Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Jumaat, Jun 03, 2011

Sultan Muhamad V bakal berkahwin

KOTA BAHARU: Pengisytiharan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang memberi gambaran bahawa baginda bakal berkahwin disambut penuh gembira oleh seluruh rakyat Kelantan.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata rakyat Kelantan menyifatkan ia sebagai perkhabaran gembira yang dinantikan seluruh rakyat jelata yang sering tertanya-tanya siapakah bakal permaisuri pilihan hati Sultan berjiwa rakyat itu dan seterusnya bergelar Raja Perempuan.
Rakyat di pedalaman khususnya yang beberapa kali berpeluang bertemu dengan Baginda Sultan memanjat kesyukuran dan mendoakan kebahagian Baginda.
“Alhamdulillah… syukur sangatlah pakcik bila dengar orang cerita Sultan nak nikah… lama dah kita orang kampung dok tertanya-tanya sebab kalau Sultan turun mari kampung kita, mesti baginda seorang.
“Lepas ni, bukan pakcik seorang yang boleh salam dengan Sultan, isteri pakcik pun bolehlah mari salam dengan Raja Perempuan,” kata Mat Jusoh, 72, dari Rancangan Pemulihan Tanah (RKT) Mengkebang, dekat Kuala Krai.
Mat berkata beliau sudah dua kali bertemu dengan Baginda Sultan yang turun ke kawasannya.
Kelmarin dalam satu sidang akhbar khas di Istana Negeri, Kubang Kerian, Sultan Muhammad V, 42, yang mudah membahasakan diri baginda sebagai “saya” atau “kita”, memberi gambaran bahawa baginda bakal berkahwin.
Sultan Muhammad yang dimasyhurkan pada 13 September tahun lepas bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.
Sementara itu seorang penduduk Pasir Puteh, Hasnah Aziz, 59, berkata sebagai rakyat, beliau turut gembira dan tidak sabar untuk menunggu kemunculan Raja Perempuan baru negeri itu.
Katanya Sultan Muhammad V merupakan Sultan yang amat disanjunginya dan dengan gambaran yang diberi Baginda untuk memiliki permaisuri diharap menjadi permulaan kepada kehadiran zuriat yang berjiwa rakyat seperti baginda.
Kami gembira bila baca surat khabar hari ini (semalam) mengatakan Sultan Kelantan akan berkahwin, walaupun belum ada tarikh atau hari yang ditentukan dan juga belum diumum siapa pilihan hati baginda, kami doakan kebahagiaan dan kesempurnaan buat baginda dan pasangan,” katanya.
Bagi seorang pelajar, Noor Amalina Ali, 22, yang menuntut di Shah Alam berkata, beliau dan rakan-rakannya juga gembira dengan perkhabaran itu.
“Sifat Sultan Muhammad V yang berjiwa rakyat bukan sahaja menjadi buah mulut rakyat Kelantan, tapi juga rakyat di negeri lain, justeru bila diumumkan Baginda Sultan akan berkahwin, pastinya ia menjadi cerita besar buat kami yang sentiasa mengikuti perkembangan baginda walaupun kami berada di luar Kelantan,” katanya. — Suara Istana Balai Besar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan