Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Khamis, Mac 15, 2012

Kesultanan Kelantan Purba


Kemunculan negeri Kelantan dalam sejarah Tanah Melayu agak sukar untuk dijelas bagaimana ianya bermula. Negeri Kelantan dan Patani adalah antara negeri-negeri yang bernaung di bawah Empayar Langkasuka dan kedua-duanya pula sangat berkait rapat dari segi pemerintahan mahu pun hubungan kekeluargaan. Nama negeri Jaya dan Chermin adalah negeri di dalam Kerajaan Langkasuka yang kemudiannya berada di bawah penguasaan Empayar Sri Wijaya. Kedua-dua negeri tersebut juga pernah mempunyai pusat pentadbiran di Kota Mahligai. Tiada bukti mencukupi untuk menjelaskan hubungan kedua-dua pemerintah negeri tersebut.

Raja-raja Kelantan bagaimanupun mempunyai hubungan persaudaraan yang masih rapat dengan Kesultanan Melaka melalui keturunan Maharaja Sri Wijaya yang berpusat diPalembang. Maharaja Sri Wijaya inilah yang telah melahirkan Kesultanan Kelantan dan Melaka Purba.





Pada abad ke-11, Maharaja Malayur dari Empayar Sri Wijaya telah memerintah Kerajaan Langkasuka. Negeri-negeri yang di bawah pemerintahan baginda bermula dari Terengganu, Kelantan sehingga ke negeri-negeri di Segenting Kra. Maharaja Malayur tersebut bernama Raja Sakranta / Raja Zainuddin (1253 – 1267). Semasa pemerintahan baginda, Langkasuka telah didatangi pendakwah Islam (ahli sufi) dari Pasai yang dikenali di Kelantan sebagai Tok Loghe. Pernah suatu ketika Tok Loghe tinggal di sebuah kampung di sekitar antara Tok Uban dan Pasir Mas. Raja Sakranta sangat tertarik dengan cara dakwah Tok Loghe serta memeluk agama Islam dan menggunakan nama Raja Zainuddin. Pada tahun 1267, Raja Zainuddin telah menyerahkan tahta pemerintahan Kerajaan Langkasuka kepada putera baginda bernama Raja Sang Tawal. Tindakan baginda turun daripada tahta tersebut adalah kerana ingin berdakwah menyebarkan agama Islam bersama-sama Tok Loghe. Raja Zainuddin kemudiannya mengikuti Tok Loghe kembali ke Samudra Pasai. Disamping aktif berdakwah, Raja Zainuddin juga dikatakan telah dilantik oleh Sultan Malikul Salleh / Merah Silu (Sultan Samudra Pasai sehingga 1297) sebagai Penasihat Sultan selama 20 tahun.

 Pada tahun 1295, Kerajaan Siam Sukhothai di bawah pemerintahan Ram Khamhaeng (1279 – 1298), telah menyerang Langkasuka di Singgora. Serangan tersebut menyebabkan Raja Langkasuka, Raja Sang Tawal (1267 – 1298) yang berada di Ligor telah berundur ke selatan, berkemungkinan di Kelantan atau Patani.

Salah seorang puteri Raja Sang Tawal bernama Adrujawijaya Malasingha. Dalam tahun 1345, Ibnu Bhatutta dalam pelayaran membawa utusan Sultan Muhammad Tugluq (India) ke Chinatelah singgah di Kuala Krai. Di dalam catatannya, Ibnu Bhatutta terpesona dengan kecantikan raja perempuan bernama Urduja yang mempunyai paras seperti puteri Turki. Urduja itulah Adrujawijaya Malasingha iaitu raja yang memerintah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayung (1318 – 1348). Baginda dikatakan telah membunuh salah seorang raja Siam Sukhothai yang membawa kepada kebangkitan Siam Ayuthia menggulingkan kuasa Siam Sukhothai. Urduja juga disebut oleh rakyat Kelantan Che Siti Wan Kembang. (Nota: (i) 262 tahun kemudian muncul seorang lagi raja perempuan juga bernama Che Siti Wan Kembang yang memulakan pemerintahan pada 1610. (ii) Catatan Ibnu Bhatutta juga memberitahu penduduk Kelantan majoritinya beragama Hindu Ramayana).

Puteri Linang Cahaya juga merupakan salah seorang puteri Raja Sang Tawal. Puteri tersebut kemudiannya telah berkahwin dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubra, seorang mubaligh Arab dari India. Perkahwinan Puteri Linang Cahaya dan Sayyid Hussein Jamadil Kubra telah melahirkan Maulana Malik Ibrahim dan Puteri Aishah. Maulana Malik Ibrahim juga lebih terkenal dengan panggilan Sunan Gresik iaitu seorang Waliyullah yang paling tua dikalangan Wali Sembilan (Wali Songo). (Nota: Terdapat juga dakwaan bahawa Maulana Malik Ibrahim adalah anak Sayyid Hussein Jamadil Kubra dengan isteri pertamanya di India bernama Puteri Nizam Al-Mulk. Bagaimana pun penulis berpendapat bahawa Sunan Gresik adalah putera kepada Puteri Linang Cahaya. Hal selanjutnya akan dinyatakan oleh penulis pada masa akan datang).

Putera Raja Sang Tawal bernama Raja Bharubhasa / Sultan Mahmud Syah (1339 – 1362) menaiki tahta Langkasuka setelah kemangkatan baginda. Raja Bharubhasa juga dikatakan meluaskan lagi Empayar Langkasuka sehingga ke Perak dan Kedah.

Pada tahun 1345, Siam Sukhothai di bawah Phaya Nguanamthom (1323 – 1347) telah sekali berjaya mengundurkan Kerajaan Langkasuka. Raja Bharubhasa sekali lagi memindahkan pusat pentadbiran dari Patani ke Kota Jiddah di Bukit Panau.

Raja Bharubhasa telah memeluk agama Islam melalui Sayyid Hussein Jamadil Kubra yang juga Penasihat Kerajaan Langkasuka pada tahun 1350. Baginda kemudiannya menggunakan nama Sultan Mahmud Syah sebagai nama pemerintah Islam. Nama rasmi baginda ialah Sultan Mahmud Jiddah Riayat Sa’adtus Salam.

Siam kemudiannya berjaya dihalau oleh Kerajaan Majapahit di bawah pimpinan Gajah Mada pada tahun 1357. (Raja-Raja Majapahit juga masih mempunyai hubungan persaudaraan dengan Raja Kelantan. Hubungan ini bermula dari Raja Suran dan Ken Arok, Raja Singhasari adalah adik beradik. Raja Majapahit pula adalah piut Ken Arok. Ini bermakna Raja Bharubhasa dan Raja Majapahit, Sri Rajasanagara (1328 – 1350) adalah empat pupu). Semenjak itu tidak lagi kedengaran nama Langkasuka digunakan setelah digantikan dengan nama Empayar Chermin-Majapahit II). Sultan Mahmud Syah mangkat pada tahun 1362.

Seorang puteri Sultan Mahmud Syah bernama Puteri Nareswari telah dikahwinkan dengan Raja Champa bernama Che Bo Nga. Puteri Nareswari dan Che Bo Nga telah menerima Islam juga melalui Sayyid Hussein Jamadil Kubra dan menukarkan nama baginda berdua kepada Siti Zubaidah dan Sultan Zainal Abidin (Raja Champa, 1360 – 1390).

Setelah Sultan Mahmud Syah mangkat, putera baginda bernama Sultan Baki Syah (1362 – 1418) menaiki tahta Kerajaan Chermin. Ada pun Sultan Baki Syah itu bukanlah hanya seorang pemerintah yang bergelar Sultan semata-mata, bahkan baginda juga merupakan seorang pendakwah yang turut bersama-sama ulama dalam menyebarkan syiar Islam.

Sultan Baki Syah mempunyai 2 orang putera dan 2 puteri. Kedua-dua putera baginda tersebut kemudiannya menjadi Raja Kelantan setelah kemangkatan baginda. Puteri bongsu Sultan Baki Syah bernama Puteri Selindung Bulan telah dikahwinkan dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubra. Perkawinan ini telah melahirkan Sayyid Ali Nurul Alam yang menurunkan generasi ulama-ulama dan panglima-panglima Nusantara serta Raja-Raja Melayu Champa, Kelantan, Patani dan Jawa kemudiannya.

Dalam tahun 1380, Sultan Baki Syah bersama rombongan telah belayar dari negeri Chermin ke Grisek di Jawa. Turut serta dalam rombongan tersebut termasuklah putera sulung baginda, Saddiq Muhammad. Jawa. Rombongan dakwah itu adalah bertujuan untuk membantu sepupu baginda, Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) untuk mengislamkan Raja Jawa bernama Hayam Wuruk / Sri Rajasanagara (1350 – 1389). Bagi tujuan itu juga, Sultan Baki Syah telah mengahwinkan puteri baginda, Puteri Darawati dengan Hayam Wuruk. (Puteri Darawati adalah kekanda Puteri Selindung Bulan juga merupakan kakak ipar Sayyid Hussein Jamadil Kubra).

Sultan Saddiq Muhammad Syah (1418 – 1429) merupakan putera sulung Sultan Baki Syah. Baginda menaiki tahta setelah kemangkatan ayahnanda baginda pada tahun 1418. Baginda memerintah negeri Chermin selama 11 tahun dan mangkat pada tahun 1429.

Negeri Kelantan telah mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Majapahit di Jawa. Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Syah (1429 – 1467), nama negeri Chermin sudah jarang disebut orang. Negeri tersebut sudah dimasyhurkan dengan nama Kelantan-Majapahit II. Sultan Iskandar Syah juga digelar sebagai Raja Kemas Jiwa dengan gelaran Majapahit sebagai Sang Ajit Jaya Ningrat. Bahkan Perdana Menteri Kelantan semasa pemerintahan baginda ialah Sayyid Ali Nurul Alam ibni Sayyid Hussein Jamadil Kubra, turut memakai gelaran Pateh Arya Gajah Mada (Perdana Menteri Kelantan-Majapahit II, 1432 – 1467).

Sultan Iskandar Syah telah berkahwin dengan puteri Raja Chandranekalawa (Raja Champa, 1460 – 1471).





Pada tahun 1465, negeri Kelantan telah diserang oleh Kerajaan Siam-Ayuthia di bawah pemerintahan Phra Boromma Trailoknat (1448 – 1488). Serangan Siam Ayuthia tersebut telah menyebabkan Sultan Iskandar Syah terpaksa berundur ke Champa. Bagaimana pun, pada tahun 1467, Siam Ayuthia telah dikalahkan oleh bala tentera Islam yang diketuai oleh Sayyid Ali Nurul Alam. Angkatan tentera Islam tersebut turut dibantu oleh Hang Tuah, Tun Mutahir, Laksamana Bentan Wan Demali ibni Ali Nurul Alam serta tentera Islam Acheh. Kemenangan tentera Islam tersebut telah melemahkan Kerajaan Siam Ayuthia yang beberapa tahun kemudian kerajaan tersebut telah dikalahkan pula oleh Kerjaaan Burma.

Sultan Iskandar Syah bagaimana pun mangkat dalam tahun yang sama iaitu 1467 di Champa, dan putera baginda Sultan Mansur Syah juga berada di Champa dan usia masih muda. Oleh yang demikian, Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah I (1488 – 1511) telah menasihati pembesar Kelantan dan Patani serta mencadangkan supaya dilantik Sayyid Ali Nurul Alam sebagai pengganti Sultan Iskandar Syah. Lalu semua pembesar kedua-dua negeri telah bersetuju menabalkan Sayyid Ali Nurul Alam sebagai Raja Besar bagi negeri Kelantan, Patani dan Terengganu dengan gelaran Sultan Qunbul. Di Kelantan, Sultan Qunbul melantik Sultan Mansur Syah (1467 – 1522) sebagai Raja Kelantan menggantikan Sultan Iskandar Syah.

Pada tahun 1522, Sultan Mansur Syah telah mangkat dan digantikan oleh putera baginda, Sultan Gombak (1522 – 1526). Sultan Gombak telah berkahwin dengan puteri Sultan Mahmud Shah I (Sultan Melaka dan Johor 1488 – 1528) bernama Raja Seri Dewi. Perkahwinan tersebut telah dikurniakan seorang putera benama Raja Mansur. Raja Mansur pula mangkat ketika ayahanda baginda Sultan Gombak masih lagi berada di atas tahta pemerintahan.  Baginda meninggalkan 2 orang putera.

Sultan Gombak mangkat pada tahun 1526 dan digantikan oleh cucunda baginda, Sultan Ahmad Syah ibni Raja Mansur (1526 – 1547). Sultan Ahmad Syah mempunyai seorang putera yang kemudiannya menaiki tahta setelah kemangkatan baginda. Selain itu baginda juga mempunyai seorang puteri yang diberi nama Che Siti Wan Kembang, sempena nama Urduja / Che Siti Wan Kembang (Raja Kelantan Serendah sekebun Bunga,1318 – 1348).

Setelah Sultan Ahmad Syah mangkat, putera baginda, Sultan Mansur Syah (1547 – 1561) telah menaiki tahta Kerajaan Kelantan. Pada tahun 1561 pula, Sultan Mansur Syah telah mangkat dan digantikan oleh putera tunggal baginda bernama Sultan Ibrahim Syah (1561 – 1565). Raja Umar ibni Raja Ahmad (1565 – 1570) telah dijemput oleh pembesar Kelantan untuk memerintah Kelantan. Pada tahun 1570 Raja Umar telah dijemput pula untuk memerintah Johor dengan gelaran Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1571 – 1597), maka Sultan Ibrahim Syah (1561 – 1565 & 1570 – 1579) telah menaiki tahta Kelantan bagi kali kedua.

Kemangkatan Sultan Ibrahim Syah pada 1579, telah digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad Syah (1579 – 1602). Sementara itu, Che Siti Wan Kembang, iaitu puteri Sultan Ahmad Syah (nenda saudara Sultan Muhammad Syah) telah memerintah di Gunung Chinta Wangsa pada tahun 1610 – 1677.

Setelah Kemangkatan Sultan Muhammad Syah pada  tahun 1602 dan Paduka Che Siti Wan Kembang pada 1677, maka berakhirlah Kesultanan Kelantan Purba dari Keturunan Wangsa Sri Wijaya. Negeri Kelantan selepas itu diperintah oleh Dinasti Kesultanan berdarah ulama dari Kerajaan Islam Champa yang dikenali sebagai Kerajaan Jembal Kelantan.

1 ulasan:

  1. Bukan Urduja ni org filipina ke? saya banyak buat rujukan kat internet kebanyakan mereka mengatakan puteri urduja ni puteri filipina..paling tepat dkt kwasan "talamasin?"..boleh x saudara terangkan apa yg membuatkan saudara betul2 yakin yg Puteri Urduja ni sememangnya pemerintah kelantan dan bukan di filipina..

    BalasPadam