Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Jumaat, April 29, 2011

Sultan Muhamad V terima kurniaan DK Johor

























Pada hari Khamis, 14 April 2011, Tengku Mahkota Johor, Yang Teramat Mulia Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim, sebagai mewakili ayahanda Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, telah berangkat ke Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan, untuk menyampaikan kurniaan Darjah Kerabat (DK) Johor kepada Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V.

Junjung kasih ke atas Sultan Johor di atas kurniaan tersebut.

Sabtu, April 16, 2011

Kemelut dalam istana Balai Besar perlu perhatian


tengku_muhammad_faris_petra.jpg 
 Tengku Muhammad Faris Petra
Sudah hampir setahun kemelut di Istana Kelantan berlaku ekoran satu pihak mempertahankan kebenaran dan hak berasaskan perlembagaan serta undang-undang tubuh Negeri Kelantan, manakala  pihak satu lagi mencabar dan menggoncang pihak yang mempunyai kuasa agar  ‘status quo’  kumpulan mereka berkekalan menguasai dalam semua segi termasuk bidang perniagaan dan pengumpulan harta.
Saya yakin dan percaya YMM Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, telah menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya oleh undang-undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan dan segala peraturannya , dengan penuh bijaksana berbekalkan latarbelakang  pendidikan tertinggi dari England khusus bagi anak-anak Raja yang bakal memerintah diseluruh dunia, disamping memperolehi Sarjana dalam bidang politik dan pentadbiran dari Universiti  Cairo di Mesir.
Kebolehan baginda membaca kitab-kitab besar dalam Bahasa Arab, tanpa membaca terjemahannya samada melalui Bahasa Melayu atau Inggeris,  menjadikan  kita begitu yakin terhadap satu-satu disiplin ilmu yang diperolehi baginda dari maklumat pertama yang diperolehi dari kitab-kitab besar itu, untuk panduan dan penunjuk jalan  dalam selok belok agama dan pemerintahan.
Ertinya baginda tidak perlu diajar dan diberikan nasihat dalam selok belok agama , lebih-lebih lagi kalau ada usaha untuk memberikan salah tunjuk atau salah nasihat pula oleh para pembesar negeri terhadap isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan tertentu.
Saya teringat kepada Ucapan Taat Setia Menteri Besar Dato’ Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat bagi pihak Kerajaan Negeri dan Rakyat Kelantan kepada Pemangku Raja Kelantan itu pada 30 Mac 2010 yang lalu sempena ualangtahun Al Sultan Kelantan, bertempat di Istana Balai Besar Kota Bharu dihadapan lebih 2,000 hadirin .
Antara lain Tuan Guru Menteri Besar itu telah melahirkan kesyukuran atas kepimpinan Pemangku Raja Kelantan yang telah memberikan panduan berguna kepada semua pihak dalam tadbir urus Kerajaan Negeri, dan yang mengagumkan ialah, baginda sendiri berkenan menjadi imam di masjid-masjid dan surau yang baginda kunjungi .
Baginda juga kata Menteri Besar itu, telah mengimamkan atau memimpin Solat-Solat Hajat untuk memohon Allah menyembuhkan penyakit  KDYMM Ayahnda baginda (Al Sultan Kelantan).     
Ertinya baginda tahu apa yang baginda lakukan ..! Kalau begitu mengapakah  masih ada suara-suara  sumbang dari kalangan ‘Orang  Istana’ sendiri (juga termasuk orang-orang bukan kalangan Istana yang bersekongkol  dengan mereka ini) yang cuba mengganggu gugat pentadbiran baginda di Istana Kelantan itu dengan pelbagai cara dan taktik .
Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, telah ditabalkan menjadi Tengku Mahkota Kelantan secara rasmi berikutan dari ayahnda baginda Tuanku Ismail Petra ditabalkan menjadi Sultan Kelantan dahulu, dimana baginda  adalah  putera Sulung Sultan Kelantan bersama permaisuru baginda yang bergelar Raja Perempuan Kelantan itu.
Sebagai Tengku Mahkota, baginda secara otomatik menjadi Pemangku Al Sultan atas ketiadaan atau kegeringan  ayahnda baginda, tetapi baginda ditabalkan secara rasmi menjadi Pemangku Raja, oleh jemaah Masjlis Perajaan Negeri Kelantan, sebelum keberangkatan baginda Al Sultan untuk menjalani rawatan ke Singapura pada Mei tahun lalu.
Mengikut peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan, setelah Tengku Mahkota diangkat menjadi Pemangku Raja maka berkuasalah  baginda memerintah Negeri Kelantan Darul Naim serta jajahan-jajahan takluknya , sebagaimana kuasa yang ada pada ayahnda baginda Al Sultan.
Antara tindakan awal baginda sebagai Pemangku Raja ialah, menitahkan kepada  Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) melakukan rombakan dikalangan pegawai tinggi negeri, bagi mengatasi penyelewengan dan ketirisan dalam mengurustadbir negeri.
Pemangku Raja ini segera memberikan reaksi terhadap keluhan rakyat jelata terhadap  perbuatan beberapa  orang pegawai tinggi dinegeri ini, yang  mengaut keuntungan hasil dari perlindungan dari orang-orang yang mempunyai kedudukan tertentu dalam Istana Kelantan. Sebagai hasil terawalnya, seorang pegawai tinggi Kerajaan dan seorang kontraktor yang terlibat dengan ‘Projek Istana’ telahpun dituduh di Mahkamah dan sedang dibicarakan.
‘Rombakan Kecil’ dikalangan pegawai tinggi di Kelantan ini sebenarnya begitu besar impaknya kepada rakyat di negeri Kelantan yang dikenali derngan nama jolokan Tanah Serendah Sekebun Bunga (semasa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang dahulu) ini. Rata-rata rakyat bershukur atas rombakan ini.  Apapun kesannya kepada pihak yang terlibat, yang pasti rombakan kecil oleh SPN ini begitu menyenangkan pihak Kerajaan Negeri yang sebelum ini ‘tersepit’ ditengah, iaitu ibarat ‘Ditelan Mati Bapak Diluah Mati Emak’ .
Sebelum ini, setiap permohonan  untuk mendapatkan sebarang projek dan pemilikan tanah , pembalakan dan sebagainya, yang dikaitkan samada secara langsung atau tidak langsung dengan ‘pihak istana’, menjadikan para pegawai pentadbir yang bertugas di Kelantan itu ‘serba salah’..mahu tak mahu terpaksalah melakukan apa saja , walaupun ,mungkin bertentangan dengan naluri mereka.
Tidak syak lagi tindakan tegas dan berani Pemangku raja Kelantan menangani isu berkenaan,  adalah dilihat oleh rakyat Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia amnya, sebagai usaha yang drastik serta proaktif bagi melindungi ‘Institusi Raja Berperlembagaan’ dan khazanah negeri dari tercemar dan dicemari oleh segelintir insan yang mementingkan diri , tanpa memperdulikan akibat dan kesan buruknya dari perbuatan mereka itu .
Walau setegas mana pun Pemangku Raja ini bertindak membetulkan keadaan dan kepincangan di  negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini , adakah anda berfikir baginda akan bertindak tanpa perasaan halus dalam hatinya?..tidak sekali-kali tidak..baginda sangat lembut hatinya..setiap orang berilmu tahu Hadis Rasulullah (SAW) yang berbunyi: ‘La Tto’atan limakhluki fi ma’siatillah’ yang bermaksud  ‘Tidak ada ketaatan kepada orang yang melakukan dosa kepada Allah’..  
Apa perasaan anda bilamana anda sedang tegas bertindak membenteras kesalahan orang yang dibawah kekuasaan anda  tiba-tiba muncul bukti bahawa orang yang paling rapat dengan anda sendiri dan anda amat menghormatinya terbukti terlibat dengan perbuatan keji tersebut ...apa perasaan anda waktu itu?  
Telah diketahui umum, bahawa segelintir pihak tak henti-henti mencuba untuk mengganggu gugat  perjalanan pentadbiran Pemangku Raja Kelantan, samada secara nyata atau secara halus, tetapi dihadapi oleh baginda dengan dada yang lapang dan kepala yang dingin. Bukan sahaja urusan rasmi, tetapi urusan pribadi baginda sehari-haripun  turut diganggu..saya dapat tahu beberapa ekor kuda dari baka terpilih dan menjadi kesayangan Pemangku Raja itu telah diracun dan dibunuh .
Cubaan terbesar ialah satu konspirasi  melucutkan kedudukan Tengku Mahkota Kelantan ini dari jawatan Pemangku Raja secara yang salah disisi undang-undang. Seorang bekas VIP telah ditangkap polis untuk siasatan  lanjut  dalam konspirasi tersebut, dan kini dalam proses pendakwaan dan perbicaraan di Mahkamah.
Mengapa semua ini berlaku ? Tidak warakkah Tengku Faris ini..tidak   berilmukah ..tidak adilkah..tidak rapatkah dengan rakyat jelata..tidak ramah dan tersenyumkah semasa bertemu rakyat ..tidak pengasih dan penyayangkah Pemangku Raja ini kepada setiap anggota keluarganya?
Saya terkejut menerima berita terbaru semalam, seorang Pegawai Keselamatan Istana yg bertugas untuk  menjaga keselamatan Istana  termasuk keselamatan Pemangku Raja itu telah cedera parah ditembak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat Kelantan. Seorang teman rapat saya menyatakan, dari peluru yang ada dalam badan Pegawai Keselamatan  itu , pihak penyiasat akan dapat tahu dari senjata api siapakah ia datang.
Kita serahkan saja hal itu kepada pihak polis. Lagipun polis Malaysia ini dikatakan adalah antara polis yang terbaik didunia. Cuma yang semua pihak perlu peka, bahawa Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra  adalah Pemerintah Tertinggi menurut perlembagaan dan Ketua Agama Islam di Kelantan.
Baginda bukan sembarangan dan bukan rakyat biasa. Pihak Polis hendaklah membuat penyiasatan menyeluruh hingga ke akar umbi serta membawa  ke muka pengadilan mererka yang terlibat, tanpa kecuali dan tanpa pilih bulu.
Pada hemat saya, dalam banyak hal Tengku Muhammad Faris ini hanyak  menyimpan kesedihan bersendirian..baginda suka beramah mesra dengan ulama..sekiranya anda kenal rapat dengan Dato’ Mufti Kelantan, Dato’ Shukri  Mohammad..atau Timbalan Mufti Kelantan, cubalah bertanyakan mereka..  kot-kot dia boleh bercerita dengan anda kisah sedih luahan rahsia hati Pemangku Raja kita itu…  
Tokoh undang-undang terkenal di Kelantan Dato’ Shukri Bin Haji Mohammad, yang juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan, menghubungi saya beberapa kali untuk mengingatkan para wartawan di negara ini, khususnya wartawan yang bertugas di Kelantan, agar hati-hati menulis mengenai hal ehwal istana Kelantan, agar tidak salah fakta dan tidak salah sumber .
Katanya banyak kali berlaku pihak media dinegara ini mengambil maklumat dari sumber yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibuktikan kesahihannya. Beliau menekankan sumber yang betul dan bertanggungjawab hanyalah, dari Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantasn dan Dato’ Pengelola Istana. Adapun selain dari dua sumber ini adalah dikira tidak benar. Arahan ini jelas dan menyenangkan para wartawan yang ingin menulis tentang Istana Kelantan.
Bagaimanapun ada juga berlaku, atas motif yang tidak diketahui, ada beberapa kali media cetak tertentu mengutip berita dari sumbar yang tidak diiktiraf seperti yang dinyatakan diatas, dan ini menimbulkan kekeliruan dan kemarahan rakyat di Kelantan.
Untuk menghentikan kemelut di Istana Kelantan itu , saya berpendapat, pihak berkuasa khususnya Kerajaan Persekutuan tidak memandang ringan perkara ini, ditakuti ia menjadi contoh ikutan dan rujukan kes terabai yang negative. Sebaliknya hendaklah dicampurtangan secara serius, tegas dan berkesan, sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku lagi berterusan di Istana berkenaan.
Seorang pengkaji dan pakar Sejarah Kelantan , yang juga seorang pensyarah di sebuah Pusast Pengajian Tinggi di negara ini menyatakan kepada saya kira-kira tiga minggu yang lalu, bahawa 40 tahun sekali sejak abad ke 17 lagi, berlaku peristiwa berdarah  di negeri Kelantan, yang ditimbulkan oleh Tengku Temenggung.

Laragan burqa di Perancis sekadar mainan politik

  • Foto
    PRESIDEN Perancis, Nicolas Sarkozy menunjukkan isyarat tangan ketika menyampaikan ucapan di Versailles, 12 April lalu.
  • Foto
    SEORANG kanak-kanak berdiri berhampiran sepanduk Parti Jamaat-e-Islami Pakistan ketika tunjuk perasaan membantah pengharaman memakai burqa oleh kerajaan Perancis.
Sarkozy cuba sekat parti berhaluan kanan terus eksploitasi isu imigran, Islam

PADA 11 April lalu, Perancis menjadi negara Eropah pertama secara rasmi mengharamkan pemakaian penutup muka yang dikenali burqa, purdah atau niqab oleh wanita Islam, selepas rang undang-undang mengenainya diluluskan tahun lalu.
Undang-undang baru itu segera menimbulkan kemarahan kumpulan dan organisasi Islam yang mendakwa tindakan bertujuan memencilkan umat Islam, manakala penyokong pengharaman berkata ia wajar diambil bagi membolehkan pendatang asing berintergrasi lebih baik dengan masyarakat setempat.
Sebelum ini pada 2004, Perancis mengharamkan pemakaian simbol agama secara di sekolah awam. Ia termasuk pemakaian tudung, salib, serban penganut Sikh dan sebarang simbol agama lain.

Keputusan yang diambil Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan jika kita melihat hala tuju politik di Eropah.

Isu kontroversi pengharaman burqa mempunyai tiga dimensi dalam politik Perancis. Pertama, tradisi sekular yang amat kuat di negara itu, kedua, kedatangan dan penghijrahan pendatang asing yang menjadi isu politik penting di semua negara Eropah Barat dan ketiga, integrasi etnik dan agama kumpulan minoriti dengan budaya kebangsaan Perancis.

Kebanyakan parti politik di Eropah, jika pun bukan semua, cuba menggunakan perbezaan pendapat mengenai kebanjiran kaum pendatang untuk mendapatkan faedah politik. 
Antaranya termasuk kaedah menghalang kebanjiran pendatang dan pekerja asing, memperketat undang-undang imigresen, antaranya permohonan untuk menjadi warganegara selain meningkatkan tekanan ke atas golongan pendatang agar berintegrasi dengan nilai Eropah.

Tanpa ragu, dasar ini mendapat sokongan besar penduduk awam Perancis. Selain itu nilai sekular menjadi pegangan kuat masyarakat Perancis.

Sarkozy melihat langkah yang diambilnya sebagai satu kemenangan dalam usaha memperkukuh tradisi Eropah dan beliau semakin yakin apabila keputusannya mendapat sokongan besar rakyat Perancis.

Tanpa diragui, Islam dan pendatang akan menjadi dua isu utama dalam kempen pilihan raya presiden Perancis pada 2012.

Mengikut tinjauan terbaru parti Kesatuan Pergerakan Popular (UMP) pimpinan Sarkozy tidak mendapat sokongan menggalakkan dan semakin ketinggalan di belakang Parti Barisan Kebangsaan (NF). Berikutan itu beliau terpaksa mencari bahan perdebatan ‘lebih panas’ untuk menarik perhatian pengundi Perancis.

Kerajaan Perancis mengakui bahawa hanya kira-kira 2,000 wanita Islam memakai burqa berbanding lima juta penduduk Islam di negara itu. 

Secara jelas undang-undang itu hanya sekadar ‘isyarat simbolik’ kerana ia tidak akan membabitkan majoriti wanita Islam di negara itu. 

Apa yang pasti setakat ini ia tidak berkesan. Kerajaan Perancis sekadar cuba menangani dan menyelesaikan isu yang sebenarnya bukan suatu masalah.

Hanya sekumpulan kecil wanita Islam memakai burqa (Islam tidak mewajibkan pemakaian burqa). 

Pada masa sama, larangan ini hanya bertujuan untuk menunjukkan bahawa nilai Barat mempunyai kuasa lebih besar hingga boleh memencilkan minoriti Islam di Perancis.

Ketika sebilangan ahli politik Perancis mempertahankan larangan ini sebagai tindakan membebaskan wanita daripada ‘penindasan’ hakikatnya, kebanyakan wanita negara itu memakai burqa atas kerelaan sendiri.

Dari perspektif ini, undang-undang itu mungkin gagal memenuhi matlamatnya untuk mempromosi integrasi, sebaliknya akan lebih memencilkan umat Islam.

Sejak hari pertama undang-undang itu dikuatkuasakan hingga kini, hanya dua wanita ditahan tetapi bukan atas kesalahan memakai burqa, sebaliknya kerana menyertai tunjuk perasaan membantah larangan itu dan enggan bersurai. Mereka dibebaskan beberapa jam kemudian.

Seorang lagi wanita, Kenza Drider, tiba di Paris dari bandar Avignon dengan menaiki kereta api dan memakai burqa, untuk menyertai tunjuk perasaan itu tanpa dicabar polis atau pihak berkuasa. 

“Saya berbuat begini untuk menguji polis Perancis dan sebagai amaran terbuka bahawa saya akan terus memakai burqa. Undang-undang yang dikuatkuasakan adalah serangan kepada kebebasan hak peribadi dan agama saya,” katanya.

Di bawah undang-undang yang baru itu, mereka yang didapati melanggar peraturan, boleh didenda hingga 150 Euro (RM655), manakala seseorang yang memaksa orang lain memakai burqa boleh dihukum penjara hingga dua tahun.

Penganalisis berkata adalah amat sukar untuk membuktikan bahawa seseorang wanita dipaksa memakai burqa.

Undang-undang baru itu tidak membenarkan anggota polis atau pihak berkuasa menanggalkan burqa secara kekerasan atau memaksa mereka membukanya dikhalayak.
Mereka sebaliknya dikehendaki membawa wanita terbabit ke balai polis untuk disoal sebelum tindakan lanjut diambil.

Larangan yang dikuatkuasakan di Perancis boleh dianggap longgar atau tidak mempunyai kesan secara langsung, jika dibandingkan dengan peraturan keras pengharaman memakai tudung kepala yang dikuatkuasakan Turki, sebuah negara yang 95 peratus penduduknya beragama Islam sejak 1923.

Lebih menyedihkan, larangan dilaksanakan oleh kerajaan yang ditadbir secara keseluruhannya oleh pemimpin beragama Islam dan sehingga kini tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengubahnya.

Pada Mei 1999, pengharaman pemakaian tudung menimbulkan kegemparan di negara itu , apabila Merve Kackci dihalang daripada mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen kerana memakai tudung dan enggan mematuhi arahan meninggalkan dewan.

Perdana Menteri Bulen Ecevit menuduh beliau melanggar prinsip sekular dan beliau kemudian didakwa di mahkamah atas dakwaan provokasi kebencian agama.

Beberapa bulan kemudian kerajaan melucutkan kerakyatannya sebagai warga Turki apabila beliau didapati mempunyai kerakyatan Amerika.

Wanita yang hafaz al-Quran itu, kini menjadi profesor pelawat di Universiti Washington dan meneruskan kempen membantah larangan memakai tudung di Turki. Pada 2007 Mahkamah Hak Asasi Eropah, memutuskan bahawa tindakan kerajaan mengusir beliau dari bangunan parlimen Turki, melanggar hak asasi.

Pada 2000, seorang pelajar Nuray Bezirgan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah Turki atas dakwaan mengingkari arahan apabila memakai tudung ketika menduduki peperiksaan akhir. Mahkamah Hak Asasi bagaimanapun menyokong keputusan itu dan berpendapat ia sesuatu yang perlu.

Laporan Negara Turki 2007 menyatakan, wanita yang memakai tudung dan penyokong mereka berdepan tindakan disiplin dan risiko kehilangan kerja di sektor awam.
Mahkamah Agung Turki pada 2007, mahkamah memutuskan untuk menafikan hak seorang guru wanita daripada dinaikkan pangkat apabila beliau didapati memakai tudung di luar waktu bekerja.

Seorang pegawai imigresen di Kedutaan Kanada di Ankara pernah menyatakan bahawa kakitangan kerajaan tidak dibenarkan memakai tudung ketika bertugas, tetapi wanita bertudung boleh bekerja di sektor swasta.

Pada April 2005, seorang profesor sains politik dengan pengkhususan membabitkan isu wanita di Universiti Bogazici di Istanbul berkata, wanita yang memakai tudung di negara itu menghadapi kesukaran mendapat kerja dalam kedua-dua sektor swasta dan kerajaan.

Ramai diantara mereka juga gagal mendapatkan rawatan di hospital kerajaan hanya semata-mata kerana memakai tudung.

Berbanding Perancis, keadaan di Turki jauh lebih sukar bagi wanita yang bertudung, apabila undang-undang dilaksanakan dengan keras dan ketat, sekali gus menjejaskan sistem kehidupan mereka.

Pertubuhan Islam dan kumpulan aktivis yang prihatin, perlu berusaha agar wanita Islam di Turki berpeluang menikmati kebebasan melaksanakan tuntutan agama dan memilih jalan hidup mereka sendiri.

Bagaimana masa depan pengharaman memakai burqa di Perancis? Apa yang jelas, bantahan demi bantahan yang datang seluruh pelusuk dunia, pasti menjadikan pelaksanaannya semakin sukar.

Empat Negara dilanda gempa

Gegaran tahap sederhana direkodkan di Jepun, Taiwan, New Zealand, Australia 

TOKYO: Empat negara termasuk Jepun, Taiwan, New Zealand dan Australia dilanda gempa bumi pada kekuatan 5.2 hingga 6 skala Richter awal semalam dan gegarannya turut dirasai di beberapa bandar besar.
Gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter dikesan di wilayah Kanto, kawasan mengelilingi ibu kota Tokyo pada jam 11.19 pagi waktu tempatan, kata Agensi Kaji Cuaca Jepun.
Agensi berita Kyodo melaporkan, pusat gempa itu terletak 70 kilometer di kawasan selatan wilayah Tochigi, katanya. Tiada amaran tsunami dikeluarkan. 
Loji nuklear Fukushima yang terletak di utara wilayah Ibaraki melaporkan tiada masalah besar setakat ini dan air terus dipam ke reaktornya, kata Tokyo Electric Power Co (TEPCO). 

Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api laju Shinkansen dihentikan buat sementara di antara Tokyo dan Odawara, wilayah Kanagawa, selepas bekalan elektrik terputus, kata Central Japan Railway Co. 

Satu lagi gempa berlaku lebih awal iaitu di Pulau Honshu pada kekuatan 6 skala Richter dan gegarannya turut dirasai di Tokyo. 
Di Taipei, Biro Cuaca Tengah Taiwan berkata, gempa bumi berskala sederhana dengan bacaan 5.7 skala Richter melanda pantai timur laut pulau itu tetapi tiada sebarang kemusnahan dilaporkan. 

Gempa bumi itu berlaku jam 9.11 pagi di tengah laut kira-kira 250 kilometer pantai timur laut ibu negara, Taipei dengan kedalaman 140 kilometer. 

Di Australia, beberapa bandar di timur lautnya termasuk Townsville, Queensland turut merasai gegaran akibat gempa bumi yang dengan 5.2 skala Richter yang terjadi kira-kira 9.6 kilometer di bawah dasar laut, kira-kira 128 kilometer dari bandar pesisir pantai itu. 

“Anak perempuan saya ketakutan hingga duduk di sebelah saya sambil melihat tingkap rumah bergegar,” kata ahli perbandaran Townsville, Natalie Marr. 

Selain itu, gempa bumi dengan kekuatan 5.2 skala Richter turut melanda New Zealand bertempat di bandar Christchurch yang menyebabkan bekalan elektrik terpaksa dihentikan kepada beribu-ribu rumah. 

Gegaran terbaru, bagaimanapun, jauh lebih lemah berbanding yang terjadi pada 22 Februari lalu yang menyebabkan 169 orang terbunuh. – Agensi/AP 

Syaitan itu kreatif


Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?

“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran…tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.

Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!

KISAH TIDAK LAMA DULU

Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.

“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.

“Hidayah bang…” jawabnya si dia pendek.

“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.

“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”

“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.

“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.

“Betul ke ni?”

“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”

Saya terdiam. Kaku.

“Mana pergi tudungnya?”

“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.

“Itu tudung?”

“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”

“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.

Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.

“Bang saya insaf bang…“

Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?
Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:

“Syaitan terlalu kreatif…” Kreatif? Bisik hati saya.

“Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.” Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-was’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:

“Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.” Apa ertinya? “Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…”

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.

“Aku tak faham. Maksud kau?”

“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”

“Lantas?”

“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”

“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”

“Jadi kebenaran menolak keindahan?”

“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.

“Transisi? Apa maksud mu?”

“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”

“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”

Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.

“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”

“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”

“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading– maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.

“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?.”

“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”

“Maksud kau?”

“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”

Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit! 


Anak saya berkemban itu perkara remeh-Cikgu Fathi

ISU artis `berkemban' di dalam Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini menjadi hangat dibincangkan di media. Teguran juga telah dibuat oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi YB Dato Seri Utama Rais Yatim. Akhbar Sinar hari ini juga melaporkan kisah artis tersebut dan mendapatkan komen dari ibu artis berkenaan yang juga seorang seni terkenal

Bekas pengajar AF, Cikgu Fatimah (Fathi) adalah ibu kepada artis yang `berkemban' pada malam anugerah tersebut. Apabila ditanya oleh wartawan berkaitan kritikan dan teguran orang ramai termasuk dari Menteri darihal kelakuan lucah dan tidak bermoral anaknya itu, Cikgu Fathi seakan seperti mengamuk dan marah. Beliau mahu isu tersebut dihentikan kerana beliau menganggap itu sebagai isu remeh temeh.

Bagaimana seorang ibu boleh mengamuk dan marah apabila ada orang lain prihatin akan kelakuan anaknya yang terang-terang `bertelanjang' dikhalayak ramai? Sepatutnya beliau bersyukur kerana masih ada orang yang sudi menegur anaknya sekiranya beliau sebagai seorang ibu gagal membentuk keperibadian dan moral anak gadisnya itu. Malangnya, beliau masih ego dan lebih suka cerita anaknya mendapat anugerah daripada mendengar teguran terhadap perangai buruk anaknya itu.

Jika inilah perangai seorang ibu, wajarkah beliau menjadi pendidik dan dipilih sebagai tenaga pengajar di dalam AF di masa-masa akan datang? Inikah contoh dan teladan yang ingin dibawa oleh beliau kepada anak muda yang mencintai seni?

Stesyen TV dan juga pihak penganjur juga patut dipersalahkan di dalam hal ini. Pihak berkenaan seolah-olah mempersendakan Menteri yang hadir di malam tersebut dengan mempamirkan artis `bertelanjang' ini. Sewajarnya YB DSU Rais Yatim memanggil pegawai yang bertanggungjawab untuk memberikan alasan mengapa perkara seperti ini boleh berlaku.

Masalahnya, benarkah teguran YB DSU Rais Yatim itu adalah serius atau sekadar `tegur-tegur ayam'? Jika serius, tindakan tegas mestilah diambil./wfauzdin.blogspot.com"