بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
السلام عليكم
Pengujung Istimewa
Rabu, Disember 15, 2010
Penjara lima bintang di Jordan
beritaislamglobal.blogspot.com (Original English version here)
AMMAN (Nasser Qamas)
Nama Puncak Salhoub tidak lagi dikaitkan dengan salah satu hutan tercantik di Jordan berikutan pembinaan sebuah penjara ‘lima bintang’ yang telah mengubah lanskap hutan simpan semulajadi itu.
Bandar Salhoub, utara ibunegara Amman, sekarang menjadi kawasan yang menempatkan kemudahan penjara ‘mewah’ sekaligus membayangi statusnya sebagai salah sebuah hutan pine terkenal yang semakin dilanda kepupusan.
Penjara itu, yang menjadi ‘rumah’ kepada 60 orang banduan, dibina secara ekslusif untuk para pegawai, ahli perniagaan, dan orang kenamaan yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan jenayah dan etika.
Penjara Salhoub menjadi tajuk utama akhbar-akhbar apabila ia menempatkan beberapa orang tokoh terkenal yang didapati bersalah oleh Mahkamah Keselamatan Negeri dalam kes rasuah Kilang Penapisan Petroleum Jordan. Banduan terbaru termasuklah tiga bekas pegawai dan seorang ahli perniagaan; semuanya didapati bersalah kerana terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pihak kerajaan memutuskan untuk mengasingkan banduan-banduan golongan kenamaan ini bagi melindungi mereka dari ancaman banduan-banduan di penjara biasa.
Keputusan itu dibuat susulan ketua Jabatan Perisikan Am, Samih al- Battikhi, yang beberapa kali diserang oleh banduan-banduan di sebuah penjara. Beliau dijatuhi hukuman lapan tahun penjara atas kesalahan rasuah dan penipuan bank dan dimasukkan ke penjara pusat Swaqa, tetapi kemudiannya diasingkan kerana sering menjadi sasaran serangan.
Menurut pihak berkuasa Jordan, dari aspek hak-hak keistimewaan, penjara Salhoub tidak berbeza dari penjara-penjara lain. Perbezaan utama adalah penjara Salhoub hanya menempatkan 60 banduan, sementara penjara-penjara lain berkapasiti minimum 1,000 orang pesalah atas pelbagai kesalahan jenayah, kata Mohamed al-Khatib, jurucakap polis Jordan.
“Selainnya, memang tiada keistimewaan tambahan,” katanya kepada AlArabiya.net. “Tinggal di penjara Salhoub adalah percuma dan bukannya dikenakan $200 sehari seperti yang gembar-gemburkan, dan banduan-banduan makan tiga kali sehari iaitu sama seperti di penjara lain.”
Khatib menjelaskan yang pihak mahkamah berkuasa penuh menentukan penjara untuk pesalah-pesalah tetapi pihak pentadbiran penjara pula mempunyai hak untuk memindahkan banduan-banduan ke penjara lain jika terdapat ancaman yang boleh membahayakan nyawa mereka.
Bagaimanapun, beberapa orang saksi memberitahu yang penjara itu terdiri daripada villa yang dikelilingi taman. Setiap villa menempatkan dua orang banduan.
Penjara tersebut bukan sahaja dibina mengikut model hotel lima-bintang, tetapi juga menepati piawaian keselamatan antarabangsa kerana dikelilingi pagar elektrik dan dikawal ketat.
Sebaliknya, penjara-penjara lain semakin sesak di samping perkhidmatan kesihatan yang kian meruncing serta aktiviti-aktiviti hiburan yang terhad.
Penjara-penjara di Jordan sejak dua tahun kebelakangan ini meraih perhatian media kerana kerap terjadinya rusuhan banduan yang memprotes keadaan penjara yang teruk.
Menurut sumber keselamatan, penjara Salhoub dibangunkan beberapa tahun lalu bagi menempatkan tokoh-tokoh terkenal dari negara-negara Arab, terutamanya selepas Amerika menakluki Iraq pada 2003.
Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu ia tidak dapat dijadikan penjara politik, dan kemudiannya digunakan untuk memenjarakan orang-orang kenamaan yang mampu membayar untuk tinggal di situ, termasuk memilih makanan mereka sendiri.
Menurut beberapa pertubuhan hak asasi manusia, penghuni penjara biasa terdedah kepada siksaan dan penganiayaan, sementara pentadbiran penjara Salhoub pula member jaminan bahawa keselamatan penghuninya sentiasa dilindungi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan