Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Istana Balai Besar


     
 
 
Istana Balai Besar terletak di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Istana lama ini telah dibina pada tahun 1842-1844 oleh Sultan Muhammad II yang memerintah dari 1839 hingga 1886. Istana ini dibina di atas tanah seluas 1.6 hektar. Istana Balai Besar didirikan bagi menggantikan Istana Lama yang terletak di Pulau Saba berdekatan dengan tebing sebelah timur Sungai Kelantan yang semakin terhakis tebingnya kerana banjir yang berlaku setiap tahun. Kota di Pulau Saba ini adalah pusat pemerintahan Kesultanan Kelantan di zaman sebelum tahun 1842. 
 
 

Kawasan sekeliling istana ini dipagari dengan kayu jenis cengal setinggi 3 meter. Pagar di bahagian hadapan yang terletak di sebelah barat mempunyai tiga buah pintu. Pintu besar terletak di tengah dengan dua buah pintu kecil di kiri kanan pintu tersebut dan pintu utama. Bahagian hadapan istana ini berbentuk sebuah balai besar yang tidak berlantai tetapi mempunyai tiga tingkat. Terdapat juga sebuah rumah besar di belakang istana ini yang dijadikan sebagai tempat kediaman raja-raja. Sebuah surau dan rumah tempat kediaman pengawal raja telah dibina di sebelah hulu istana ini. Keseluruhan istana ini mempunyai rekabentuk yang mencerminkan ukiran tradisi Melayu Kelantan dan Patani.

 
 
Istana ini menjadi tempat berlangsungnya semua upacara dan adat-istiadat diraja sejak tahun 1845 seperti istiadat pertabalan atau kemahkotaan dan pengurniaan bintang-bintang kebesaran. Istiadat perkahwinan diraja dan keraian tetamu dari luar negeri juga turut diadakan di istana ini. Sehingga kini, Istana Balai Besar menjadi kebanggaan rakyat negeri Kelantan dan lambang Kesultanan Raja-raja Melayu Kelantan sejak zaman dahulu hingga sekarang dan ia masih digunakan untuk majlis-majlis rasmi negeri Kelantan.

 
 
Sumber Rujukan :

(a) Mohamed Roelan Abdul Malek, (1998). Kesan Sejarah dan tempat-tempat menarik : Negeri Kelantan Darul Naim. Petaling Jaya : Oscar Book International.
(b) Asmad, (1987). Siri Lambaian Nusa : Kelantan. Melaka : Associated Educational Distributors (M) Sdn. Bhd.