enulisan Khat yang pertama di dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh. Fakta yang tercatat daripada sumber bertulis – seorang sufi mendapat ilham menghasilkannya melalui mimpi. Tulisan-tulisan yang dihasilkan dinamakan Kufic (Kufi) iaitu tulisan yang tidak bercantum. Ia digunakan sehingga kurun ke-12.
Pada kurun ke 10 – seni kaligrafi Islam tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni. Tulisan kaligrafi Islam ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu khat Kufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth, Khat Riqa.
Tulisan kaligrafi dari jenis Nasakh dijadikan asas dalam mempelajari sistem tulisan Arab di negara berkenaan. Alam Melayu tidak terkecuali menyerap unsur Nasakh ini sebagai asas pembelajaran tulisan jawi, yang kemudiannya dipertingkatkan dengan sistem tulisan khat yang lain.
Khat Kufi dikatakan sebagai khat yang paling popular didunia. Ia digunakan sebagai tulisan dalam Al-Quran selama tiga kurun lamanya. Sistem khat Kufi yang tidak mengalami banyak perubahan semasa menjadi asas ia dikekalkan sebagai tulisan di dalam naskah al-Quran.
Pada kurun ke-16 dan 17 – seni khat pernah menjadi medium komunikasi terpenting dalam menyampaikan mesej diplomatik. Ia diperkenalkan oleh Housam Roumi semasa era Suleyman 1 di wilayah Turki. Kesenian tulisan khat jenis ini terserlah melalui tanda diakritik dengan tulisan yang menarik. Seni khat yang dikenali dengan nama Diwani ini berkembang seiring dengan variasinya iaitu Diwani al-Jali yang berbingkai.Antara seni khat yang masih lagi menjadi tumpuan para peminat seni warisan Islam hingga kini termasuklah khat Tuluth dan khat Riqa.
Pada awal perkembangan seni khat, sejenis pokok yang direncongkan hujungnya dan dicelup dengan cecair dakwat, ditulis pada kepingan kulit-kulit tamar, kulit kambing yang dikeringkan dan daun-daun papyrus yang dijadikan kertas. Namun begitu, alam Melayu menyaksikan penggunaan batang-batang pokok resam sebagai alatan utama untuk menulis khat. Batang resam yang ditiruskan pada bahagian hujungnya akan dicelupkan dengan dakwat sebelum tulisan khat dilakarkan pada kertas.
Seni Khat yang teradaptasi dengan dunia moden terus berkembang tetapi masih lagi bertapak pada seni yang asal iaitu dalam konteks keIslaman (mentauhidkan Allah dan lebih berupa nasihat). Kini, seni khat bukan sahaja terlakar pada kepingan kertas malahan menjadi hiasan bercorak islamik apabila ia ditulis pada kepingan cermin, diukir pada mimbar-mimbar masjid dan turrut dijadikan cenderamata untuk kenangan. Nafas baru dalam penghasilan seni khat ini secara tidak langsung meningkatkan martabat seni khat sebagai unsur seni yang cukup tinggi.
Nama-nama besar di alam Melayu dalam bidang seni khat seperti Profesor Mohd Bukhari Lubis dan Imad, sudah cukup membuktikan kesenian unggul Islam ini berkesinambungan selamanya. Usaha Pak Matlob yang giat meneruskan kesinambungan sistem tulisan jawi (asas dalam seni khat) sesuatu yang amat membanggakan. Seni khat tidak akan berkubur ditelan arus zaman dengan adanya insan-insan yang mewarisi bakat mempertahankan kesenian unggul Islam seperti mereka. Sesungguhnya seni kaligrafi Islam adalah lambang kesenian unggul tamadun Islam yang tiada tandingannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan