Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Jumaat, April 15, 2011

Khutbah Jumaat JAKIM ada isu politik dan pilihanraya

Hari ini Jumaat 15 April 2011, topik Khutbah Jumaat yang diedarkan oleh JAKIM ke seluruh masjid di Malaysia secara langsung menyentuh mengenai isu pilihanraya dan politik. Ini bermakna isu politik dan pilihanraya boleh dibincang, dikhutbah, diforum, diceramahkan dalam masjid. Dan topik khutbah hari ini sepatutnya dijadikan modul dan ujian untuk semua wakil rakyat, ahli parlimen dan semua mereka beragama Islam yang bertanding dalam pilihanraya.

Dan sepatutnya topik khutbah ini dikhutbahkan lebih kerap menjelang Pilihanraya Umum ke 13.

Antara topik yang dibincangkan dalam khutbah Jumaat pada 15 April 2011 ialah :

1. Mimbar ingin mengingatkan bahawa pemilihan pemimpin ataupun khalifah merupakan satu ikatan kontrak yang dipersetujui dengan rakyat samada melalui proses penyerahan kuasa atau pilihanraya. 

2. Ijmak ulama menetapkan bahawa melantik pemerintah yang mampu melaksanakan tanggungjawab pemerintah dikalangan umat Islam hukumnya adalah wajib. 

3. Kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT. 

4. Pemerintahan adalah satu amanah dan disyariatkan bagi mengantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia umat Islam.  

5. Rasulullah SAW juga telah berpesan kepada umatnya bahawa perlu ada dikalangan umatku yang menjadi pemimpin di dalam sesebuah organisasi ataupun masyarakat demi melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran. 

6. Kepimpinan itu semestinya didokong oleh keimanan kepada Allah SWT, cinta dan menghayati sunnah Rasulullah SAW serta berakhlak mulia di mana ianya mampu mengadakan hubungan yang baik dan harmoni dengan semua peringkat masyarakat.

7. Kita dapat melihat kepimpinan Khalifah Umar al- Khattab RA yang boleh dijadikan contoh kerana beliau adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi oleh rakyatnya atas perhatian dan tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat. 

8. Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana mempunyai seorang tokoh yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini iaitu Rasulullah SAW. Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh umat Islam malah disanjungi oleh musuh-musuh Islam kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaannya. 

9. Menurut al-Mawardi lagi bahawa: Sesungguhnya pemimpin yang kehendaki ialah mereka yang tinggi budi pekerti dan akhlak yang merangkumi ciri  takwa dan warak, mereka ini seorang yang sentiasa bercakap benar, amanah, bersih diri dari perkara haram dan meragukan, sentiasa tenang dalam keadaan biasa dan marah, kualiti maruahnya dihayati dalam semua urusan agama dan dunia. 

10. Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru seluruh umat Islam sekalian marilah sama-sama kita melaksanakan tanggungjawab kita demi agama, bangsa dan negara dengan memilih pemimpin yang benar-benar beretika,  bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan, bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang dipimpin di dunia dan di akhirat. 

11. Ingatlah bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa  besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.

Sumber dari laman web JAKIM

www.islam.gov.my"
 

Misteri Etnik 'Ambo Cino Klate'

Siri 1


CINA yang bukan Cina, Siam pun bukan, jauh sekali Melayu. Itulah gambaran pertama dilontarkan penduduk Kelantan ketika diminta berkongsi mengenai masyarakat Cina Peranakan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Terbukti, kata-kata mereka bukan sekadar tanggapan biasa kerana ia menepati perwatakan masyarakat itu.

Manakan tidak, Cina Peranakan di Kelantan sangat unik dan lain daripada yang lain. Jika berlegar di sekitar perkampungan kecil sekitar Kelantan, terutama di sepanjang pesisir Sungai Kelantan, pasti sukar untuk mengenal pasti siapa Melayu, Cina atau Siam. Semuanya sama saja.

Bukan setakat bahasa pertuturan, malah pakaian, makanan dan rupa paras tidak ada bezanya dengan orang Melayu. Kulit orang Cina Peranakan kebanyakannya sawo matang. Mata tidak terlalu sepet seperti kebanyakan orang Cina lainnya. Lebih mengelirukan, bahasa Melayu loghat Kelantan mereka sangat pekat dan lancar.

Lebih menambah kekeliruan, hampir semua orang Cina Peranakan yang ditemui penulis memulakan perbualan dengan ‘Assalamualaikum’ selain turut diselitkan ‘Alhamdulillah’ dan ‘Insya-Allah’ ketika berbual. Ditambah dengan kain sarung yang tak lekang dari tubuh, proses mengenal pasti bangsa mereka menjadi semakin rumit.

Sudahnya, penulis terpaksa bertanya adakah mereka Melayu atau Cina dan semuanya akan tertawa dulu sebelum menjawab dalam loghat pekat Melayu Kelantan - “Kawe Cino. Bakpo demo tok ce kawe ni Cino?” (Saya Cina. Kenapa pula awak tak cam yang saya ni Cina).

Pasti setiap kali jawapan begitu keluar dari mulut mereka, lantas rasa malu mula terasa di hati penulis dan sesi perbualan menjadi tersekat-sekat. Namun, apabila proses temubual diteruskan, secara perlahan-lahan datang rasa lupa bahawa di depan itu seorang Cina kerana mereka lebih Melayu daripada Melayu sebenar.

Tidak ada sepatah pun bahasa Cina digunakan meskipun berbual dalam kalangan mereka sendiri. Pendek kata, bahasa Melayu Kelantan boleh diangkat sebagai bahasa rasmi mereka. Ketika ditanya, mereka sebenarnya bukan tidak tahu bahasa Cina atau bahasa Hokkien iaitu asal keturunan mereka. Jika mereka berbahasa Hokkien, pasti nahu dan tata bahasanya akan tunggang langgang sekali gus memeningkan kepala.

Lupakan seketika keunikan itu kerana ada persoalan yang mahu dikupas mengenai siapa sebenarnya mereka. Adakah Cina Peranakan di Kelantan wujud akibat campuran budaya yang menebal selepas membesar dalam kelompok masyarakat Melayu atau sememangnya mereka mempunyai darah perkahwinan campur antara orang Cina Hokkien dengan orang Melayu dan mungkin juga Siam?

Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang, 60, menafikan tanggapan kedua. Beliau mempunyai keyakinan bukan semua orang Cina Peranakan atau juga dikenali Cina Kampung mempunyai darah perkahwinan campur dengan orang tempatan sama ada Melayu atau Siam.

“Tidak semua. Memang ada sebahagian nenek moyang kami yang memasuki Kelantan sejak ratusan tahun dulu pernah berkahwin dengan orang Siam tempatan tetapi tidak semua. Ada yang berkahwin dengan wanita di China dan berhijrah ke sini, seterusnya tinggal di pesisir sungai seperti orang lain.

“Saya melihat kewujudan masyarakat ini lebih kepada campuran budaya dengan orang Melayu dan Siam. Selepas beratus-ratus tahun mewujudkan generasi kedua dalam kelompok masyarakat asal itu, ia sekali gus mengubah budaya dan cara hidup orang Cina Kampung kepada budaya tempatan.

“Sebenarnya, istilah Cina Peranakan pun baru saja diberikan pengkaji, Prof Dr Tan Chee Bee. Sebelum ini, kami dikenali pelbagai gelaran seperti Poa Teng Huan (separuh Cina, separuh Melayu) dan Poa Teng Siam (separuh Siam) oleh orang Cina Bandar.

“Orang Melayu pula mengenali kami sebagai Cina Kampung, Cina Kelantan atau Cina Kita. Masyarakat ini wujud bukan disebabkan darah keturunan perkahwinan campur tetapi siapa saja yang ibu bapanya lahir di Kelantan, anak mereka pun lahir di Kelantan serta mengamalkan cara hidup Melayu layak digelar Cina Peranakan,” katanya.

Namun, di sebalik penafiannya mengenai masyarakat itu bukan berdarah keturunan Cina dan Siam, ada satu persoalan yang sukar untuk beliau sendiri huraikan. Jika benar Cina Peranakan hanya mendapat gelaran itu disebabkan campuran budaya dan cara hidup, bagaimana pula wajah mereka mirip Melayu atau Siam?

Jika orang Cina lain mempunyai kulit putih melepak, kebanyakan Cina Peranakan berkulit sawo matang. Bentuk muka juga langsung tidak sama dengan Cina lain. Sekali pandang, sukar untuk mempercayai mereka adalah orang Cina kecuali selepas melihat kad pengenalan mereka.

Nama mereka juga tidak melambangkan Cina sebenar dengan ada yang menggunakan nama Awang, Dollah dan sebagainya. Justeru, jika benar tiada campuran darah Siam atau Melayu, mana mungkin mampu merubah karakter wajah Cina semata-mata kerana percampuran budaya?

“Susah untuk mendefinisikan masyarakat ini. Apa yang pasti Cina Peranakan merujuk masyarakat Cina Kampung yang mengamalkan budaya hidup kampung seperti orang Melayu dan Siam. Dalam perlembagaan persatuan misalnya, selain sekurang-kurangnya dua generasi lahir di Kelantan, menggunakan bahasa Cina Kampung dan Melayu Kelantan, individu itu juga mesti berbudaya Cina Kampung untuk layak digelar Cina Peranakan.

“Namun, kami akui wajah kami ada mirip orang Melayu dan Siam. Saya juga setuju ramai nenek moyang kami dulu berkahwin dengan orang Siam tetapi saya difahamkan tidak semua. Tapi... bagaimana pula wajah kami tidak nampak seperti Cina,” keluh Law Awang sambil mengerutkan dahinya.

Persoalan yang sukar untuk dihuraikan kerana tidak ada bukti sejarah bertulis untuk memperincikan punca kewujudan masyarakat ini. Berbeza dengan Jawi Peranakan (Melayu Peranakan) di Pulau Pinang atau Chetti Melaka (Hindu Peranakan) yang jelas wujud kerana perkahwinan campur orang dari India dengan anak tempatan terutama Melayu.

Apapun, Cina Peranakan tetap unik dan sukar untuk ditemui di mana-mana. Loghat Melayu Kelantan itu sendiri sudah terlalu unik, ditambah pula apabila ia dituturkan oleh orang Cina tanpa sebarang bunyi pelat. Karakter dan perwatakan mereka ada kalanya kelihatan lebih Melayu daripada Melayu sendiri.

Permainan wayang kulit menjadi kegemaran mereka. Malah, ada beberapa tok dalang dalam kalangan masyarakat itu dengan dua daripadanya sudah dikenali di Kelantan. Jika kita berada di depan pentas mendengar celoteh Tok Dalang yang melontarkan dialog watak wayang kulit, pasti tidak tahu ia dikeluarkan dari mulut seorang Cina!

Begitu juga jika merayau di sekitar kampung. Jangan terkejut melihat semuanya (kecuali orang muda) berkain sarung (batik atau pelikat). Wanita menyapu sampah di halaman berkain batik dan suaminya pula leka membaca akhbar berbahasa Melayu berkain pelikat.

Tidak cukup dengan itu, ramai juga dalam kalangan mereka mahir menulis dan membaca tulisan Jawi. Terpegun seketika penulis apabila berjumpa dengan beberapa warga emas Cina Peranakan yang petah berpantun sambil seorang lagi mengarang kembali pantun itu dengan tulisan Jawi. Hebat! Orang Melayu pun tidak ramai pandai menulis Jawi.

Mereka masih mendiami kawasan pesisir sungai kerana meneruskan cara hidup sejak dulu iaitu bertani. Tidak ramai berpindah ke bandar kecuali golongan muda yang memilih untuk mengubah taraf hidup sendiri. Namun, dengan hidup bertani, mereka sudah dianggap mewah kerana memiliki tanah puluhan ekar dengan kebanyakannya memfokuskan kepada tanam padi dan buah salak. - Bersambung esok.

Seramai 16,000 diami negeri Siti Wan Kembang

GELARAN Cina Kampung atau Cina Kita diberikan kepada masyarakat Cina Peranakan di Kelantan sejak berzaman lamanya oleh masyarakat Melayu dan Siam. Ada juga yang menggelar mereka Cina Kelantan. Gelaran Cina Peranakan dikatakan baru saja diberikan seorang pengkaji, Dr Tan Chee Beng.

Merujuk gelaran yang pernah diberikan orang Melayu dulu dan masih selesa digunakan hingga kini, jelas menunjukkan latar belakang masyarakat Cina berbudaya Melayu itu yang mendiami kawasan kampung di pesisir sungai Kelantan.

Mereka memang orang Cina di kampung. Budaya dan rutin hidup mereka cara orang kampung. Makanan, pakaian, pertuturan dan apa saja yang dilakukan saban hari adalah cara orang kampung. Hanya agama yang membezakan mereka dengan orang Melayu, selebihnya sama saja.

Mereka makan masak lemak, nasi kerabu, sambal belacan, jering dan apa saja masakan orang Melayu. Mereka berkain sarung di rumah. Malah, mereka juga percaya kepada bomoh, antara kepercayaan yang sinonim dengan orang Melayu atau Siam.

Di Kelantan, ada 47 kampung tradisional yang sejak dulu didiami masyarakat berketurunan Cina dan dikatakan penempatan itu bermula sejak 600 tahun dulu dengan kebanyakannya terletak di tebing sungai dari Kota Bharu hingga ke Gua Musang dalam jarak lebih kurang 180 kilometer.

Mengikut rekod Persatuan Peranakan Cina Kelantan, ada hampir 16,000 Cina Peranakan di Kelantan dengan hanya hampir 2,000 daripadanya sudah berhijrah dan menetap di bandar, manakala sebahagian besarnya masih kekal di kampung.

Kampung Mata Ayer di jajahan Machang menjadi kampung dengan penempatan paling ramai iaitu lebih kurang 2,000 orang, diikuti Kampung Kulim, Kampung Dusun Pulai dan Kampung Pasir Parit yang penduduknya dianggarkan lebih kurang 1,000 orang.

Uniknya, penempatan mereka di kebanyakan kampung dibina secara terancang dan tersusun. Jika kita menjengah ke kebanyakan lokasi perkampungan sekitar Kelantan, tidak disangka ada orang Cina di situ kerana kebiasaannya akan melalui deretan rumah orang Melayu.

Selepas meneroka ke kawasan lebih dalam iaitu sehingga ke tebing sungai, baru kelihatan ada rumah dihiasi tanglung atau patung Buddha. Paling tidak pun, tulisan Cina berwarna merah menghiasi pintu rumah kampung yang coraknya seakan-akan rumah Melayu, cuma atapnya lebih runcing.

Kekeliruan pasti timbul kerana meskipun sudah melalui kawasan deretan rumah yang dihiasi objek orang Cina, sukar untuk membezakan mereka kerana ada berwajah Melayu atau Siam. Jika disapa, pertuturan mereka tidak langsung melambangkan orang Cina kerana pelat mereka sudah tiada.

Justeru, itulah keunikan mereka kerana mampu berjiran dengan masyarakat Melayu, apatah lagi dapat menyerap budaya di sekeliling mereka.

Sejarah Seni Khat

enulisan Khat yang pertama di dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh. Fakta yang tercatat daripada sumber bertulis – seorang sufi mendapat ilham menghasilkannya melalui mimpi. Tulisan-tulisan yang dihasilkan dinamakan Kufic (Kufi) iaitu tulisan yang tidak bercantum. Ia digunakan sehingga kurun ke-12.

Pada kurun ke 10 – seni kaligrafi Islam tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni. Tulisan kaligrafi Islam ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu khat Kufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth, Khat Riqa.

Tulisan kaligrafi dari jenis Nasakh dijadikan asas dalam mempelajari sistem tulisan Arab di negara berkenaan. Alam Melayu tidak terkecuali menyerap unsur Nasakh ini sebagai asas pembelajaran tulisan jawi, yang kemudiannya dipertingkatkan dengan sistem tulisan khat yang lain.

Khat Kufi dikatakan sebagai khat yang paling popular didunia. Ia digunakan sebagai tulisan dalam Al-Quran selama tiga kurun lamanya. Sistem khat Kufi yang tidak mengalami banyak perubahan semasa menjadi asas ia dikekalkan sebagai tulisan di dalam naskah al-Quran.

Pada kurun ke-16 dan 17 – seni khat pernah menjadi medium komunikasi terpenting dalam menyampaikan mesej diplomatik. Ia diperkenalkan oleh Housam Roumi semasa era Suleyman 1 di wilayah Turki. Kesenian tulisan khat jenis ini terserlah melalui tanda diakritik dengan tulisan yang menarik. Seni khat yang dikenali dengan nama Diwani ini berkembang seiring dengan variasinya iaitu Diwani al-Jali yang berbingkai.Antara seni khat yang masih lagi menjadi tumpuan para peminat seni warisan Islam hingga kini termasuklah khat Tuluth dan khat Riqa.

Pada awal perkembangan seni khat, sejenis pokok yang direncongkan hujungnya dan dicelup dengan cecair dakwat, ditulis pada kepingan kulit-kulit tamar, kulit kambing yang dikeringkan dan daun-daun papyrus yang dijadikan kertas. Namun begitu, alam Melayu menyaksikan penggunaan batang-batang pokok resam sebagai alatan utama untuk menulis khat. Batang resam yang ditiruskan pada bahagian hujungnya akan dicelupkan dengan dakwat sebelum tulisan khat dilakarkan pada kertas.

Seni Khat yang teradaptasi dengan dunia moden terus berkembang tetapi masih lagi bertapak pada seni yang asal iaitu dalam konteks keIslaman (mentauhidkan Allah dan lebih berupa nasihat). Kini, seni khat bukan sahaja terlakar pada kepingan kertas malahan menjadi hiasan bercorak islamik apabila ia ditulis pada kepingan cermin, diukir pada mimbar-mimbar masjid dan turrut dijadikan cenderamata untuk kenangan. Nafas baru dalam penghasilan seni khat ini secara tidak langsung meningkatkan martabat seni khat sebagai unsur seni yang cukup tinggi.

Nama-nama besar di alam Melayu dalam bidang seni khat seperti Profesor Mohd Bukhari Lubis dan Imad, sudah cukup membuktikan kesenian unggul Islam ini berkesinambungan selamanya. Usaha Pak Matlob yang giat meneruskan kesinambungan sistem tulisan jawi (asas dalam seni khat) sesuatu yang amat membanggakan. Seni khat tidak akan berkubur ditelan arus zaman dengan adanya insan-insan yang mewarisi bakat mempertahankan kesenian unggul Islam seperti mereka. Sesungguhnya seni kaligrafi Islam adalah lambang kesenian unggul tamadun Islam yang tiada tandingannya.

Sultan Selangor-Imbau Sejarah dan Ambil Ikhtibar

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa bertitah mana-mana kumpulan masyarakat yang ingin melakukan perubahan harus melihat sejarah dan mengambil iktibar daripada pengalaman generasi terdahulu.
Baginda bertitah sejarah tidak boleh dipandang remeh apatah lagi diketepikan sekali gus menjadikan pengetahuan dan kefahaman sejarah adalah suatu kewajipan kepada semua warganegara.
"Ini penting bagi orang Melayu dan juga bukan Melayu di mana mereka sebenarnya menikmati hak-hak tertentu berdasarkan sejarah, khususnya soal tolak ansur (kontrak sosial) dan hak-hak istimewa semasa rundingan kemerdekaan," titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam Di Malaysia di sini, Selasa.
Turut hadir pada konvesyen anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Ikim Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sultan Sharafuddin Idris bertitah perkara itu dapat dilihat berasaskan Hukum Kanun Melaka yang dibuat semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah sekitar 1446 hingga 1456, yang dijadikan model dan panduan kepada negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung sehingga melahirkan teks undang-undang seperti Undang-undang Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Johor dan Undang-undang 99 Perak.
Undang-undang itu seterusnya menjadi asas kepada perlembagaan rasmi beberapa negeri Melayu contohnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor yang mensyaratkan bahwa Raja dan Sultan negeri itu hendaklah lelaki, beragama Islam, berdarah raja Johor dan berbangsa Melayu.
Baginda bertitah fakta sejarah itu membuktikan kewujudan sistem pentadbiran undang-undang Islam adalah seawal dan seiring dengan kedatangan Islam ke rantau ini apabila memberi kesan dan perubahan yang ketara terhadap adat resam, sosio-budaya, sistem ekonomi, politik dan perundangan sekali gus memberi pengiktirafan kepada kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan dan sistem demokrasi negara.
"Antara kebaikan utama pengiktirafan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan dan sistem demokrasi negara ialah ia boleh mengelakkan agama daripada dipolitikkan oleh parti yang memerintah dan memastikan agama dilaksanakan tanpa mengira kepentingan ahli politik yang menguasai kerajaan.
"Beta yakin dengan cara inilah peranan sebenar institusi kesultanan Melayu sebagai payung dalam membela, menjaga dan memartabatkan Islam akan berkesan dan memberi impak ketara kepada masyarakat dan negara sekali gus menjadikan Institusi Raja dan Sultan lebih dihormati, bukan ditakuti atau dicurigai," titah baginda.
Mengenai konvensyen itu, Sultan Sharafuddin bertitah semua wakil institusi agama yang menyertainya dapat memberikan idea, berbahas, mencapai persetujuan, menghasilkan rumusan bernas dan merangka pelan tindakan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi menjayakan program tranformasi itu.
Konvensyen dua hari itu antara lain bertujuan memberi pendedahan tentang sejarah, kedudukan cabaran dan realiti semasa sistem perundangan negara, membuat penilaian ke atas institusi Islam yang berkaitan dalam tadbir urus hal ehwal perundangan Islam dan mengemukakan cadangan atau rumusan penyelesaian holistik ke arah lonjakan perubahan secara cekap, bertenaga, agresif, dinamik dan sistematik.
Ia disertai 200 pegawai kanan dari institusi agama termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Peguam Negara (Seksyen Syariah), Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Selasa, April 12, 2011

Sultan Muhamad V terima kurniaan DK Negeri Sembilan

















Pada hari Khamis, 7 April 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V telah berangkat ke Istana Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, untuk menerima kurniaan Darjah Kerabat (DK) Negeri Sembilan dari Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Junjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di atas kurniaan tersebut.

Rabu, April 06, 2011

PENGURNIAAN VAN JENAZAH KEPADA MASJID AL-QUDDUS, PAYA BEMBAN











Pada hari Ahad, 3 April 2011, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Dato’ Ahmad Mahmood, dan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Kelantan, Dato’ Sukri Mohamed, telah mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V mengurniakan sumbangan sebuah van jenazah kepada pihak pengurusan Masjid Al-Quddus, Paya Bemban, Kota Bharu.

Semoga sumbangan ini akan dapat melicinkan soal urusan jenazah di kalangan ahli-ahli qari’ah Masjid Al-Quddus khususnya dan di kalangan masyarakat setempat umumnya.

Sultan Muhamad V menghadiri majlis perkahwinan































Pada hari Ahad, 3 April 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V telah berangkat untuk menghadiri majlis persandingan secara serentak anak lelaki (Mohd Razif) dan anak perempuan (Raziela) kepada Dato’ Razali Daud di Hotel Renaissance, Kota Bharu.

Semoga kedua-dua pengantin baru dan pasangan mereka ini akan hidup bahagia hingga ke anak cucu.

Isnin, April 04, 2011

SULTAN MUHAMMAD KE-V MERASMIKAN PROGRAM KEM KESIHATAN



































Pada hari Sabtu, 2 April 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V telah berangkat untuk merasmikan Program Kem Kesihatan Kesatuan Pakar-Pakar Sakit Telinga, Hidung dan Tekak (MSO-HNS), di Pejabat Operasi KESEDAR Mengkebang, Kuala Krai.

Program membabitkan 100 orang pegawai perubatan dan kakitangan HUSM Kubang Kerian yang turun padang bagi memeriksa dan merawat para penduduk pedalaman secara percuma ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada kira-kira 1,000 penduduk berhampiran.

Tahniah diucapkan kepada semua pegawai perubatan dan kakitangan HUSM Kubang Kerian serta semua agensi kerajaan yang turut memberikan kerjasama mereka bagi menjayakan program ini. Semoga program ini akan diperluaskan ke kawasan lain pada masa hadapan.