Pada hari Sabtu, 2 April 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V telah berangkat untuk merasmikan Program Kem Kesihatan Kesatuan Pakar-Pakar Sakit Telinga, Hidung dan Tekak (MSO-HNS), di Pejabat Operasi KESEDAR Mengkebang, Kuala Krai. Program membabitkan 100 orang pegawai perubatan dan kakitangan HUSM Kubang Kerian yang turun padang bagi memeriksa dan merawat para penduduk pedalaman secara percuma ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada kira-kira 1,000 penduduk berhampiran. Tahniah diucapkan kepada semua pegawai perubatan dan kakitangan HUSM Kubang Kerian serta semua agensi kerajaan yang turut memberikan kerjasama mereka bagi menjayakan program ini. Semoga program ini akan diperluaskan ke kawasan lain pada masa hadapan.
BATU yang terbiar di Jalan Kong Sang dekat simpang keluar dan masuk ke Jalan Tuanku Munawir, Seremban ini tidak lagi mempunyai fungsi sebaliknya membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal.
Utusan Malaysia 31 Mac 2011
Sekali pandang mungkin batu yang berada di tengah jalan ini dahulu menempatkan papan tanda penunjuk arah bagi laluan kenderaan.
Namun batu yang terbiar di Jalan Kong Sang dekat simpang keluar dan masuk ke Jalan Tuanku Munawir, Seremban ini tidak lagi mempunyai fungsi sedemikian sebaliknya membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal.
Lensa jurugambar Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK AID yang merakamkan kewujudan baru di tengah jalan berkenaan, turut melihat beberapa motosikal cuba mengelaknya daripada terkena batu tersebut.
Bayangkan apa yang berlaku pada waktu malam dan bagaimana pula nasib penunggang motosikal yang melanggar batu di tengah jalan itu, lebih-lebih lagi apabila dibelakangnya diekori pula kenderaan seperti kereta, lori dan sebagainya.
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, OLEHYANG ARIF HAKIM AZMEL MAAMOR
30 JANUARI 1997
ALASAN BERTULIS HAKIM:
Ini adalah suatu rayuan oleh plaintif terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar pada 25 Jun 1996 yang telah meluluskan permohonan defendan pertama dan defendan kedua yang dibuat di bawahKaedah Mahkamah Tinggi 1980,dan/atau di bawah kuasa sedia ada mahkamah agar pernyataan tuntutan terpinda pihak plaintif terhadap mereka dibatalkan.
Fakta dan latarbelakang ringkas kes adalah seperti berikut. Melalui pernyataan tuntutan terpinda bertarikh 19 Mac 1996, plaintif memohon kepada mahkamah untukdeklarasi yang membawa kesan berikut, iaitu bahawa beliau (plaintif) adalah Sultan yang sah bagi Negeri Kelantan Darul Naim.
Terhadap tuntutan plaintif ini, defendan pertama dan defendan kedua telah melalui saman dalam kamar (Kandungan 11) memohon agar pernyataan tuntutan terpinda pihak plaintif tersebut dibatalkan di bawahA. 18 k. 21 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980dan/atau di bawah bidangkuasa sedia ada mahkamah.
Permohonan defendan pertama dan defendan kedua tersebut telah didengar oleh Penolong Kanan Pendaftar dimana beliau pada 25 Jun 1996 lalu telah meluluskan permohonan tersebut. Terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar inilah maka rayuan ini dibuat oleh plaintif.
Dua (2) alasan telah diberikan oleh peguam bagi defendan pertama dan defendan kedua dalam memohon agar pernyataan tuntutan terpinda plaintif tersebut perlu dibatalkan, iaitu:
(i) Plaintif adalah seorang bangkrap dan dengan itu tidak kompeten untuk memulakan tindakan ini tanpa kebenaran (sanction) Pegawai Pemegang Harta menuruts. 38(1)(a) Akta Kebangkrapan 1967; dan
(ii) Tuntutan plaintif adalah berada dalam bidangkuasa Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan bukannya dalam bidangkuasa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Undang-Undang yang lain menurut Art. 71(1) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Art. VI (Bahagian Kedua) Undang- Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Saya telah menimbangkan kedua-dua alasan ini dan saya dapati alasan-alasan itu mempunyai merit.
Mengenai alasan pertama defendan-defendan fakta bahawa plaintif adalah seorang bankrap tidak dipertikaikan. Bagaimana pun plaintif mengatakan bahawa beliau telah mendapat kebenaran (sanction) daripada Pegawai Pemegang Harta untuk memulakan tindakan ini dan telah mengemukakan satu surat daripada Pegawai Pemegang Harta itu (esh. "T1-3"). Surat itu yang ditujukan kepada peguam plaintif berbunyi seperti berikut:
Tetuan Zainal & Shahabudin Peguambela & Peguamcara Lot 2.15, Tingkat 2 Bangunan Angkasaraya Jalan Ampang 50450 Kuala Lumpur
29 February 1996
Tetuan,
Dalam Perkara Kebangkrapan (Kelantan) No. 1103/90 Ber. Tengku Iskandar Ibni Tengku Ahmad
Adalah saya diarah merujuk surat tuan bertarikh 15 Februari 1986 berkaitan perkara di atas.
Adalah dimaklumkan bahawa kes guaman yang anak guam tuan akan mulakan itu adalah tidak terletakhak dengan Pegawai Pemegang Harta kerana ianya tidak melibatkan harta atau tanggungan bankrap.
3. Bagaimanapun, sebarang kos dan perbelanjaan yang timbul kelak dari kes ini hendaklah ditanggung sendiri oleh bankrap.
Sekian, untuk tindakan tuan.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA" "CINTAILAH BAHASA KITA"
Saya yang menurut perintah,
(ALICE LOKE YEE CHING) Timbalan Pegawai Pemegang Harta bp: Pegawai Pemegang Harta Malaysia
Kandungan surat ini jelas menunjukkan bahawa ia bukanlah satu kebenaran (sanction) yang diberi oleh Pegawai Pemegang Harta. Surat itu cuma memberi pendapat bahawa plaintif tidak perlu mendapat kebenaran daripada Pegawai Pemegang Harta oleh kerana tindakannya itu tidak melibatkan harta atau tanggungan plaintif/bankrap dan oleh itu tidak termasuk dalam maksuds. 38(1)(a) Akta Kebangkrapan 1967.
Diatas pendapat Pegawai Pemegang Harta itu saya rasa adalah perlu untuk saya merujuk dan mengkaji kandungans. 38(1)(a) Akta Kebangkrapan 1967untuk menentukan samada plaintif perlu mendapat kebenaran daripada Pegawai
Pemegang Harta untuk memulakan tindakan ini. Seksyen itu berbunyi seperti berikut:
38. where a bankrupt has not obtained his discharge -
(a) the bankrupt shall be incompetent to maintain any action (other than action for damages in respect of injury to his person) without the previous sanction of the Official Assignee.
Dari kandungans. 38(1)(a)ini, tindakan yang dikecualikan daripada mendapat sanksi daripada Pegawai Pemegang Harta ialah "action for damages in respect of injury to his person" sahaja. Soal yang perlu dipertimbangkan ialah samada tindakan yang dibawa oleh plaintif didalam kes ini termasuk didalam perkara yang dikecualikan di bawahs. 38(1)(a)itu. Tuntutan plaintif antara lain ialah untuk satu pengisytiharan bahawa Sultan Negeri Kelantan sekarang adalah tidak sah dan plaintiflah orang yang sah menjadi Sultan Negeri Kelantan dan defendan-defendan diarah untuk menabalkan dan memasyhurkan plaintif sebagai Sultan Negeri Kelantan. Pada pendapat saya tuntutan yang sebegini rupa bukanlah satu tindakan gantirugi "in respect of injury to his person". Tindakan plaintif ini, jika berjaya, akan dengan serta merta mengubah corak hidup plaintif, bukan sahaja dan segi kewangan dan status tetapi juga akan menggugat kedudukan Sultan Negeri Kelantan sekarang. Berpandukan kepada tuntutan itu adalah tidak benar sama sekali bagi Pegawai Pemegang Harta didalam suratnya memberi pendapat bahawa tindakan plaintif itu tidak melibatkan harta bankrap.
Diatas sebab-sebab yang saya nyatakan diatas saya berpendapat bahawaplaintif perlu mendapat sanksi daripada Pegawai Pemegang Harta untuk memulakan tindakan beliau inioleh kerana tindakannya itu tidak boleh dikecualikan daripada maksuds. 38(1)(a) Akta Kebankrapan 1967. Surat yang dikemukakan oleh plaintif itu bukanlah satu sanksi yang dimaksudkan. Ini bererti tindakan plaintif ini telah dimulakan oleh beliau tanpa sanksi daripada Pegawai Pemegang Harta. Diatas ketiadaan sanksi daripada pegawai pemegang harta itu tindakan plaintif ini adalah tidak sah. Diatas alasan ini sahaja permohonan defendan-defendan wajar dibenarkan.
Mengenai alasan kedua defendan-defendan pula pihak defendan-defendan telah menghujahkan bahawa mahkamah ini tiada bidangkuasa untuk memutuskan tuntutan plaintif, berpandukan kepada peruntukan Art. 71(1) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama dengan Art. VI (Bahagian Kedua) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Artikel 71(1) Perlembagaan Persekutuan berbunyi seperti berikut:
71(1)The Federation shall guarantee the right of a Ruler of a State to succeed and to hold, enjoy and exercise the constitutional rights and privileges
of the Ruler of the State in accordance with the Constitution of that State; but any dispute as to the title to the succession as Ruler of any State shall be determined solely by such authorities and in such manner as may be provided by the Constitution of that State.
Artikel VI (Bahagian Kedua) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan pula berbunyi seperti berikut:
VI. No person shall succeed to the throne and sovereignty of Kelantan unless his succession has been confirmed by the Council of Succession.
Mengikut peruntukan Art. 71(1) Perlembagaan Persekutuan soal pewarisan Raja Negeri Kelantan hendaklah mengikut kuasa yang ditentukan dengan mutlak sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri tersebut. Artikel VI (Bahagian Kedua) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengatakan pewarisan Raja hendaklah disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan (Council of Succession).
Isu yang sama telahpun dibincangkan dengan terperincinya didalam kesDato Menteri Othman bin Baginda & Anor v. Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus[1981] 1 MLJ 29 dimana plaintif/responden telah memohon kepada mahkamah untuk satu deklarasi bahawa perlantikan Dato Undang Luak Jelebu oleh defendan pertama adalah tidak sah dari segi adat istiadat orang Melayu Luak Jelebu. Kelima-lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan itu telah memberi penghakiman mereka masing-masing mengenai samada mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk membuat keputusan terhadap isu itu. Saya rasa memadailah jika saya cuma menyatakan disini keputusan Raja Azlan Shah Ag LP (ianya pada masa itu) yang berbunyi:
This Court, being the highest Court in the land in constitutional matters should take the occasion to reaffirm expressly, unequivocably and unanimously the constitutional position of the Ruler in matters of succession including the election of the Undang and to hold that it is non-justiciable. Here is something basic to our system of Government: the importance of holding it far transcends the significance of any particular case. The Dewan in this case blessed the appointment of the 15th Undang of Jelebu and for Judges at first instance or an appeal to pre-empt its function is for Courts to usurp the function of the Dewan, and apart from this, the Dewan is a far more suitable forum for discharging the function than a panel of five judges.
It is open to Court in this country to refuse a remedy on the ground that it isforum non conveniens. This doctrine is that a Court may decline to exercise jurisdiction on the ground that another body would be more appropriate.
Keadaan kes sekarang adalah sama seperti kesDato Menteri Othman Bin Baginda(diatas). Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah memberi kuasa kepada Majlis Perajaan Negeri Kelantan untuk membuat pengesahan diatas siapa yang layak mewarisi Kerajaan Kelantan. Sultan Kelantan sekarang telah dilantik dan disahkan oleh Majlis Perajaan Kelantan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan. Keputusan Majlis Perajaan Kelantan adalah mutlak dan tidak wajar dipertikaikan di mahkamah. Mahkamah ini terpaksa patuh dengan keputusan Mahkamah Agong di dalam kesDato Menteri Othman Bin Baginda(diatas). Oleh itu adalah tidak wajar bagi mahkamah ini mencuba untuk mengambil alih tugas Majlis Perajaan Negeri Kelantan, iaitu badan yang diberi kuasa untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut mengikut Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Berkaitan dengan isu bidangkuasa ini peguam plaintif telah menimbulkan satu isu iaitu memandangkan defendan-defendan tidak memfailkan kehadiran bersyarat maka defendan-defendan hendaklah dianggap sebagai telah mempersetujui bahawa mahkamah ini mempunyai bidangkuasa mendengar tuntutan plaintif ini. Dan defendan-defendan adalah dihalang daripada membuat permohonan untuk mengetepikan tindakan plaintif diatas alasan mahkamah tidak ada bidangkuasa. Sebagai menyokong hujahan plaintif itu, peguam plaintif telah merujuk kepada satu keputusan kes SingapuraThe "Avro International" The Adventure "Avro International" (Owners of) v. Arabian Marine Bankers Sales Co Ltd & Anor[1981] 1 MLJ 147 dimana Lai Kew Chai J berkata:
The effect of entering an unconditional appearance is two fold: (1) it waives any irregularity of the writ or its service, and (2) the defendant is considered to have submitted to the jurisdiction of the Court.
Didalam kes yang sama Justice Lai Kew Chai, bagaimanapun, telah terus mengatakan:
The one exception to the general effect of an unconditional appearance is the situation where a court under any written law lacks jurisdiction to entertain the claim at all as inWilkinson v. Barking. There, the defendant was allowed to assert the want of jurisdiction of the court although he had entered an unconditional appearance because a statutory tribunal and not the court was vested with the jurisdiction to entertain the claims of superannuation such as the one asserted by the plaintif.
An exception to the effect of an unconditional appearance was made in this case because the court would otherwise have entertained the claim contrary to law.
Didalam kesWilkinson v. Barking Corporation[1948] 1 KB 721 pengecualian yang disebut oleh Justice Lai Kew Chai itu telah diterangkan dengan jelasnya oleh Asquith LJ seperti berikut:
No act of the parties can create in the courts a jurisdiction which Parliament has said shall vest, not in the courts, but exclusively in some other body. Nor again can a party submit to, so as to make effective, a jurisdiction which does not exist: which is perhaps another way of saying the same. The argument we are here rejecting seems to be based on a confusion between two distinct kinds of jurisdiction. The Supreme Court may, by statute, lack jurisdiction to deal with a particular matter ... but it has jurisdiction to decide whether or not it has jurisdiction to deal with such matter.
By entering an unconditional appearance a litigant submits to the second of these jurisdictions (which exists) but not to the first (which does not exist). We are not here concerned with irregularity in the service or issue of the writ which raises other considerations which are here quite out of place.
Asquith LJ telah dengan jelas menerangkan bahawa ada dua jenis bidangkuasa iaitu:
(i) dimana bidangkuasa yang tidak lagi wujud dan yang telah diambil alih oleh satu badan lain melalui statut; dan
(ii) satu bidangkuasa yang wujud iaitu kuasa bagi menentukan samada mahkamah itu ada bidangkuasa memutuskan sesuatu perkara. Dengan memasukkan kehadiran tanpa bersyarat defendan cuma bersetuju dengan bidangkuasa yang kedua, yang wujud tetapi tidak bersetuju dengan bidangkuasa mahkamah yang pertama kerana defendan tidak berupaya untuk membuat apa-apa persetujuan mengenai bidangkuasa mahkamah yang tidak wujud.
Begitu juga keadaan kes sekarang ini. Bidangkuasa mahkamah yang pertama telah melalui Art. 71(1) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Art. VI (Bahagian Kedua) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah diambil alih oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan. Oleh itu soal persetujuan defendan-defendan kerana memasukkan kehadiran tanpa bersyarat tidak timbul kerana defendan-defendan tidak boleh bersetuju kepada bidangkuasa mahkamah yang tidak wujud. Apa yang masih wujud ialah bidangkuasa yang kedua iaitu bidangkuasa untuk memutuskan samada mahkamah ini mempunyai bidangkuasa mendengar tuntutan plaintif. Diatas alasan-alasan yang dinyatakan diatas isu yang ditimbulkan oleh peguam plaintif tidak berasas.
Setelah menimbangkan keseluruhan permohonan defendan-defendan saya berpendapat alasan kedua permohonan defendan-defendan adalah bermerit. Oleh itu saya memutuskan bahawa mahkamah ini tidak ada bidangkuasa untuk mendengar tuntutan plaintif oleh kerana bidangkuasa itu telah diambilalih oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan.
Diatas alasan-alasan yang dinyatakan diatas permohonan defendan-defendan (Kandungan 11) adalah diluluskan dengan kos dan tindakan plaintif adalah dibatalkan.
KUALA TERENGGANU 23 Mac - Seorang pelajar berbangsa Cina mencatatkan sejarah tersendiri apabila memperoleh A bagi mata pelajaran Tasawwur Islam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang keputusannya diumumkan hari ini.
Wong Yujing, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, adalah antara 17 pelajar cemerlang Terengganu yang mendapat 10A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Tasawwur Islam.
"Mata pelajaran Tasawwur Islam saya ambil kerana minat dan ingin tahu mengenai agama Islam,” kata anak sulung daripada tiga beradik ketika ditemui pemberita di sekolahnya di sini hari ini.Katanya, beliau berminat mengikuti mata pelajaran tasawwur sejak di tingkatan empat lagi dan dia banyak dibantu oleh rakan-rakan Melayu yang mengikuti mata pelajaran itu.
Yujing dari Kampung Gong Badak berkata, beliau membaca buku teks mata pelajaran tasawwur dan cuba memahaminya dengan mendalam. - Bernama
Tahun 2007
Mengumpul gambar-gambar keluarga diraja memang jadi hobi saya sejak dari zaman belasan tahun lagi.Biasanya saya akan gunting dan lekatkan di kertas lukisan.Bila dah banyak saya akan jilid untuk dijadikan buku! Tapi itu cara lama........Ini koleksi untuk hari ini!
ZANA terkejut melihat rakan serumahnya, Lia sedang membancuh tepung di dapur rumah sewa mereka …. Zana: Eh! Buat apa tu? Lia: Bancuh tepung laa …. buat apa lagi, kau boleh tengok sendiri kan?! Zana: Aku nampaklah kau bancuh tepung, tu yang aku jadi musykil …. Lia: Musykil apa pulak? Tak pernah tengok orang bancuh tepung ke? Zana: Ya laa …. Tak pernah aku tengok kau buat kerja macam ni, goreng telur pun malas ni kan pulak nak buat penganan. Apa mimpi tiba-tiba macam ni?? Lia: Teringin nak makan …. Zana: Alaa .... Setakat nak makan, beli aje … berlambak jualkan depan tu, kalau kat pasar malam lagi banyak. Eh! Sebenarnya kau nak buat kuih apa ni? Lia: Woh kekoh caa .... Zana: Woh? .... woh apa dia?! Lia : Woh kekoh caa! Ada jual, tapi tak sama dengan yang buat sendiri! Zana: Ooo ... tak pernah dengar pulak. Boleh aku tolong sambil belajar sekali? Lia: Memang nak minta kau tolong pun … ha! Apa tercegat aje lagi tu, tolong blender daun pandan tu .… Zana: Blender?? Lia: Haa .... Lepas tu kau tapis ambil airnya. Zana: Tepung apa kau pakai ni? Lain macam aje rupanya …. Lia: Tepung pulut … kau tak pernah tengok ke? Zana: Dah! Dah siap blender … nah! Ni air daun pandan. Nak buat apa air daun pandan ni? Lia: Aku nak bancuh dengan tepung ni, bagi wangi dan tepung jadi warna hijau. Tak perlu le pakai pewarna tiruan! Jaga kesihatan …. Zana: Aku kena buat apa lagi ni? Lia: Gi ambik nisse kabung atas meja tu, kau potong-potong sebesar hujung jari. Zana: Nisse kabung? Apa benda pulak tu? Peliklah kuih yang kau nak masak ni … dahlah namanya pelik, bahannya pun pelik jugak, tak pernah dengar! Yang mana satu ni? Lia: Tuu … depan mata kau tu! Tak Nampak ke? Kalaulah ular, lama dah kena patuk!! Zana: Ni? Lia: Ha laa …. Zana: Ni gula kabung! Lia: Samalah tu … orang kampung aku panggil nisse .… Zana: Hah! Cakaplah dari tadi … eh! bila dah potong-potong ni nak buat apa pulak?? Lia: Nisse tu nanti kita salut dengan tepung ni dan golek-golek jadi bulat kemudian rebus. Bila dah masak, gaul dengan kelapa parut. Zana: Sama macam buah Melaka le yek? Lia: Buah Melaka? Zana: Haa … onde-onde?! Lia: Ya lah! Onde-onde le tu …. Zana: Laa ... apasal tak cakap dari awal, kalau setakat onde-onde tu aku tau le nak buat. Dah biasa tolong mak aku buat kat kampung. Lia: Kan aku dah cakap tadi! Zana: Kau bukan cakap onde-onde, kau cakap woh … woh ... woh apa tah! Aku pun tak tau nak sebut! Lia: He he he … woh kekoh caa! Itu orang kampung aku panggil, orang sini panggil buah Melaka, ada yang panggil onde-onde. Zana: Macam mana pulak boleh panggil nama tu? Lia: Kau biasa makan tak? Kalau kau makan masa panas-panas, masa kita gigit tu ... kita akan terasa gula kabung tu cair dalam mulut! Kalau gula kabung yang mutu tinggi, dia tak cair masa dimasak tapi cair dalam mulut masa kita gigit. Itu di woh kekoh caa …. Buah gigit cair!! Zana: Kekoh tu gigit le yek? Lia: Ha laa …. Kalau nak makan puas, kena buat sendiri, kita boleh guna gula kabung yang original dan makan masa panas-panas. Yang jual tu, gulanya bukan gula kabung tapi gula merah, masa masak tu dah cair dan warna hijau tu pulak pewarna tiruan. Yang pentingnya … masak sendiri kita boleh makan masa tengah panas-panas! Zana: He he he … pandailah kau! Lia: Kau tu Zana …. Kena belajar sikit-sikit cakap Kelantan ni, bofren kau tu orang Kelantan, nanti senang nak sembang dengan mentua! Hehehe …. GLOSARI Woh kekoh caa (Kelantan) - onde-onde, kuih buah Melaka
Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF)
Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?
Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?
Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.
Itulah BUSANA MUSLIMAH.
LANDSKAP 1990′AN
“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.
“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.
“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.
“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.
Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.
Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.
Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.
Tudung juga tidak banyak jenis.
Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.
Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.
LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.
Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.
Baguslah begitu.
Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.
Versi DUBAI!
PENTAKRIFAN
“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]
Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?
Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]
Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?
Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?
Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.
Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.
KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR
Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my
Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat antarabangsa ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.
Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan fesyen yang mahu ditampilkan.
Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta’aala.
“Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi” ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai berlangsungnya Festival Fesyen Islamik tersebut.
Penyelewengan konsep ‘Busana Muslimah’ ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.
Ia adalah sebuah gerakan.
“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”
BEBAS
“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.
“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.
Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.
Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.
Kami cemburu dengan agama kami.
BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.[al-Ahzaab 33: 36]