Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Rabu, Disember 07, 2011

Gelombang Hijau terus mekar


"Mersing,4hb Dis 2011. Gelombang hijau akan terus mekar melebarkan  sayap penguasaannya di dunia  ini setelah kejatuhan gelombang ‘merah’ dan ‘kuning’ (merujuk kepada fahaman komunis dan kapitalis) yang gagal menyelesaikan permasalahan yang berlaku di dunia pada hari ini.

Demikian tegas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Yb. Dato’ Tuan Guru Hj Harun Taib ketika menyampaikan ucapan dan ulasan dalam satu majlis Forum Maal anjuran PAS Kawasan Mersing dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Pusat yang bertajuk ‘ Umat Islam dan Cabaran Semasa’.

Menurut beliau lagi, Allah s.w.t telah menjanjikan kemenangan kepada perjuangan Islam. Perkembangan mutakhir yang berlaku di timur tengah telah membuktikan bahwa  teori yang menyatakan bahawa ‘hijau’ akan mengambil alih penguasaan yang didominasikan oleh ‘merah’ dan ‘kuning adalah satu perkara yang realiti dan bukannya hanya sekadar teori semata-mata. Bahkan ianya diperkukuhkan lagi dengan keyakinan janji kemenangan Islam oleh Allah s.w.t.
Beliau juga turut menyentuh tentang matlamat utama daripada hijrah, menurut beliau hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w bukan sebarangan hijrah tetapi ianya merupakan taktik dan strategi Rasulullah dalam membentuk sebuah negara Islam yang ditegakkan di dalamnya segala kandungan Al-Quran dan apa sahaja wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.
Beliau yang juga merupakan Adun Manir  menegaskan demikian dihadapan lebih kurang 500 hadirin yang telah memenuhi dewan sejak daripada maghrib untuk mendengar  taujihat dan ucapan daripada para barisan kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat yang diadakan di Markas PAS Air Merah, Mersing. Kebanyakan para hadirin terdiri daripada penduduk tempatan dan para penyokong PAS.
Selain beliau, Dr. Mahfodz iaitu Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Johor dan Dr. Khairuddin , Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat turut menjadi panel forum pada malam itu. Forum tersebut dimoderatorkan oleh Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Ismi Taib.
Forum tersebut berakhir dengan jamuan rakyat bersama kepimpinan Dewan Ulamak PAS , Negeri dan Kawasan.
sumber:

http://ulama.pas.org.my" 

Malaysia dijangka paling teruk implikasi krisis Euro

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Malaysia dijangka paling teruk menerima kesan ekoran krisis Euro yang sedang melanda Eropah sekarang, kata pakar ekonomi dari Nomura International hari ini.

Ketua Ekonomist untuk Asia  Ex-Japan Nomura, Robert Subbaraman (gambar) berkata,  berbanding dengan negara Asia yang lain, Malaysia paling teruk kesannya kerana terlalu bergantung dengan komoditi di samping kewangan awamnya yang lemah. 

Beliau menjangka, harga komoditi Malaysia dijangka jatuh teruk ekoran krisis ini dan ia akan memberikan kesan kepada ekonomi Malaysia keseluruhannya, lapor The Malaysian Insider.

Krisis Eurozone telah mengucarkacirkan Greece manakala Perdana Menteri Italy kehilangan jawatannya.

“Ekonomi Malaysia adalah yang paling teruk terkesan ekoran krisis ini, kerana berada dalam kumpulan ekonomi paling lemah," kata Subbaraman dalam sidang media hari ini.

Pakar ekonomomi Nomura untuk Asia Tenggara, Euben Paracuelles pula berkata, pembangunan ekonomi Malaysia untuk tiga suku pertama tahun ini banyak disebabkan oleh perbelanjaan kerajaan, tetapi kewangan awam pada dasarnya lemah dan dia bimbang ia akan berjaya dipertahankan.

Subbaraman juga berkata, Malaysia berada di tempat ketiga di Asia dalam konteks pendedahannya kepada tuntutan dari bank Eropah selepas Hong Kong dan Singapura.

Ini bermakna, asetnya akan mudah cair dan kering jika bank-bank Eropah ini mula bertindak kepada pelanggannya di daerah sini.

Harga komoditi Malaysia dijangka akan jatuh 15 peratus jika krisis ini menyerang Malaysia.

Antara komoditi yang terlibat adalah getah dan kelapa sawit yang selama ini menjadi hasil utama negara dan memberikan sumbangan besar kepada ramai rakyat negara ini.

Turut terkesan adalah badan seperti Felda yang selama ini menjadi sandaran kerajaan BN untuk mendapatkan wang belanja.

Jika harga kedua-dua komoditi ini jatuh, ia akan menyukarkan kerajaan Malaysia untuk memanggil pilihan raya ketika serangan ini berlangsung.

Sebelum ini, pakar ekonomi kerajaan menjangka ekonomi Malaysia akan melonjak ekoran jangkaan kenaikan harga getah dan minyak kelapa sawit di pasaran dunia.

Kini dengan jangkaan baru dari Nomura ini, akan menyebabkan jangkaan awal kerajaan boleh meleset.

Dedahkan gaji bulanan pengerusi NFC

KUALA LUMPUR 7 Dis: Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar National Feedlot Corporation (NFC) mendedahkan gaji bulanan yang dibayar kepada pengerusi eksekutifnya Datuk Mohamad Salleh Ismail.

Selain Mohamad Saleh yang juga suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau juga meminta gaji pengarah-pengarah yang lain didedahkan.

“AMK mencabar NFC mendedah jumlah sebenar gaji yang dibayar kepada pengerusi eksekutif dan pengarahnya.

“Rakyat berhak tahu sebab wang yang dibayar untuk mereka itu datangnya dari rakyat selaku pembayar cukai,” katanya dipetik Keadilandaily.com hari ini.

Sejak awal bulan ini, beberapa maklumat tersebar di internet mendakwa suami Shahrizat memperoleh gaji bulanan sekitar RM100,000 sebulan.

Manakala ketiga tiga anaknya  iaitu Wan Shainur Izmir, 31, (Pengarah Eksekutif) Wan Shahinur Izran, 27 (Ketua pegawai eksekutif)  dan Wan Izzana Fatimah, 25, (pengarah) memperoleh pendapatan RM35,000 hingga RM45,000 sebulan.

Sebelum ini Pakatan Rakyat membuat beberapa pendedahan mendakwa dana rakyat berjumlah RM250 juta yang dianugerahkan kepada NFC telah disalah gunakan.

Dana itu didakwa telah digunakan untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar berharga RM13.8 juta membeli kereta Mercedes berharga RM534,622, dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya dan digunakan untuk melancong ke luar negara.

Hudud:Umno gagal main peranan & MCA keliru

KOTA BHARU, 7 Dis: Kekeliruan di kalangan pemimpin kompenan Barisan Nasional (BN) terhadap perundangan Islam disifatkan ada hubung kait dengan Umno apabila gagal berperanan menjelaskan kedudukan sebenar.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, biar pun Umno sudah lama bersama kompenan-kompenan lain dalam BN, namun kefahaman mengenai undang-undang Islam tidak dijelaskan.
“Sekiranya peranan itu dimainkan Umno sejak dahulu kami rasa pemimpin MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti sekarang.
“Namun malangnya peranan seperti itu mungkin tidak menjadi keutamaan kepada Umno, malah dalam banyak keadaan pemimpin Umno juga tidak menerima perundangan Islam,” katanya di sini.
Baru-baru ini Chua Soi Lek ketika berucap pada forum ‘Hudud dan kesannya ke atas masyarakat non muslim’ mendakwa sistem perundangan hudud tidak adil kepada semua pihak dan boleh menakutkan pelabur.
Dr Mohamed Fadzli berkata, berlainan dengan kompenan dalam Pakatan Rakyat, biar pun baru dibentuk namun mereka cuba memahami mengenai perundangan Islam.
Oleh itu beliau mendesak Soi Lek memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menyentuh sensitiviti agama Islam.
Menurutnya juga pemimpin MCA dan kompenan lain BN tentunya tidak lantang mengkritik perundangan Islam sekiranya Umno menjelaskan mengenai kelebihan hukum hudud.
“Sepatutnya Umno sama-sama mempertahankan hudud, bukan seperti apa yang berlaku sekarang membiarkan pemimpin MCA mempermain-mainkan agama Islam,” ujarnya.

Pembahagian kerusi Pas & Pkr di Kelantan selesai

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, antara PAS dan PKR di Kelantan selesai sepenuhnya.

Mengesahkan perkara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) berkata, kedua-dua parti masing-masing telah bersetuju untuk mengekalkan 'status quo' seperti PRU ke-12 pada 2008 lalu.

"Ya, kita sudah selesai dengan kedua-dua parti bersetuju untuk kekalkan status quo seperti sebelum ini.

"Kita (PAS) setuju dan PKR pun setuju," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, keputusan yang dicapai kira-kira dua bulan lalu itu juga bersetuju untuk mengekalkan kerusi kawasan bertanding masing-masing seperti mana 2008 tanpa sebarang perubahan.

"Dari sudut kawasan bertanding juga kita setuju kekal dan tiada perubahan," katanya lagi sambil memberitahu keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Pakatan Rakyat di peringkat Pusat,

Pada PRU 2008, PAS bertanding di 51 kerusi iaitu 11 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dun, manakala PKR pula bertanding di lapan kerusi iaitu tiga Parlimen dan lima Dun.

13 kerusi parlimen yang ditandingi PAS adalah, Kuala Krai, Gua Musang, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat, Pengkalan Chepa dan Jeli.

Kerusi Dun pula adalah Kelaboran, Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Kijang, Chempaka, Panchor, Tanjung Mas, Kota Lama, Bunut Payong, Tendong, Pengkalan Pasir, Chetok, Meranti, Gual Periok, Bukit Tuku, Salor, Pasir Tumboh, Demit, Tawang, Perupok, Jelawat, Melor, Kadok, Kok Lanas, Bukit Panau, Gual Ipoh, Kemahang, Selising, Limbongan, Semerak, Gaal, Pulai Chondong, Temangan, Kemuning, Bukit Bunga, Air Lanas, Mengkebang, Manik Urai, Dabong dan Galas.

Kerusi Parlimen bagi PKR pula adalah Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala Dun pula adalah Paloh, Nenggiri, Guchil, Pengkalan Kubor dan Kuala Balah.

Selain Kelantan, Pakatan Rakyat Selangor juga sebelum ini memaklumkan telah selesai pembahagian kerusi di negeri itu.

Ketiga-tiga komponen parti iaitu PAS, PKR dan DAP juga masing-masing bersetuju mengekalkan jumlah kerusi mengikut pilihan raya umum yang lalu.

Ugutan Najib membuktikan Umno sedar akan kehilangan kuasa PRU-13

  
KUALA LUMPUR, 7 Dis: PAS menyifatkan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Perdana Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Isnin lalu sebagai berbaur ugutan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, kenyataan Najib bahawa orang Melayu dan umat Islam mesti menyokong Umno BN jika mahu masa depan yang cerah, jelas bertujuan menimbulkan ketakutan kepada orang Melayu.

Ia sekaligus menggambarkan Umno BN seolah-olah semakin sedar mereka akan hilang kuasa selepas pilihan raya umum ke -13 nanti.

"Ada sesuatu yang tidak sihat daripada ucapan itu. Ada kecenderungan di kalangan pemimpin BN, seolah-olah mereka tak boleh terima kalau mereka kalah dalam pilihan raya.

"Kalau ucapan yang dibuat berbau kekerasan kerana nak pertahankan kuasa, ini sesuatu yang sangat berbahaya," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Mazlan juga berkata, Umno BN sebaliknya harus memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan di peti undi, bukan mengugut masa depan mereka menjadi malap sekiranya memilih Pakatan Rakyat.

"Semua pihak sama ada Perdana Menteri ataupun institusi keselamatan seperti polis dan tentera bahkan badan bukan kerajaan seperti Pekida, Perkasa dan sebagainya harus akur dengan mandat yang diberi rakyat.

"Jika dalam pilihan raya umum rakyat beri kepercayaan selain kerajaan yang sedia ada, rakyat harus menghormatinya," katanya.

Tambah Mazlan lagi, beliau yakin ucapan Najib itu mempunyai maksud tersirat iaitu memberi isyarat kepada Pekida agar tidak sekali-kali "belot" dengan parti pemerintah.

Justeru katanya, semua pihak harus berhati-hati dengan ucapan berbaur ancaman dan provokasi itu.

"Saya yakin apa yang diungkapkan Najib ada maksud tersirat yang nak disampaikan kepada pertubuhan seperti Pekida itu.

"Jadi saya harap ucapan yang berbau ancaman dan provokasi ini dapat diteliti oleh pihak polis supaya ini tidak menjadi satu galakan kepada budaya samseng dalam negara kita seperti yang ditunjukkan oleh BN melalui siri gangguan dalam ceramah Pakatan Rakyat yang semakin kerap berlaku," katanya.

Selain itu, tegas Mazlan, ugutan bahawa Melayu akan menjadi bangsa yang bangsat dan merempat jika tidak diperintah Umno BN langsung tidak berasas.

Sebaliknya beliau berkata, nasib Melayu sekarang ini memang sudah tidak terbela angkara Umno sendiri yang mengaut kekayaan untuk kroni mereka.

"Pakatan belum diberi peluang mengambil alih Putrajaya lagi, bagaimana Najib kata orang Melayu akan jadi bangsa yang bangsat, merempat?

"Hari ini pun kalau senaraikan isu orang Melayu, memang dah jadi bangsat pun. Angkara siapa kalau bukan angkara Umno.

"Kononnya kalau bagi kuasa kepada Pakatan Rakyat Melayu akan bangsat, akan merempat, ini kenyataan yang melampau dan tak patut keluar dari mulut Perdana Menteri," katanya.