Maharaja Srivjaya
Beberapa abad setelah seorang maharaja menghantar surat kepada Khalifah di Baghdad, perkara yang sama juga telah berlaku kepada kerajaan Byzantine di Barat dan juga kepada Pop. Seperti dalam surat Mihraj, surat Prester John turut menyebut mengenai hadiah kepada pemerintah yang menerima surat tersebut. Namun ini adalah perkara biasa dalam perhubungan diantara satu pemerintah dengan pemerintah yang lain. Surat Prester John juga sebenarnya mempunyai mukaddimah yang berbunga-bunga sepertimana surat yang pernah dihantar oleh Maharaja kepada Khalifah. Apa yang menariknya kedua-dua pemerintah misteri dari timur ini menggelar diri mereka sebagai raja segala raja atau King of kings/ Malik al amlak. Kedua-dua raja ini juga menyatakan dalam suratnya bahawa mereka mempunyai gajah-gajah yang banyak dalam kekuasaan mereka. Tambahan lagi kedua-dua pemerintah tersebut dengan bangga menyatakan bahawa mereka mempunyai Istana dari logam-logam berharga seperti emas dan perak.
Jika dalam surat Maharaja, baginda telah meminta agar dihantarkan orang utuuk mengajarkan mengenai ajaran dan hukum Islam, manakala dalam surat Prester John pula baginda meminta agar diajarkan tentang ajaran Kristian Katholik. Dalam satu versi lain oleh Ibnu Tighribi mengenai surat kepada Umar abdul aziz, dibahagian akhir suratnya berbunyi:
"I have sent you a present of musk, amber, incense and camphor, Please accept it, for I am your brother in Islam." This would imply that the Mihraj had accepted Islam”.
Menurut S.Q fatimi, berkemungkinan besar memang Maharaja tersebut telah memeluk Islam. Namun demikian setelah kematian baginda agama Islam tidak diamalkan oleh penggantinya dan ditolak oleh pembesar-pembesar. Beliau menambah bahawa ada campurtangan kerajaan Tang yang tidak ingin melihat orang Islam memonopoli perdagangan di Selat Melaka.Tang dikatakan telah menghantar dutanya untuk membuat kekacauan di Istana Srivijaya dan menghasut pembesarnya memberontak.
Seperti juga Maharaja Srivijaya atau Zabag, Maharaja misteri ini turut mengamalkan polisi pintu terbuka demi kesejahteraan kerajaannya. Sifat keterbukaan dan diplomatik ini memang bersesuaian dengan polisi yang sentiasa diamalkan oleh kerajaan-kerajaan melayu di Nusantara terutama Srivijaya dan Melaka. Polisi sebeginilah yang telah menyebabkan kerajaan Melayu terkenal di seluruh dunia. Dalam surat tersebut juga ada menyatakan bahawa baginda adalah penguasa dua sungai. Menurut S.Q, dua sungai yang dimaksudkan dalam surat tersebut adalah sungai Batanghari di Jambi dan sungai Musi di Palembang.
Sebenarnya masih banyak misteri yang menyelubungi surat-surat dari Prester John tersebut. Ada pendapat menyatakan bahawa surat-surat tersebut adalah saduran daripada surat yang bertulisan Arab yang didapati dari negeri Arab yang kemudiannya diterjemahkan kepada bahasa Latin. Pada pendapat saya dakwaan ini berkemungkinan besar adalah benar. Hal ini ada kaitan dengan jarak masa diantara surat Maharaja kepada Khalifah dengan surat Prester John kepada Pop dan Maharaja Byzantine. Surat Prester John dikatakan dihantar semasa dunia Islam dan Kristian sedang berkecamuk dalam peperangan salib. Ada kemungkinan bahawa surat-surat yang asal sememangnya adalah surat kepada Khalifah yang disimpan salinannya di perpustakaan di Syria atau Baitul Maqdis. Setelah Baitulmaqdis ditawan, maka ahli Sejarah Kristian yang menjumpai surat ini bertindak mengubah isi kandungannya untuk kepentingan politik dan propaganda Kristian. Jika tealahan saya ini benar bermakna Prester John yang disebut-sebut oleh orang Kristian barat selama ini adalah Maharaja Srivijaya itu sendiri.
Berbanding dengan catatan dari pencatat Arab yang hanya mengandungi mukaddimah surat berkenaan sahaja, catatan Kristian mengenai Prestor John adalah lebih lengkap ( kononnya). Dalam salah satu surat yang dihantar kepada maharaja Byzantine, Prester John telah dikatakan mengutuk tindakan Byzantine membantu armada Salib menyerang Jeruselem. Namun apa yang pasti dalam surat yang sama juga Prester John ada menyatakan bahawa pada suatu masa nanti ketururunan beginda akan menyerang dan menawan kembali Jeruselem dan Rome di akhir zaman. Bukankah ini bertepatan dengan Hadis tentang Bani Tamim dari timur?
NAMUN DEMIKIAN JANGAN KITA CEPAT TERPEDAYA DENGAN SURAT-SURAT VERSI BARAT YANG BEGITU BANYAK DI PASARAN. Malahan sejak dari abad ke 13 lagi kisah-kisah lagenda mengenai Kerajaan Prester John telah menjadi rebutan para bangsawan dan keluarga diraja serta orang-orang yang mampu membeli buku. Ia seolah-olah menjadi sebuah novel terlaris di pasaran pada ketika itu dan dikatakan telah wujud pelbagai versi yang berlainan dari satu negeri ke negeri yang lain diseluruh Eropah. Oleh kerana itu kesahihan surat tersebut tidak dapat dibuktikan lagi. TELAH BANYAK TOKOK TAMBAH DIBUAT. Malahan menurut sebahagian besar sejarawan tidak pernah ada sebarang hubungan diantara Kerajaan Kristian di barat dengan mana-mana Kerajaan Prester John. Ia hanyalah satu Propa pihak Gereja untuk menaikkan prestij Gereja Katolik yang sedang dalam ancaman pengaruh Islam ketika itu.
Malahan sebenarnya Prester John tidak pernah menyatakan bahawa dia seorang Kristian dalam surat-surat tersebut tetapi dia menyatakan bahawa dia adalah pemyembah tuhan yang satu sama seperti mereka dan mereka adalah saudara. Ini adalah benar kerana dalam Islam orang Kristian dianggap sebagai saudara ahli kitab dan juga penyembah Allah. Yang mengatakan bahawa Prester John adalah Kristian adalah sejarawan katolik barat yang cuba mengubah surat tersebut dan mengaburi mata orang Islam dan kita bangsa MALA.
Salah seorang daripada periwayat mengenai Prester John dan kerajaannya yang terkenal di dunia barat adalah Nicolo De Conti. Nicolo de Conti adalah seorang pengembara dari Itali yang telah menjelajah dunia timur. Sebelum menjelajah dia dikatakan menghabiskan masa beberapa tahun di Syria untuk mempelajari bahasa Arab dan budaya Islam. Catatan barat menyatakan bahawa beliau tidak menganut agama Islam sebaliknya hanya menyamar sebagai orang Islam untuk memudahkan pengembaraannya. Dia juga berkahwin dengan seorang wanita India dan mendapat empat orang anak. Saya sebenarnya kurang percaya dengan dakwaan sejarawan barat ini. Saya yakin bahawa Nicolo de Conti memang benar-benar menganut ajaran Islam namun ditutup oleh Penguasa Gereja Katolik di Venice apabila beliau pulang ke sana.
Daripada kisah-kisah yang dibawa pulang oleh beliau inilah munculnya pelbagai lagenda mengenai Kingdom of Prester John selain daripada surat-surat sebelumnya. Entah bagaimana setelah beliau pulang, kepulangannya sebagai seorang Muslim telah menimbulkan kemarahan Pop dan beliau telah dipanggil untuk menjelaskan kedudukannya. Namun saya rasa dalam keadaan ini untuk menyelamatkan nyawanya dan keluarga beliau terpaksa berbohong dan mengatakan beliau hanya berpura-pura memeluk Islam. Malahan untuk memperlihatkan kehebatan ajaran Kristian dan menutup pengaruh Islam, Prester John telah digambarkan sebagai seorang Kristian dalam buku yang ditulis kemudiannya atas arahan Pop. Namun ini hanya pendapat saya. Terpulang kepada anda untuk menilai.
Saya hentikan artikel ini setakat ini dahulu. Insyallah jika diberi izin oleh-Nya maka akan saya sambung mengenai misteri terkaitnya benang-benar purba Srivijaya dengan tamadun-tamadun di sebelah sana. Masih banyak lagi yang ingin saya sentuh sebenarnya mengenai Prester John , namun oleh kerana kesuntukan masa dan bahan rujukan maka setakat ini sahaja dahulu ( saya berada jauh dari sumber perpustakaan sekarang). Mugkin ada orang yang lebih layak di Blog satu lagi tu... :) yang boleh menyambung kisah ini. Mungkin beliau ada bukti yang lebih lengkap dan hujah yang lebih kukuh dari saya. Saya tinggalkan puzzle-puzzle seterusnya untuk anda kaji dan rungkaikan. Sehingga bertemu kita di artikel seterusnya. Sekian, Wallah hu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan