Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Sabtu, Oktober 15, 2011

Menteri Besar Kelantan dalam kenangan


1) Haji Nik Mahmud Bin Haji Ismail (Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja) 1921-1944.
Haji Nik Mahmud Bin Haji Ismail (Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja) 1921-1944.
Beliau adalah pembesar negeri yang paling berpengaruh dalam pentadbiran Negeri Kelantan pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua. Menteri Besar Kelantan ini bergelar Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja. Anak kepada Tok Khadhi Haji Ismail bin Haji Mahmud dan Hajjah Wan Aishah bt. Osman ini dilahirkan di Kota Bharu pada akhir tahun 1882. Pada tahun 1898 beliau dibawa oleh bondanya ke Mekah dan berguru dengan Shiekh Wan Ahmad Bin Mohd Zain al-Fatani yang tersohor ketika itu.
Penglibatan Haji Nik Mahmud dalam pentadbiran negeri bermula pada tahun 1907 apabila beliau berkhidmat di Pejabat Tanah Kota Bharu dan pada tahun 1908 berkhidmat sebagai kerani  di Istana Balai Besar (Pusat Pentadbiran Negeri ketika itu). Kecekapan beliau menjalankan tugas menyebabkan beliau dilantik pula kejawatan Penolong Setiausaha Sulit kepada Sultan Kelantan.
Kepimpinan Haji Nik Mahmud kian terserlah apabila dipilih menjadi Penolong kepada Menteri Besar Encik Hassan b Mohd Salleh dengan mandate menjalankan tugas-tugas seorang Menteri Besar. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar pada 30 April 1921 dengan kurniaan gelaran Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja. Gelaran ini sering diringkaskan dengan panggilan Dato’ Perdana Menteri  sahaja atau Dato’ Besar.
Sebagai perancang dan pentadbir yang pintar, sumbangan dalam kemajuan pentadbiran kerajaan sangat besar. Antaranya menyusun semula sistem pentadbiran, memperkenalkan arahan perkhidmatan mirip “Perintah Am”, sistem gaji baru Pegawai Kerajaan dan mengendalikan kes tuntutan guaman Kompeni Duff terhadap Kerajaan Kelantan.
Faktor kesihatan mendorong beliau melepaskan jawatan Menteri Besar pada 27 December 1944 dan diganti  oleh puteranya, Nik Ahmad Kamil yang menjadi Timbalan Menteri Besar ketika itu. Beliau telah meninggal dunia pada 18 Ogos 1964.
 2) Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil Bin Nik Mahmud (Dato’ Seri Setia Raja) 1944-1953.
Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil Bin Nik Mahmud (Dato’ Seri Setia Raja) 1944-1953
Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil Bin Nik Mahmud ialah seorang anak kebanggaan Kelantan yang mencapai kecemerlangan dalam banyak bidang termasuk pendidikan, perkhidmatan kerajaan, koperat dan kerjaya politik. Beliau ialah Menteri Besar Kelantan dari tahun 1944-1953. Sebelum menjadi teraju utama kerajaan negeri, beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1934 dan Timbalan Menteri Besar Kelantan pada tahun 1938. Beliau juga salah seorang dari Ahli Rombongan Misi Kemerdekaan yang turut ke London pada tahun 1956 bagi merundingkan bagi merundingkan  kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.
Beliau dilahirkan pada 7 Julai 1909 dan mendapat pendidikan awal di Madrasah Muhammadi, Majlis Ugama Islam Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar 1925 sehingga lulus peperiksaan Senior Cambridge. Pada tahun 1926 beliau telah dihantar oleh Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pengajian Undang-undang di United Kingdom sehingga lulus Ijazah “Barrister at Law” dari Lincoln’s Inn pada November 1930.
Perkhidmatan beliau dalam kerajaan bermula dengan perlantikan sebagai Pelatih Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan pada tahun 1931. Beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah Pasir Puteh dan Majistret Kelas I di Mahkamah Kota Bharu. Selepas dua tahun sebagai Majistret, beliau dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
Sejarah gemilang beliau dalam perkhidmatan awam termasuklah menjadi Pesuruhjaya Perdagangan Malaya ke Australia pada tahun 1957, Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke United Kingdom pada tahun 1950, Setiausaha Tetap di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1958. Beliau juga ialah Wakil Tetap Kerajaan Persekutuan Kerajaan Tanah Melayu  ke Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1959. Beliau bersara daripada Perkhidmatan Awam pada Mei 1962.
Antara kegiatan dalam bidang koperat pula, beliau menjadi Pengerusi Syarikat Rothman of Pall-Mall (Malaysia) Bhd, pada tahun 1963 dan Pengerusi Public Bank  pada tahun 1968. Pada Jun 1973 beliau dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.
Penglibatan beliau dalam politik bermula dengan memasuki Persatuan Melayu Kelantan yang ditubuhkan pada tahun 1939. Pada tahun 1946 pula beliau menganggotai UMNO tetapi pada tahun 1955 telah memimpin Parti Negara Cawangan Kelantan. Pada tahun 1964, beliau telah dilantik sebagai Ketua Perhubungan UMNO Kelantan.

3) Tengku Mohamad Hamzah Bin Tengku Zainal Abidin. (Tengku Sri Maharaja) 1953-1959.
Tengku Mohamad Hamzah Bin Tengku Zainal Abidin. (Tengku Sri Maharaja) 1953-1959
Tengku Mohamad Hamzah Bin Tengku Zainal Abidin merupakan antara tokoh pentadbir dan politik yang terawal di Kelantan. Beliau memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dari tahun 1938 hingga tahun 1953. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dari 1953 sehingga pilihanraya umum 1959.
Dilahirkan pada 30 Mei 1909 di Kampung Raja Muda, Kota Bharu. Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Muhammadiah  Kota Bharu dan kemudiannya pendidikan di Sekolah Inggeris Kota Bharu. Dari situ, beliau menyambung pelajarannya di Singapura.
Kerjaya beliau yang luas dalam perkhidmatan Kerajaan bermula sebagai Hakim Pelatih pangkat Kedua di Mahkamah Kecil Pasir Mas pada 1 Mac 1926, diikuti sebagai Hakim pangkat pertama di Pasir Mas dan Tumpat pada 1 Januari 1929. Pada 1 Februari 1930, beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tanah di Kota Bharu.
Setahun selepas itu, beliau memegang jawatan Setiausaha di Pejabat Datuk Perdana Menteri pada 26 Februari 1931. Dari situ, beliau dilantik Penolong Pegawai Daerah I di Pejabat Tanah Pasir Puteh dan pada 3 Oktober 1932 dilantik sebagai Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Tanah Kota Bharu. Beliau pernah memangku jawatan Pemangku Menteri Besar semasa percutian Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil pada tahun 1950-1952.
Beliau melibatkan diri dalam politik dengan menjadi ahli Parti Negara yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Kegiatan beliau dalam pertubuhan kebajikan dan sukan terserlah apabila beliau pernah menjadi Presiden Kelab Rotary Kota Bharu dan juga Pengerusi Persatuan Olahraga Amatur Malaya Cawangan Kelantan.
Di atas kecemerlangan jasa dan sumbangan beliau, Tengku Muhammad Hamzah dianugerahkan Pingat Yang Gagah Perkasa pada tahun 1942 dan “Order of the British Empire” oleh Kerajaan British pada tahun 1946. Beliau dikurniakan gelaran Tengku Sri Maharaja pada 2 Julai 1935. Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia al-Muhammadi II (S.P.M.K) pada 2 Julai 1937 dan Darjah Kerabat  Yang Amat Dihormati al-Yunusi (D.K) pada 22 Februari 1945.

4) Dato’ Haji Ishak Lotfi Bin Omar. 1959-1964.
Dato’ Haji Ishak Lotfi Bin Omar. 1959-1964.
Dilahirkan di Kampung Masjid Kota Bharu pada tahun 1917. Semasa kanak-kanak, beliau beliau belajar di Sekolah Majlis Agama Islam yang dikenali dengan Madrasah Muhammadiah, Jalan Sultan, Kota Bharu. Pada tahun 1928, beliau dihantar ke Mekah bagi mendalami bidang ugama dan pulang ke Kelantan pada tahun 1937. Pada tahun 1938-1948, beliau menganggotai Persetiaan Melayu Kelantan dan tidak berapa lama selepas itu dilantik menjadi Setiausaha pertubuhan itu.
Pada tahun 1949, beliau bertugas di Majlis Agama Islam Kelantan sebagai Pegawai Zakat selama 10 tahun. Walaubagaimanapun, beliau meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihanraya umum 1959 dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Ketereh atas tiket Parti PAS dan dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun yang sama
Selepas 5 tahun memegang jawatan Menteri Besar, beliau dilantik pula memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan. Pada tahun 1973, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan kali yang kedua tetapi beliau meletak jawatan pada tahun 1975 dan tidak lagi bergiat cergas dalam politik. Beliau meninggal dunia pada tahun 1992.

5) Dato’ Haji Mohd Asri Bin Haji Muda. 1964-1973.
Dato’ Haji Mohd Asri Bin Haji Muda. 1964-1973.
Beliau merupakan seorang Nasionalis penting tanahair yang meniupkan semangat kemerdekaan dan penghayatan Islam. Peranan beliau dalam mencorakkan politik Kelantan sangat ketara. Bersama-sama dengan rakan seperjuangan dalam PAS, beliau berjaya membentuk kerajaan Negeri yang pertama di Kelantan selepas Pilihanraya Umum 1959.
Dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu pada 10 Oktober 1923. Pendidikan formalnya di Sekolah Majlis Agama Islam Kelantan dan semasa pendudukan Jepun, beliau dipilih untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Bahasa Jepun “Mraikoa Korensho” di Melaka selama 4 tahun.
Beliau selanjutkannya berhijrah ke negeri Perak, bertugas sebagai guru di Gunung Semanggol dan turut menganggotai Hizbul Muslimin iaitu pertubuhan politik Islam pertama di Tanah Melayu. Semenjak itu, beliau terus aktif dlam politik negara. Bermula dengan jawatan Setiausaha Agung PAS Bukit Mertajam 1953, Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu dan Naib Yang di Pertua Agung PAS 1961-1964 dan Yang di Pertua Agung PAS 1969.
Sebagai wakil rakyat, beliau memegang dua keahlian serentak iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Rakyat. Diperingkat negeri, beliau pernah memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1964 hingga 1873.
Apabila partinya menyertai Kerajaan Campuran (PAS-Perikatan), beliau menganggotai Kabinet Persekutuan dan dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas. Akibat krisis dalam PAS, beliau menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia. Pada 22 November 1988 beliau menyertai UMNO dan bergiat sehingga akhir hayatnya pada 1992.

6) Dato’ Haji Mohamed Bin Nasir. (Dato’ Bija Sura) 1973-1978
Dato’ Haji Mohamed Bin Nasir. (Dato’ Bija Sura) 1973-1978
Dato’ Haji Mohamed Bin Nasir dilahirkan pada Januari 1916 di Kampung Kota, Kota Bharu. Neneknya Malin Padek berketurunan Sumatera Barat. Beliau menuntut di Sekolah Majlis Agama Islam Kelantan, Royal English School, Kuala Krai dan Kolej Pertanian Serdang dengan mendapat Diploma of Agriculture pada tahun 1937. Beliau meneruskan pelajaran dengan menuntut ilmu al-Quran dan Hadis dari Maulana Ahmad Ali Lahore dan Maulana Mohamed Shah. Kemudian beliau mengepalai gerakan dakwah di seluruh Kelantan.
Dalam tahun 1959, beliau mula berpolitik secara aktif dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan. Setelah memenangi Pilihanraya Umum 1974, beliau diberi mandat oleh Barisan Nasional untuk menerajui pentadbiran Kelantan sehinggalah beliau ditarik oleh Kerajaan Persekutuan untuk dilantik sebagai Senator dan seterusnya Menteri Tidak Berportfolio. Selain daripada memimpin Parti Berjasa, beliau juga cergas dalam khidmat sukarela seperti menjadi Presiden Perkim Kelantan, Presiden Bekas Perajurit Kelantan, Presiden JP Kelantan, Pengasas Sekolah Agama Balaghulmubin, Penaung Persatuan India Muslim Kelantan dan Pengasas Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan.
Antara karier penulisannya ialah usul lima, janji dan manusia ke bulan dari kaca mata al-Quran, perbandingan Islam & Kristian, menjawab ancaman Kristian, Prinsip Undang-Undang Tubuh Berjasa dan pelbagai nota kuliah dan makalah.

7) Tan Sri Dato’ Mohamed Bin Yaacob. (Dato’ Bentara Kanan) 1978-1990.
Tan Sri Dato’ Mohamed Bin Yaacob. (Dato’ Bentara Kanan) 1978-1990.
Tan Sri Dato’ Haji Mohamed Bin Yaacob ialah anak Kelantan yang mencapai banyak kejayaan di dalam bidang pentadbiran, perundangan dan juga politik. Beliau merupakan antara tokoh yang telah membawa pembangunan pesat di Negeri Kelantan. Dilahirkan di Kampung Palekbang, Tumpat pada 3 Januari 1926, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Laut, Tumpat pada tahun 1936. Kecemerlangannya dalam pelajaran menyebabkan beliau terpilih mengikuti Kelas Khas ‘Special Malay’ di Sekolah Inggeris Sultan Ismail, Kota Bharu.
Beliau mula bertugas sebagai kerani sementara di Pejabat Pos Kota Bharu dan menjadi Setiausaha Sulit Sultan Kelantan pada tahun 1953. Beliau menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn, English sehingga lulus Ijazah “Barrister at Law” pada tahun 1958. Selepas itu, beliau bertugas sebagai Majistret di Muar dan Batu Pahat, Johor pada tahun 1959 dan Timbalan Pendakwaraya bagi negeri Perak pada tahun 1962. Pada tahun 1964, beliau menjadi Penasihat Undang-Undang  Negeri Terengganu dan Penasihat Undang-Undang Johor pada tahun 1967.
Penglibatan beliau dalam politik bermula dalam tahun 1949 apabila beliau mengetuai Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas. Beliau mengetuai UMNO Bahagian Machang pada 1971 dan Bahagian Tanah Merah pada 1974. Pada tahun 1984, beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Dalam Kerajaan Persekutuan, beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau kemudiannya diberi tanggungjawab lebih besar sebagai Menteri Pelajaran dalam tahun 1973, Menteri Tenaga, Teknologi dan Pendidikan pada tahun 1974 dan Menteri Perusahaan Awam pada tahun 1976.
Pada pilihanraya tahun 1978, beliau bertanding kerusi Dewan Negeri Kawasan Air Lanas yang membawa kepada perlantikan beliau sebagai Menteri Besar. Kecemerlangan, bakti dan sumbangannya kepada negeri dan negara, beliau dianugerahkan Darjah Seri Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1976 dan gelaran Dato’ Bentara Kanan oleh KDYMM al-Sultan Kelantan pada 1979, dan pada tahun 1988 beliau menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) daripada Yang di Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.

8) Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (Dato’ Bentara Setia) 1990-.
Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (Dato’ Bentara Setia) 1990-.
Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga ilmuan Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu pada tahun 1931. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah pondok di Jerteh, Terengganu. Pada tahun 1958, beliau telah ke India untuk mendalami ilmu Fiqh, usul Fiqh, tafsir al-Quran & al-Hadis di Universiti Deoband (Darul Ulum). Setelah menamat pengajian di India, Tuan Guru meneruskan lagi pelajaran di Mesir dimana beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Pengajian Bahasa & Ijazah Sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam.
Sekembalinya dari Mesir, beliau mula mengajar di kampung-kampung dan menjadi pengajar di Sekolah Maahad Muhammadi. Pada tahun 1967, beliau telah menyertai Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan telah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kelantan (Pengkalan Chepa) sehingga tahun 1986 dimana beliau telah bertanding di kawasan Parlimen Bachok.
Beliau telah dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat  hingga ke saat ini dan menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan. Kehadiran beliau dalam kepimpinan PAS Kelantan telah merubah parti itu ke visi perjuangan Islam. Beliau telah menerajui parti PAS sehinggalah pada 23 Oktober 1990 di mana parti PAS bersama-sama Semangat 46 dan BERJASA telah membentuk Angkatan Perpaduan Ummah iaitu (APU) dan telah berjaya mengambil alih pemerintahan Negeri Kelantan dan Tuan Guru dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan hingga hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan