TOKYO: Empat negara termasuk Jepun, Taiwan, New Zealand dan Australia dilanda gempa bumi pada kekuatan 5.2 hingga 6 skala Richter awal semalam dan gegarannya turut dirasai di beberapa bandar besar.
Loji nuklear Fukushima yang terletak di utara wilayah Ibaraki melaporkan tiada masalah besar setakat ini dan air terus dipam ke reaktornya, kata Tokyo Electric Power Co (TEPCO).
Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api laju Shinkansen dihentikan buat sementara di antara Tokyo dan Odawara, wilayah Kanagawa, selepas bekalan elektrik terputus, kata Central Japan Railway Co.
Satu lagi gempa berlaku lebih awal iaitu di Pulau Honshu pada kekuatan 6 skala Richter dan gegarannya turut dirasai di Tokyo.
Di Taipei, Biro Cuaca Tengah Taiwan berkata, gempa bumi berskala sederhana dengan bacaan 5.7 skala Richter melanda pantai timur laut pulau itu tetapi tiada sebarang kemusnahan dilaporkan.
Gempa bumi itu berlaku jam 9.11 pagi di tengah laut kira-kira 250 kilometer pantai timur laut ibu negara, Taipei dengan kedalaman 140 kilometer.
Di Australia, beberapa bandar di timur lautnya termasuk Townsville, Queensland turut merasai gegaran akibat gempa bumi yang dengan 5.2 skala Richter yang terjadi kira-kira 9.6 kilometer di bawah dasar laut, kira-kira 128 kilometer dari bandar pesisir pantai itu.
“Anak perempuan saya ketakutan hingga duduk di sebelah saya sambil melihat tingkap rumah bergegar,” kata ahli perbandaran Townsville, Natalie Marr.
Selain itu, gempa bumi dengan kekuatan 5.2 skala Richter turut melanda New Zealand bertempat di bandar Christchurch yang menyebabkan bekalan elektrik terpaksa dihentikan kepada beribu-ribu rumah.
Gegaran terbaru, bagaimanapun, jauh lebih lemah berbanding yang terjadi pada 22 Februari lalu yang menyebabkan 169 orang terbunuh. – Agensi/AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan