Tengah malam tadi saya bersembang panjang dengan salah seorang rakan muka buku saya. Dia seorang pendidik yang sekarang dalam rangka menyiapkan tesis Phdnya. Kajiannya kalau tidak salah mengenai politik Pas dan Umno.
Apakah yang hendak dirumus ataupun teori-teori yang bakal dikemukakan ke arah penyelesaian kemelut politik Melayu dalam tesis tesisnya itu saya tidak dapat pastikan.
Apabila menyedari dia seorang beriman dan kuat berpegang kepada agama - berpandukan kepada kerajinannya memberi pesan dan nasihat dengan memetik Quran dan Hadith dan menyuruh sama saya membaca suruh al Mulk, biarlah rumusan dalam tesis Phdnya nanti juga bertunjang al-Quran dan al Hadith. Semoga dia akan dapat mengkesampingkan perasaan dan sentimen tebal kepada ideologi parti yang dianutinya kerana dia merasa amat bersyukur kepada kerajaan.
Mudah-mudahan semasa dia mencari bahan dan mendebatkan subjek-subjek yang dibincangkan dia akan menemui jawaban tuntas kepada permasalahan yang cuba diselesaikan itu, seperti mana ada sesetengah pengkaji Barat mengenai Islam akhirnya menerima dan memeluk Islam selepas ia menemui sesuatu dalam pengkajian itu.
Apa yang hendak saya catatkan di sini, ialah simpulan perbualan panjang malam tadi yang memakan masa lebih satu jam dan melibatkan hampir 100 intri atau posting antara saya dengan dia. Satu perbahasan yang agak ilmiah dan perbahasan sebeginilah yang kita harapkan dan perlu menjadi amalan dalam chatting atau perbualan menerusi muka buku.
Pandangan yang dilontarkan dalam muka buku itu akan dapat dikutip dan direnungi oleh orang lain pula. Inilah baru dikatakan berbual yang ada faedah dan bijak menggunakan muka buku.
Rumusan saya terhadap perbualan semalam begini;
* Kepercayaan bahawa Umno sahaja yang mampu mentadbir negara ini masih kuat dikalangan sesetengah orang bukan sahaja dari kalangan orang kampung tetapi golongan cerdik pandai seperti guru. Ini bermakna cerdik pandai masih berfikir satu jalur dan bersikap pentingkan diri sendiri.
* Kepercayaan atau kasih sayang orang seperti ini kepada Umno ialah kerana mereka bimbang keadaan selesa yang mereka rasai sekarang ini termusnah atau hilang bila bukan UBN yang menjadi pemerintah. (Pegangan sebegini adalah hasil asakan dan tunjangan para 'mubaligh' Umno ke dalam minda mereka). Sikap dan pegangan ini menunjukkan kelemahan sifat dan daya fikir Melayu.
* Masih ada bayangan kalau bukan Umno yang memerintah negara ini akan huruhara dan kucar kacir. Pandangan ini sama dengan penegasan dibuat oleh ustaz-ustaz di dalam Umno yang sudah berjaya mengdoktrininasikan mereka semasa dibawa melawat Putrajaya dan diberi wang poket.
* Masih mempercayai bahawa Umno memperjuangkan Islam, membela bangsa Melayu... walaupun hakikatnya Umno pesimis kepada Islam. Walaupun sesudah lebih setengah abad Umno menjadi kerajaan kehidupan orang Melayu masih belum berubah dan terus melaksanakan politik ugut, memberi jamuan kepada orang Melayu di mana tektik ini untuk melemahkan minda orang Melayu. Iya bila kuat makan dan tidur pemikiran akan jadi lemah.
* Bahawa masih ada orang Melayu termasuk cerdik pandai begitu lemah mindanya untuk melakukan perubahan yang besar. Menukar kerajaan adalah satu tindakan besar. Masih ada kepercayaan dan sikap negatif terhadap masa depan. Sikap negatif inilah melemahkah Melayu.
* Bahawa masih ada yang menerima politik ala Umno dan menganggap cara Umno yang menggunakan agensi kerajaan, melakukan politiking dalam jabatan untuk kepentingan sebagai sesuatu yang halal dan dibenarkan. Sekali lagi orang seperti ini gagal memahami prinsip perlembagaan dan demokrasi.
* Bahawa masih ada yang tidak menerima realiti politik dan sosial di Malaysia ini, di mana negara ini bukan sahaja dimiliki dan dikuasai Melayu tetapi lain-lain kaum juga. Apabila Umno mementingkan kedudukan mereka atas nama tuan, ertinya Umno menafikan hak-hak orang lain.
Menyimpulkan kesemua kesimpulan itu inilah penyakit atau pun unsur yang ada di dalam benak sesetengah orang Melayu khasnya Melayu Umno. Selagi elemen ini menebal dan menjadi kepercayaan kepada mitos Umno sahaja yang mampu mentadbir, Umno kononnya pejuang Melayu dan Islam, sukar untuk Melayu bersatu dan mendapat kuasa secara solid.