Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Ahad, Disember 19, 2010

Masalah tanah perkuburan islam di Johor


Batu nisan tenggelam

Berita Harian 31 Mei 2010

SEORANG penduduk menunjukkan tebing sungai yang semakin mendap berdekatan tanah perkuburan Islam Pekan Panchor.Tanah perkuburan Islam dekat tebing Sungai Muar makin mendap

MUAR: Penduduk di sekitar Pekan Panchor di sini, dilanda kebimbangan berikutan kawasan tanah perkuburan Islam yang berdekatan dengan tebing Sungai Muar di situ semakin mendap ke dasar sehingga menghanyutkan batu nisan.

Mereka mendakwa, sejak lima tahun lalu, kedudukan tanah perkuburan itu yang terlalu dekat dengan tebing Sungai Muar menyebabkan ia mudah ditenggelami air setiap kali air pasang. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Pekan Panchor, Jamal Sudin, 68, berkata pihaknya mengesan sekurang-kurangnya lima meter kawasan tanah perkuburan Islam itu mendap ke dasar sungai.

Katanya, fenomena itu menyebabkan berpuluh batu nesan dihanyutkan air akibat hakisan yang melanda tebing sungai itu sama ada ketika air pasang atau musim banjir.

"Kedudukan tanah perkuburan berkenaan terlalu dekat dengan tebing Sungai Muar di pekan itu menyebabkan kawasan perkuburan itu mudah ditenggelami air setiap kali air pasang. Sebelum ini, tebing sungai berdekatan dengan tanah perkuburan itu pernah ditembok dan dikonkrit serta disalut dengan dawai berjaring bagi menghalang tembok itu runtuh jika dilanda banjir dan hakisan.

"Bagaimanapun, sebahagian daripada tembok sepanjang kira-kira lima meter yang dibina di tebing sungai bagi menghalang kawasan tanah perkuburan itu yang turut ditenggelami air kini pecah dan runtuh. Kami percaya kejadian itu berlaku ketika banjir besar yang melanda negeri ini pada akhir tahun 2006 yang turut menyebabkan seluruh Pekan Panchor ditenggelami air sedalam lebih dua meter.

“Kini bahagian kawasan yang berdekatan dengan tebing mudah ditenggelami air jika air pasang dan dikhuatiri lebih banyak lagi batu nesan dihanyutkan air pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui sempena program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan berkenaan, di Pekan Panchor, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Panchor, Saat Md Saman dan Pengerusi JKKK Kampung Jawa, Aladdin Ahmad.

Tinjauan Edisi Johor ke tanah perkuburan itu mendapati, kawasan tanah yang berdekatan dengan tebing didapati semakin mendap kerana kedudukannya dengan perairan sungai tidak sampai lima meter dari tebing.

Ada beberapa batu nisan yang semakin condong ke sungai dan menunggu masa untuk dihanyutkan air ke sungai terutama jika musim banjir atau air pasang besar.

Sementara itu, Saat yang turut bertanggungjawab terhadap pembangunan Pekan Panchor, berkata projek mendapatkan kawasan bagi tapak tanah perkuburan Islam yang baru dimasukkan dalam Pelan Tindakan Desa (PTD) Pekan Panchor 2010-2011.

Beliau berkata, melalui pelan itu, pihak JKKK mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 40 hektar berdekatan dengan Jalan Panchor-Pagoh untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan.

“Projek menyediakan tanah perkuburan yang baru adalah antara 10 projek pembangunan yang disenaraikan untuk dilaksanakan di sekitar pekan dan perkampungan berdekatan dalam usaha membangunkan semula Pekan Panchor sebagai destinasi pelancongan ke daerah ini.

“Langkah menyediakan tanah perkuburan baru penting kerana tanah perkuburan berdekatan dengan Masjid Jamek di pekan itu kini semakin penuh kerana turut membabitkan penduduk yang tinggal di beberapa kampung berdekatan selain penghuni pekan itu,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan