Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Selasa, Mei 03, 2011

1515-Jejak Nyemah Mulya(Pengenalan)



Ya..masa yang terlalu banyak terluang perlu saya isi. Mendokumentasikan Jejak-Jejak Nyemah Mulya merupakan kerja saya yang paling ‘bermanfaat’ sepanjang tempoh 3 bulan latihan yang saya lalui. Pendokumentasian ini juga merupakan satu tanda hormat dan penghargaan yang mampu saya berikan kepada Faisal atas sumbangannya dalam dunia sastera

SIAPA FAISAL TEHRANI?Dia adalah ‘ikon’ penulis generasi baru (beliau menolak gelaran ‘idola’ kerana kata itu berasal dari perkataan ‘idol’ iaitu batu/berhala. Ini jelas tertulis dalam buku beliau yang berjudul ‘Advencer Si Peniup Ney’)

Memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) sebanyak tiga kali berturut-turut (2002-2004) di samping pelbagai hadiah kesusasteraan yang lain.

Anak Melaka yang kini menetap di Kuala Lumpur ini merupakan penulis sepenuh masa dan yakin bahawa penulisan beliau mampu memberikan sumbangan kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Membaca hasil tulisannya memperlihatkan bahawa beliau seorang penulis yang matang. Kepada pembaca yang teliti akan dapat melihat bahawa penulisan Faisal menggabungkan kekuatan-kekuatan penulis mapan seperti SN Shahnon Ahmad, SN A Samad Said dan SN Keris Mas. Gaya yang tersendiri dalam berkarya, kritis dan sinis serta pembacaan dan pengembaraannya yang luas menjadikan hasil tulisannya membawa kepada percambahan ilmu para pembaca.

I515: KENAPA INGIN DIJEJAKI ?


1515
Melanggar Melaka? Portugis menempah maut!

1511
Tarikh keramat bagi bangsa Melayu, bukannya untuk benggali putih.
Alfonso de Alburquerque, wizurai perkasa yang telah menumpahkan darah puluhan ribu manusia di Ormuz dan Goa, akhirnya bertemu ajal di hujung mata pedang srikandi Melaka

Nyemah,
Tun Nyemah Mulya, perawan usia 15, panglima laksamana Melaka-Luar biasa handal, licik, penuh mekar, berbudi tegar-memimpin armada Nusantara dengan kekuatan 100 bahtera berisi lebih
60 000 tentera, membelah laut segara dengan 2 misi;
Pertama, mengotakan janji kepada Alburquerque mengebumikan jasadnya di Lisbon;
dan kedua, menakluk Portugal

1515
Kisah sejarahwan mencari hakikat sejarah,
Menjejak keagungan bangsa yang dipadam secara terancang;
Mengungkap getir gemuruhnya medan tempur;
Melukis filsafat cinta aneh, bahagia cinta sehala;
Menjulang luhur pengorbanan perempuan srikandi,
Perempuan isteri

“Petikan Blurb 1515, Cetakan 2003”


Blurbnya sahaja telah membangkitkan persoalan. Walaupun ramai yang tahu, 1515 mengisahkan sejarahwan yang cuba merungkai sejarah, 1515 juga menonjolkan tentang luhur pengorbanan perempuan serikandi dan juga isteri (yang mungkin ramai yang terlepas pandang).

Membaca novel 1515 ini memberikan saya kepuasan. Walaupun ia bukanlah sebuah novel yang begitu kuat kritik politiknya sepertimana “Perempuan Politikus Melayu” namun novel ini tetap sarat dengan kritikan halus dan pengajaran (kepada yang menyedarinya).

“ Di balairung seri sungguh padat manusia bersesak-sesak ingin melihat hamba Di hadapan terduduk menanti baginda Sultan Mahmud, Permaisuri Tun Fatimah dan baginda Sultan Ahmad yang masih lagi tidak begitu senang sebaik sahaja melihat hamba juga ada “(ms:202)

“..Sultan Ahmad mencemik sedikit, entah cemburu entah dengki, entah terancam tidaklah sesiapa tahu waktu itu hingga sampai saatnya nanti” (ms: 203)

“…waktu itu kesultanan Melaka merosot dan pembunuhan tragis Nyemah Mulya merupakan kemuncak kepada itu semua. Onar bermula daripada Sultan Ahmad yang leka dan membenci Nyemah Mulya, kemudian terbawa-bawa kepada Raja-Raja Melayu yang lain sehingga kerana perpecahan tersebut Belanda mengambil peluang dan Inggeris juga datang “ (ms: 211)

Bukankah sikap iri hati dan dengki masih lekat di hati orang-orang Melayu hingga kini???

Novel ini sebuah novel yang berteraskan sejarah dan kebanyakan peristiwa yang ditulis dalam novel ini berlaku di Negeri Bersejarah (kedua-dua faktor ini menjadikan saya begitu berminat dengan novel ini)

Saya ada terbaca beberapa kritikan tentang novel ini. Antara yang paling sinis ialah komen yang menyelar Faisal ‘kononnya’ ingin mengubah sejarah tetapi tidak kena pada tempatnya (saya baca kritikan ini di internet tetapi tidak ingat laman internetnya).

Namun harus diingat bahawa 1515 hanya sebuah novel, dan lebih menekankan imiginasi dan fiksyen penulis sendiri. Lagipun tidak ditulispun di mana-mana bahagian buku ini bahawa novel ini digarap dari kisah benar (based on true event/story)

Walaubagaimapun, bagi pembaca yang mengamati sejarah tentu tidak menafikan bahawa terdapat banyak yang ‘benar’ di samping yang ’fiksyen’ dalam novel ini.

Saya pasti, akan ada pembaca yang akan terfikir bahawa benarkah Nyemah Mulya wujud?

Benarkah tahun 1515, Melaka menawan Portugal malah menurut Faisal ada juga pembaca yang bertanya beliau tentang Tesis Doktor Falsafah Adi Famiyun…namun sebagai pembaca…kita perlu matang dalam membuat analisis dan rumusan.

Tentang kebenaran kewujudan Nyemah, Penawanan Portugal serta Tesis Adi Famiyun kita serahkan pada Faisal kerana hanya beliau sahaja yang mampu merungkainya.

Jika dibaca dengan teliti, pembaca akan bertemu dengan beberapa versi yang berbeza tentang Adi Famiyun, Nyemah Mulya (terutamanya dalam konteks ‘menawan’ atau ‘ditawan’) serta Flor de La Mar (kejadian yang menimpa bahtera gagah ini)

Terpulanglah pada pembaca untuk membuat tafsiran dan andaian masing-masing apabila selesai menyudahkan bacaan novel ini.

Walaubagaimanapun, secara jujur saya nyatakan bahawa keinginan untuk mendokumenkan foto-foto yang berkaitan dengan novel ini didorong atas rasa kesedaran.
Kesedaran bahawa novel ini mempunyai nilai sejarah (walaupun tidak dapat disukat jumlahnya), kesedaran bahawa masa yang terluang perlu dimanfaatkan sebaiknya, kesedaran kerana banyak peristiwa yang dicatatkan dalam buku ini berlaku di Negeri Bersejarah (saya juga ada di negeri yang sama). Kesedaran tentang generasi kita yang semakin melupai sejarah.

Berapa ramai antara kita yang terdetik rasa sedih dan insaf apabila melawat runtuhan Kota A Farmosa?

Saya yakin tidak ramai yang berperasaan sedemikian. Kita berbangga bergambar di A Famosa. Tetapi kita lupa (atau buat-buat lupa) bahawa A Famosa di bina atas darah dan air mata rakyat Melayu Melaka tahun 1511. Batuan untuk tembok A Famosa (selain diambil dari Pulau Upeh) merupakan batuan dari kubur-kubur Sultan Melaka terdahulu. Tapak terdirinya A Famosa merupakan tapak asal Istana Melaka dan Masjid Melaka…berapa ramaikah yang sedar ????

Seorang sahabat dalam Disertasi Sarjananya ada menegaskan bahawa sisi dan pandangan yang satu lagi ini perlu dikukuhkan dalam diri kerana jika kita leka tidak mustahil akan tertegaknya satu lagi A Famosa di bumi tercinta ini. Sejarah mengajar kita dan ia pasti akan berulang…

FOKUS PENJEJAKANIngin dimaklumkan bahawa proses penjejakan ini tidak mampu untuk dibuat secara menyeluruh. Oleh yang demikian, saya memfokuskan penjejakan saya terhadap bahagian yang saya lihat amat tulen nilai sejarahnya iaitu babak “Peperangan”.

Ada beberapa rasional saya memfokuskan kisah peperangan dalam penjejakan ini. Salah satunya ialah kesan-kesan fizikal akibat dan hasil penjajahan masih ada di Bumi Melaka dan yang amat penting aspek sosial, emosi dan agama yang tergugat sebelum dan selepas peperangan. Kerajaan yang suka berpoya-poya, pengkhianatan, Murtad adalah antara impak sosial dan agama yang jelas ketara timbul di Bumi Melaka akibat peperangan dengan Portugis.

Dalam menjejaki antara fakta dan fiksyen peperangan di tahun 1511 itu, saya turut merujuk kepada sebuah buku yang berjudul “Alburqueque: Caesar Timur”(Universiti Malaya:1995) yang merupakan himpunan surat-surat Alburqueque (Comentarios) semasa hayatnya dan amat menakjubkan apabila kebanyakan babak yang ada dicatatkan oleh Alburqueque dalam bukunya mempunyai persamaan yang ketara dengan yang ada dalam 1515.

Ini satu bukti bahawa senario dan situasi peperangan yang dicatatkan oleh Faisal dalam 1515 bukanlah fiksyen semata-mata.

Dalam penjejakan ini saya amat kecewa apabila tidak menemui sebarang dokumen yang mampu menambahkan fakta tentang peperangan tahun 1511 itu. Perpustakaan negeri saya jelajahi namun tiada yang boleh membantu. Bahan-bahan di Muzium pula amat ketat kawalannya. Jadi saya teruskan penjejakan saya dengan sumber-sumber yang amat terhad ini.

PROSES DOKUMENTASI: CABARAN JADI REALITI
Secara keseluruhannya, proses menjelmakan ide untuk menjadi kenyataan memakan masa kira-kira 6 minggu termasuk penulisan dan kajian perpustakaan. Saya telah mencuba sehabis baik untuk mendapatkan segala sumber yang berkaitan.

Namun atas beberapa kelemahan utama seperti tiadanya capaian internet peribadi dan ketiadaan koleksi buku yang hebat (di perpustakaan yang dijelajahi) maka secara tidak langsung mencacatkan usaha saya untuk menggali lebih banyak maklumat yang berkaitan. Tambahan maklumat sumber diperolehi melalui pembacaan dan pemerhatian di Muzium serta eksplorasi di internet yang amat terhad.

Kekangan masa menjadikan proses penjejakan (mengambil foto) hanya boleh dilakukan pada hujung minggu sahaja. Malah, akhir-akhir ini, hujan kerap turun di Negeri Bersejarah di setiap hujung minggu Walaubagaimanapun syukur ke hadrat Allah SWT kerana walaupun banyak kelemahan dan kesulitan. Saya berjaya juga selesaikan proses penjejakan ini.

Masa dan wang yang dihabiskan tidak menjadi persoalan (walaupun pokai juga…), yang paling penting ialah kepuasan yang diperolehi hasil dari kerja yang tak seberapa ini. Saya tahu, majoriti pengunjung blog ini merupakan peminat Faisal juga jadi, jadi apa salahlah kita berkongsi kerana kebetulan ide ini timbul ketika saya di Negeri Bersejarah iaitu negeri yang sama yang dikisahkan dalam 1515.

PENUTUP
Saya ucapkan terima kasih kepada Faisal kerana memberikan kebenaran kepada saya untuk mendokumenkan Jejak-Jejak Nyemah Mulya ini. Majoriti petikan (caption) dalam entri-entri yang ada dalam siri ini merupakan petikan-petikan dari novel 1515 tulisan Faisal dan beberapa petikan dari sumber-sumber lain yang dinyatakan.

Saya akan masukkan setiap entri berdasarkan tema-tema tertentu yang disentuh oleh novel 1515 secara peringkat demi peringkat. Keseluruhannya ada lebih kurang 20 entri untuk siri ini (selelum di edit-dan saya masih mengedit-dan terus mengedit sehingga ia dimasukkan dalam blog)

Saya amat mengalu-alukan sebarang kritikan, komen dan cadangan dari pembaca untuk saya membaiki usaha ini (insyaAllah) di masa-masa akan datang. Setiap yang baik itu datang dari Allah dan yang kurang baik itu datangnya dari kelemahan dan kekurangan saya sendiri.

Ingin saya ingatkan kepada pembaca, anda perlu membaca novel 1515 tulisan Faisal Tehrani sebelum membaca entri-entri saya yang seterusnya. Sekiranya anda tidak pernah membaca novel ini saya pasti anda tidak akan ‘merasai’ apa yang akan saya bincangkan dalam entri-entri “Jejak Nyemah Mulya” yang seterunya.