"

Di Malaysia nanti, boleh disusun pelbagai aktiviti ceramah dan lawatan untuk Sheikh Nuh. Itulah impian saya. Lagipun, tak ramai yang mengenali beliau kecuali para pelajar Malaysia yang pernah belajar di Jordan (yang cakna ilmu) atau mereka yang mengikuti perkembangan ulama Islam. Namun Allah Yang Maha Mengasihi lebih mengasihi Sheikh Nuh. Beliau kembali ke rahmatullah pada pagi Ahad 19 Dis 2010 (13 Muharram 1432) dalam usia 71 tahun (74 tahun Hijrah) selepas menjalani pembedahan dan rawatan di Austria selama 3 bulan dan kembali ke Jordan tetapi masih dirawat di hospital di Amman. Sabtu malam Ahad saya bermimpi sedang bermain satu permainan, tiba-tiba air besar seperti Tsunami mengatasi bukit muncul. Saya bersyahadah dan azan. Air itu menerpa ke bawah saya tetapi tidak mengenai saya. Saya terjaga. Apa tafsir mimpi itu? Permainan tidur, syaitan atau apa? Ada kaitan dengan kematian itu? Wallahua’lam.

Sumbangan beliau kepada perkembangan Islam di negara Jordan yang kecil itu tidaklah boleh diperkecilkan. Angkatan Tentera Jordan diIslamkan dengan mewujudkan institusi agama tersendiri sehingga mempunyai mufti, para imamnya sendiri, termasuk silibus pengajian. Jauh lebih baik dari KAGAT.
Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan pelbagai aliran Islam di Jordan. Beliau bersahabat baik dengan para pemimpin Ikhwan Jordan, dihormati pemimpin sufi dan Tarikat, disegani oleh pegawai kerajaan dan disayangi oleh rakyat Jordan.

Ilmunya dikutip sungguh-sungguh. Kelebihannya ialah kerana beliau pernah belajar di madrasah di Syria ketika mudanya. Di zamannya, institusi ilmu di Syria hebat, seperti juga di Mesir walaupun pemerintah Syria sangat kuat menekan ulama dan Islam. Madrasah tempat pengajiannya di Syria itu melahirkan ulama-ulama terkenal. Kalau hanya mengharap pengajian rasmi BA-MA-PhD, tidaklah tamakkun sangat.
Sheikh Nuh adalah guru yang ke 8 telah meninggal dunia setakat ini: Datuk sendiri, Hj Abdullah (bapa Hj Zawawi, Mudir Taman Islam, Kemaman), TG Hj Hashim (pernah mengajar kitab di Kajang), TG Hj Ali b Musa (Pondok Siliau, NS), TG Hj Abdul Latif (Pak Teh Keroh/Pengkalan Hulu), TG Hj Najmudin (Pondok Paku Kerandang, Besut), Dr Walid al-Aani (pakar hadis, Univ Yarmouk-asal Iraq).
Moga Allah merahmati semua para ulama al-aamilin yang mendahului kita. ‘Allah tidak mencabut ilmu dengan tiba-tiba, tetapi Allah mencabut ilmu dengan meninggalnya para ulama.’ Bergurulah dengan ulama yang beramal dengan ilmunya, dan berjuanglah menegakkan Islam dengan ilmu itu. Jangan biarkan diri anda jahil dan jangan biarkan diri anda dipandu oleh pemimpin yang sesat dan menyesatkan.
“Mata menitiskan airmata, hati begitu sedih, tetapi tetap redha dengan ketentuan Ilahi”

"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan