Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Khamis, November 25, 2010

Chong Eu Peringat Pentingnya Sejarah

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu terkenal sebagai tokoh yang jarang mengadakan temu bual dengan media, lebih-lebih lagi selepas beliau bersara daripada politik.

Selalunya, pertemuan beliau dengan petugas media tidak lebih daripada perbualan ringkas sahaja. Bagaimanapun, arkitek transformasi Pulau Pinang ini bersetuju mengadakan temu bual ringkas dengan "Penang Economic Review" bagi edisi pertama majalah itu Oktober lepas untuk membicarakan tentang kaitan erat antara masa kini dan masa akan datang.

Dalam temu bual itu, beliau menyentuh tentang sejarah, khususnya keadaan yang mendorong kedatangan British ke rantau ini.

"Apa dia East India Company? Kita patut ingat bahawa kita sebenarnya pernah diperintah oleh entiti komersial ini. Siapakah makhluk ini? Sebenarnya, kebanyakan penjajah pada zaman dahulu adalah lanun."

Kemudian, Chong Eu menyarankan agar penulis yang menemubual beliau membaca tentang sejarah Province Wellesley, semata-mata sebagai suatu cara untuk mengingatkan penduduk Pulau Pinang tentang betapa pentingnya mereka mempunyai minat terhadap sejarah awal negeri itu.

Penulis berkenaan berkata: "Inilah sebahagian daripada apa yang saya dapat. Mungkin banyak orang tahu bahawa Province Wellesley, yang diserahkan kepada British secara pajakan pada 1798, mendapat namanya sempena nama Richard Wellesley, yang menjadi Gabenor Besar British India ketika itu.

"Apa yang tidak diketahui ramai ialah saudara lelaki kepada aristokrat Ireland ini, Arthur, sembilan tahun lebih muda daripada abangnya itu dan pernah berkhidmat dengan cemerlang sebagai pegawai tentera di India, kemudiannya menjadi Duke of Wellington, yang mengalahkan Napoleon Bonaparte di Waterloo pada 1815.

"Selepas itu, Arthur menyandang jawatan Perdana Menteri Britain selama tujuh bulan pada 1828, dan walaupun seorang konservatif, beliau dikenang sebagai pemimpin yang memberi hak sivil sepenuhnya kepada penganut Katolik di United Kingdom," kata penulis berkenaan.

Mungkin, sejarah ini telah membentuk pendekatan praktikal yang menjadi amalan Chong Eu dalam berpolitik apabila beliau membuat keputusan bahawa Gerakan perlu menganggotai Barisan Nasional (BN) sebagai anggota pengasas parti gabungan itu.

Penang Economic Review memetik Chong Eu sebagai berkata: "Manusia tidak boleh sekali-kali lupa tentang jalur sejarah, lebih-lebih lagi di dunia sebelah sini, yang bersifat kepulauan serta banyak melibatkan pemindahan sumber. Oleh itu, politik dan ekonomi sentiasa berkait rapat. Pengeluaran adalah suatu hal, manakala logistik adalah suatu hal lain pula, yang tidak kurang pentingnya.

"Tapi, setelah sekian lama masa berlalu, kita masih menjadi mangsa kedudukan geografi kita dan cara ia membentuk pemikiran kita. Kita masih tidak dapat membebaskan diri kita daripada syarat yang dikenakan oleh geografi."

Rabu, November 24, 2010

Ringkasan Kesultanan Kelantan


Dalam abad ke 5 masihi, sejarahwan China Shenyao (414-512) dalam Sung Shunya sudah mencatat nama Ho-lo-tan atau Kuo-lo-tan sebagai sebuah ibu kota di Semenanjung Tanah Melayu. Satu abad kemudian. setengah-setengah sejarahwan percaya bahawa kerajaan Srivijaya Pertama (Sri Vijaya Mala) telah wujud di Kelantan dan berkembang ke Malayu, Sumatera kira-kira pada akhir abad ke tujuh. Sri Maharaja Jayanagar telah membangunkan sebuah ibu kota di Palembang (Sri Vijaya Ke 2). Kelantan diserahkan kepada Puteranya, Sri Maharaja DiRaja. Kemudian Kedua-dua kerajaan ini disatukan oleh Sanjaya (Jaya Shinha) cucu Jayanagar dalam satu empayar yang disebut oleh orang Cina, San-Fo-Tse (Tanah Sri Indah Sekebun bunga), iaitu dalam abad ke lapan Masihi (Nik Mohamed, 1984).

Kelantan, dari semasa ke semasa, dikunjungi para pedagang dari jauh dan dekat; dari Kepulauan Melayu, Siam, Kemboja, Campa, China, India, Parsi dan Arab. Bukti bahawa Kelantan itu berkuasa luas dan menjadi pusat dagangan ialah wan dinar yang terjumpa di kawasan kota Kubang Labu. Pada dinar itu tertera kata-kata dan angka Arab; ” al Julus Kelantan 577″ dan di sebelahnya; “Al-Mutawakkil” bertarikh 577 ialah sanat hijriah yang bersamaan tahun 1181 Masihi. Dalam Abad 17 pula Ibnu Batuta Seorang Pengembara Arab telah singgah di satu tempat yang bernama “Kilu Krai” (Kuala Kerai di Ulu Kelantan sekarang) dan bertemu dengan seorang raja perempuan yang bernama Urduja (Saad Shukri 1971). Baginda rupawan gagah perkasa dan beragama islam. dikatakan juga baginda boleh bertutur dalam bahasa Turki.

Seorang penulis Cina Chau Juo-Kua, mengatakan negeri Chi-Lan-Tan pada tahun 1222 adalah dibawah takluk kerajaan Srivijaya. Kemudian Syair Jawa Kuno Nagarakertagama karangan Prapance dalam tahun 1365 menyatakan bahawa Kelantan pada masa ini adalah sebahagian daripada Empayar Majapahit yang berpusat di Jawa Timur. Dalam tahun 1411, Kelantan diperintah oleh seorang raja yang bergelar Maharaja Kumara yang pernah mengirimkan ufti dan persembahan kepada Maharaja Cina (Rentse, 1934). Sejarah Melayu menjelaskan bahawa dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah di melaka, Kelantan telah ditaklukkan dan tiga orang Puteri Sultan Mansur Shah (1467-1521) dibawa ke Melaka. Seorang Puteri Onang Kening telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud dan sebagai hasil perkongsian ini lahirlah Raja Muzaffar yang menjadi Sultan Perak yang pertama.

Kelantan dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu, merupakan kawasan yang unik kerana berperanan sebagai pusat bagibeberapa kerajaan Melayu lama dan kawasan pergolakan beberapa dinasti DiRaja yang berhubungkait dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya seperti Ptani, Nakhon Si Thammarat, Siam, Kemboja, Champa di sebelah utara dan Terengganu, Pahang dan Johor di selatannya. Oleh yang demikian sebelum zaman Kelantan moden di bawah Long Yunus, Kelantan merupakan beberapa buah kawasan yang diperintah oleh beberapa dinasti DiRaja Melayu.

Bila Sultan Mansur Shah mangkat pada 1526 M (928H), maka putera baginda Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Gombak. Setelah baginda mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat baginda, iaitu Raja Ahmad ditabalkan menjadi sultan Kelantan pada 1684 M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad. Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda kedua telah di kurniakan seorang puteri dinamakan Cik Wan Kembang.

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589 M, sewaktu puteri baignda Cik Wan Kembang berusia 4 tahun, oleh sebab itu Raja Hussain dari Johor dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintahan Kelantan. Bila Raja Hussain mangkat pada 1610 M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkan menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan kira-kira 40 km kearah tengara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi mashur dan dikunjungi oleh ramai pedagang dari dalam dan luar negara, termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan Kembang dengan panggilan “Paduka Cik Siti”. Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disayangi oleh baginda, iaitu persembahan daripada rakyat baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterapkan diatas wang emas dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada lambang Kebesaran Negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini dengan megahnya. Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang memerintah di Gunung Titiwangsa, disebelah Timur Laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi Kerajaan berpusat di Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda mangkat, maka putera baginda Raja Loyar telah ditabalkan menjadi Raja pada 1649 M (1059H). Baginda di anugerahkan dengan dua orang cahayamata iaitu seorang putera, Raja Sakti (mangkat sejak kecil lagi) dan seorang puteri yang bernama Puteri Saadong.


Hubungan baik telah terjalin diantara kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyar di Jembal. Baginda Cik Siti Wan kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta Kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana baginda tidak mempunyai puteri atau putera sebab baginda tidak berkahwin.


Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam berhubungkait utusan untuk meminang Puteri Saadong tetapi ditolak. Kemudiannya Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah Putera Raja Bahar Bendahara dengan tujuan untuk menyelamatkan pertalian DiRaja. Raja abdullah telah dirajakan di Kota Tengayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya berpindah ke Kota Jelasin dan Kota Mahligai. Oleh sebab mendapat tekanan yang hebat dari Maharaja Siam, maka Raja Abdullah mengizinkan Permaisurinya Puteri Saadong berangkat ke Siam, maka Raja Abdullah bertikam dengan pemacak sanggul Puteri Saadong.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim saudara Raja Abdullah menjadi sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi. Tidak lama selepas itu Raj abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyat jelatanya ditepi TasikLelayang Mandi, dengan itu putuslah sejarah Kerajaan Mahligai. Kerajaan Mahligai dan Kerajaan Jembal wujud kembali dbawah pamerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada tahun 1675M (1086H).


Sultan Omar adalah adinda kepada Raja Loyar yang sebelum itu bergelar Temenggong; Sultan Omar mempunyai lima putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Sultan Omar mangkat pada 1721M (1132H), baginda Long Bahar telah ditabalkan menjadi sultan di Jembal atas kehendak putera Sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar ialah putera Raja Petani yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahandanya dan berkahwin dengan Raja Pah, puteri Sultan Omar dan memerintah di Sening dekat Jembal.

Setelah baginda Long Bahar mangkar pada 1733M (1146H), maka putera baginda Long Sulaiman ditabalkan menjadi Raja menggantikan baginda dan terus bersemayam di Kota Kubang labu, bukanya di Jembal yang terus ditinggalkan dan akhirnya menjadi sebuah perkampungan.

Long Sulaiman mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Geting yang memerintah di Legih. pada 1576M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta yang akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman, telah dilantik menjadi Raja Kubang labu dan adiknya pula Long Mohammad dilantik menjadi Raja Muda. Kemudiannya pada 1758M, Long Pendak telah mangkat datangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pendak membunuh isterinya Tengku Tengah, iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhammad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu.


Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletus peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Yunus putera Long Sulaiman yang dibantu oleh Long Ghaffar putera Raja Reman di Ulu Perak. Dalam Peperangan pada 1762M Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. Bagi mengenang jasa Long Ghaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka Baginda Long Yunus telah melantik Long Ghaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan jeram Sampai ke Sungai pasir tumbuh. Baginda Long Yunus telah beerjaya menyatukanseluruh pemerintahan negeri Kelantan dan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.

Pada masa ini negeri Kelantan mencapai kemajuan dan zaman ini dikenali dengan “Zaman Kegemilangan” Selepas itu persahabatan telah terjalin diantara Kerajaan Kelantan dan Siam (Thailand). Contohnya menghantar bunga emas ke Siam sebagai tanda persahabatan. Perkembangan agama Islam berlaku dengan pesatnya pada zaman itu. Contohnya terbinanya Masjid Kampung Lautoleh sekumpulan Ulama, keturunan Wali Songo.

Pada tahun 1899-1920 negeri Kelantan diperintah oleh Sultan Muhammad Ke IV. Pada zaman ini British mulai bertapak dan menguasai pemerintahan Negeri Kelantan. akibatnya pengaruh British mulai berkembang di negeri Kelantan.

Pengaruh Orang Melayu di Istana Kemboja(Abad ke 16)

Orang Melayu di Kemboja.



Salam pembaca semua, artikel kali ini adalah mengenai pengaruh orang Melayu di Kemboja sekitar zaman pasca Angkor atau zaman dimana hagemoni kerajaan Khmer telah mengalami kemunduran teruk akibat serangan bertubi-tubi daripada Siam dan Vietnam serta pemberontakan dalaman. Sebelum itu ingin saya maklumkan bahawa sebenarnya pembabitan rumpun Melayu atau orang Melayu dalam politik istana Khmer sebenarnya telah bermula sejak zaman purbakala lagi sepertimana yang dinyatakan oleh Cik Sri dalam blog MF. Penglibatan orang Melayu dalam arena politik Khmer berterusan sehinggalah hagemoni dinasti-dinasti melayu seluruh Nusantara semakin merudum, malahan setelah Srivijaya, Majapahit, Sri Dhammaraja dan Melaka telah runtuh masih terdapat saki baki orang Melayu daripada gelombang baru yang menetap di Kemboja. Orang Melayu yang berada di Kemboja ini adalah terdiri daripada Melayu Semenanjung, Sumatera, Jawa dan lain-lain kepulauan dan tak lupa juga orang Melayu Cam ( bagaimana mereka boleh berada di Kemboja akan diceritakan dalam artikel saya yang lain). Mereka ini dikenali oleh masyarakat Khmer dengan panggilan Cheava atau Jawa yang merujuk kepada orang2 yang berasal daripada seluruh kepulauan Melayu dan bukan Pulau Jawa sahaja.





Sekitar tahun 1636 orang Belanda telah mula mengorak langkah untuk membuka loji di Kemboja setelah mereka berjaya mengalahkan Portugis di Melaka. Menurut catatan Mereka yang sampai ke Kemboja pada masa tersebut, terdapat banyak kawasan penempatan orang Melayu dan Jawa di sekitar ibu kota Khmer. Orang Melayu pada zaman ini digambarkan memainkan peranan yang amat penting di ibu negeri Kemboja dan digambarkan bukan hanya sebagai pedagang tetapi juga sebagai penterjemah dan orang tengah. Mereka menjadi perantara diantara Kerajaan Khmer dengan pedagang Eropah. Menurut Francis Valentyn, perkataan Camboetjsa atau kemudiannya ditukar menjadi Cambodia oleh orang Inggeris adalah berasal daripada ejaan atau sebutan yang didapatnya daripada orang Melayu dan bukan Khmer.



Ketika duta besar Belanda Hendreik Hagenaar tiba di Kemboja pada tahun 1637 bagi menjalankan urusan perniagaan dan loji Belanda, surat-surat daripada gabenor V.O.C di Batavia kepada Raja dan pemangku raja mestilah diterjemah terlebih dahulu kepada Bahasa Melayu sebelum bahasa Kemboja dan kemudian barulah dipersembahkan! Apabila duta besar ini menghadap pemangku raja, menurut catatan Belanda surat yang dipersembahkan dalam adat yang kompleks. Setelah seorang penterjemah memberitahu isi kandungan surat tersebut secara lisan, barulah surat itu dibaca dengan kuat dalam BAHASA MELAYU di dalam istana dan kemudian akan diterjemahkan pula dalam bahasa Kemboja.

Atur cara seperti ini juga dilaksanakan apabila surat disembahkan kepada Raja pemerintah iaitu Raja Ang Dan Raj. Dilaporkan bahawa sepanjang upacara penghadapan duta besar tersebut, pembantunya iaitu seorang wakil pengurus loji Belanda di Kemboja iaitu Jan Galen telah berucap dalam BAHASA MELAYU kepada putera Khmer Pamraja yang menjadi pemangku raja tersebut. Menurut catatan Belanda juga baginda pemangku raja sendiri juga bertitah dalam BAHASA MELAYU! Menurut catatan Belanda lagi beberapa orang yang terlibat dengan urursan perdagangan dengan orang Belanda di Kemboja memakai gelaran intche atau sebenarnya Encik seperti Encik Lanang Dan Encik Asam. Hal ini bermakna orang tengah yang menguruskan perdangangan diantara Belanda dan Kerajaan Kemboja adalah ORANG MELAYU!

Sekarang saudara sekalian, anda boleh lihat betapa besarnya pengaruh bahasa dan bangsa Melayu dalam kawasan Asia tenggara. Ia bukan sahaja bahasa yang digunakan di Kepulauan Melayu sahaja malahan hingga ke Istana Raja Khmer di Tanah besar Asia Tenggara! Namun ada dikalangan bangsa kita sendiri yang mencemuh peranan Bahasa Melayu dan menganggap ia tidak setaraf bahasa lain. Jika bangsa asing boleh mengerti kehebatan dan kewibawaan BAHASA WARISAN SRIVIJAYA ini mengapa tidak kita! Catatan-catatan sezaman daripada Portugis dan Belanda seperti ini ditambah lagi dengan Riwayat-riwayat tempatan mengukuhkan lagi teori bahawa sebenarnya bangsa Melayu adalah bangsa penguasa bertaraf Ruling Class yang bukan calang-calang hebatnya sehginggakan Raja-raja Kemboja Dinasti Khmer bergantung harap pada mereka dalam urusan hubungan luar dan perdangangan antarabangsa. Hal ini juga dapat membuktikan tahap keintelektualan bangsa Melayu diakui berbanding bangsa-bangsa Asia Tenggara yang lain. Bangsa Melayu pada zaman SRIVIJAYA adalah ahli-ahli falsafah, agama, sains, arkitek dan politik yang sangat intelligent dan ianya ternyata berkesinambungan sehingga abad-abad lewat. Sekian Wallah hu a’lam.

Selasa, November 23, 2010

Islam Liberal: Bersalam Lelaki dan Perempuan



"Isu bersalam antara lelaki dengan perempuan bukan mahram menjadi topik yang selalu diperkatakan. Apabila berada dalam majlis utama atau pergi ke satu majlis. Ada wanita bukan mahram menghulurkan tangan untuk bersalam.

Kita menjadi tak tentu hala, menundukkan sedikit badan dan sekadar meletakkan tangan di dada atau memaling tangan kebelakang.


Ada wanita memahami. Kalau wanita bukan Islam mungkin juga tertanya-tanya. Saya tertarik dengan cara YB Wahid Endut yang menghulurkan bunga semasa seorang wanita Cina ingin bersalam dengan beliau.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad tidak bersalam dengan wanita walaupun dalam majlis besar, antarabangsa dan gambar lagaknya menghiasi hampir semua laman dan blog di seluruh dunia.


Kita mungkin banyak berselisih dengan fahaman Syiah tetapi nilai yang ditujukkan oleh Mahmoud Ahmadinejad adalah contoh yang amat baik untuk memahami Islam bagi mereka yang bukan Islam.


Tapi malangnya ada kepimpinan PAS yang nampak longgar dalam masalah ini.


Dulunya Pemuda PAS mengedarkan lebih 3,000 risalah kepada warga ibu kota mengenai bahaya Islam liberal yang sedang ‘dikempenkan’ oleh beberapa pihak pada ketika itu.

Kempen ini diketuai oleh YB Salahuddin Ayub (masa itu dia Ketua Pemuda) mengedarkan risalah tersebut di sekitar Stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Jalan Masjid India.


Tapi malangnya bagi mendapat sokongan rakyat terutama bukan Islam, kita 'tersasul' dan meninggal konsep kefahaman yang sepatutnya kita tonjolkan seperti yang di tunjukkan oleh Presiden Iran.

Kesilapan ini harus dibetulkan supaya kefahaman Islam yang seragam digambarkan kepada msyarakat bukan Islam negara ini.



Bagaimana pula hukum bersalam dengan wanita bukan mahram, bersalam dengan wanita yang tua atau terlalu budak? Saya ambil petikan yang ditulis oleh cerdik pandai.
Kita dalam membicarakan hukum bersalam ini antara lelaki yang sudah dewasa dengan wanita bukan muhrim yang sudah dewasa, dan tidak membicara hukum bersalaman dengan wanita tua sesangat atau budak perempuan yang masih kecil.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatuna Aisyah mengenai bai'ah yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap beberapa orang perempuan, Aisyah berkata: " Demi Allah, tangan baginda tidak menyentuh seorang perempuan pun dalam pembai'atan itu. Baginda hanya membai'ah mereka dengan perkataannya:
"Benar-benar telah aku bai'ah kamu atas hal itu." (Riwayat Bukhari)Hadith di atas amat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah tidak bersalaman dengan wanita bukan muhrim walaupun mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Rasulullah, rasulullah tidak menyambut mereka dengan bersalaman tetapi Rasulullah bersalam pula dengan lelaki iaitu para sahabat lelaki yang membai'ah baginda dengan cara bersalaman.Dari ini membuktikan sunnah Rasulullah sekiranya berlaku pada kita wanita yang bukan muhrim menghulur tangan untuk bersalaman dengan kita atau lelaki bukan muhrim menghulur tangan kepada wanita itu bersalaman maka sunnah dan terbaiknya adalah kita TIDAK menyambut dengan bersalaman tetapi dengan memberi isyarat lain atau mengucapkan salam atau selamat kepadanya sahaja tanpa bersalam.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari berkata: "Maksud ucapan Rasulullah: "Benar-benar telah bai'ah kamu dengan ucapan." Adalah ucapan tanpa berjabat tangan sepertimana yang biasa terjadi, di mana lelaki berjabat tangan sewaktu bai'ah dijalankan. Dari Abdullah bin Amr bin al-Ass. berkata: "Rasulullah tidak pernah berjabat tangan tangan dengan perempuan dalam pembai'atan." (Riwayat Imam Ahmad) Dalil kedua, Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan. Ucapanku kepada seorang perempuan seperti kataku pada seratus perempuan.”(HR Ibnu Hibban, Malik & Nasa’i)Dari Ma’qil bin Yasaar katanya, “Rasulullah telah bersabda: “Sesungguhnya jika dicerca kepala salah seorang dari kamu dengan alat dari besi adalah masih lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahramnya).” (HR At-Thabrani & al-Baihaqi, sahih).
Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah bersabda: “Sudah ditakdirkan bagi anak cucu Adam bagian dari zina yang pasti akan menimpanya. Kedua mata, zinanya ialah memandang; zina dua telinga ialah mendengar; zina lisan ialah ucapan; zina tangan ialah menyentuh; zina kaki ialah melangkah; zina hati ialah menginginkan sesuatu, berangan-angan dan farajnya membenarkan atau mendustakannya.”

Rasulullah juga bersabda: “Tidak pernah aku menyentuh tangan perempuan (ajnabi/bukan mahram)” (HR At-Thabrani, dari Uqailah binti Ubaid).
Dalil-dalil di atas amat menunjukkan pengharaman bersalam lelaki dengan wanita yang bukan muhrim. BENARKAH DISANA ADA DALIL MENGHARUSKAN PERSALAMAN LELAKI-PEREMPUAN?Mereka yang beria-ia sangat mempertahankan hukum bersalaman lelaki-wanita sering mengunakan hujjah yang mereka sendiri palsukan. Mereka mempergunakan beberapa hadith yang menyebut nabi memberi salam kepada sahabiyah. Amat malang hadith tersebut terang-terang menunjukkan nabi memberi salam dan BUKAN BERSALAMAN dengan wanita. >> bacaan seterusnya 
Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi ada mengeluarkan fatwa berkaitan bab bersalaman dengan wanita (Fatawa Mu’asarah). Berikut adalah fatwa dan penjelasannya secara ringkas:

1. Harus berjabat tangan ketika tidak disertai dengan syahwah, rasa kenikmatan atau rasa teransang. Ia juga mesti aman daripada fitnah. Jika disertai dengan syahwah dan teransang gelora seks, maka haram hukumnya walaupun dengan mahram (ipar duai, mertua, anak saudara dan lain-lain) atau lelaki remaja yang belum tumbuh janggut).

2. Berjabat tangan hendaklah pada tempat yang perlu sahaja, contohnya: suasana hari raya, ramai sahabat handai, saudara mara yang datang yang kebanyakannya adalah saudaramara samaada melalui nasab atau perkahwinan.

3. Ia pada kadar yang tidak keterlaluan dan berlebihan sebagai langkah berjaga-jaga kerana Rasulullah saw tidak pernah berjabat salam dengan wanita bukan mahram.

4. Lelaki beriman yang menjaga agamanya seharusnya tidak memulakan salam (kepada wanita). Ia bersalaman bila pihak wanita yang memulakan dahulu.

5. Hukum bersalaman dengan wanita ini terhad dan khusus bagi siapa yang memerlukan sahaja.

Terpulang kepada pembaca. Saya rasa ada yang akan marah kepada saya kerana tulisan ini dengan kata-kata "tidak bijak untuk berpolitik". Saya ingin tegaskan Murka Allah itu sepatutnya lebih ditakuti!!! 

Isnin, November 22, 2010

Lauren Booth : kenapa saya pilih Islam


beritaislamglobal.blogspot.com (English version here)
Berita tentang Lauren Booth yang memeluk Islam telah menimbulkan pelbagai komen negatif. Berikut adalah penjelasan beliau tentang perkara tersebut – dan kenapa masanya sudah tiba untuk berhenti memperkecilkan wanita Islam.

Lauren Booth . . .’Betapa rakan-rakanku yang bukan-Muslim mula nampak keras dan tidak berperasaan’. 

Dah masuk lima tahun sejak pertama kali melawat Palestin. Dan bila saya sampai di sana untuk bekerja bersama-sama badan-badan kebajikan di Gaza dan Tebing Barat, saya bawa bersama sifat sombong dan tinggi diri yang biasa tersemat dalam jiwa setiap wanita kulit putih kelas menengah terhadap golongan wanita Islam yang miskin, wanita yang saya anggap lebih sedikit sahaja dari jubah-hitam yang hodoh, dan bersikap pendiam. Sebagai seorang wanita barat dengan segala kebebasan, saya bercadang untuk berurusan secara professional dengan lelaki sahaja. Lagi pun, bukankah itu yang dikatakan dunia Islam? 


Heboh di kalangan teman-teman kolumnis kerana tidak bersetuju dengan tindakan saya memeluk Islam, membuktikan yang pandangan stereotaip terhadap berjuta wanita yang mengamalkan Islam masih wujud. 

Dalam perjalanan pertama saya ke Ramallah, dan diikuti dengan lawatan seterusnya ke Palestin, Mesir, Jordan dan Lubnan, saya memang berurusan dengan lelaki-lelaki yang berkuasa. Malah satu atau dua orang dari mereka mempunyai jambang menakutkan seperti yang kita lihat dalam buletin berita yang berada di tempat yang kita musnahkan dengan bom jarak jauh. Yang mengejutkan (bagi saya), saya juga mula berurusan dengan ramai wanita dari berbagai peringkat umur, yang memakai tudung dengan berbagai cara, dan mempunyai kuasa dalam jawatan mereka. Percaya atau tidak, wanita Islam boleh belajar, bekerja berjam-jam lamanya macam kita, malah menjadi bos kepada suaminya di pejabat. 

Dah cukupkah memperkecilkan mereka? Saya harap begitulah, kerana tindakan saya memeluk Islam telah dijadikan alasan oleh pengulas-pengulas untuk melemparkan segala macam tuduhan ke atas wanita Islam di seluruh dunia. Sehinggakan dalam perjalanan saya untuk mesyuarat tentang tajuk Islamofobia dalam media minggu ini, saya terfikir untuk membeli besi cangkuk dan berposing seperti Abu Hamza al Masri (gambar). Lagi pun, melihat kepada reaksi ramai kolumnis wanita, saya pada pandangan mereka seperti tidak diperlukan lagi dalam memperjuangkan hak-hak wanita. 


Jadi mari kita semua tarik nafas dalam-dalam dan saya akan beri sedikit imbasan tentang dunia Islam dalam abad ke-21. Sudah tentu, kita juga perlu mengambil kira tentang wanita yang tidak dilayan dengan baik di kebanyakan tempat dan budaya, kedua-duanya di dalam dan di luar populasi Muslim. Wanita sebenarnya dipergunakan secara salah oleh kaum lelaki, bukannya Tuhan. Banyak amalan dan undang-undang dalam negara-negara “Islam” telah menyimpang dari (atau tidak berkaitan dengan) ajaran Islam yang asal. Sebaliknya amalan-amalan tersebut hanya berdasarkan kepada adat budaya dan tradisi yang telah ditanam dalam masyarakat. Di Arab Saudi, contohnya, undang-undang tidak membenarkan wanita memandu. Peraturan seperti ini adalah ciptaan sistem monarki Saudi, iaitu sekutu rapat kerajaan kita dalam perdagangan senjata dan minyak. Malangnya, perjuangan hak-hak wanita terpaksa diselaraskan dengan keperluan kerajaan kita sendiri.

Perjalanan saya kepada Islam bermula apabila disedarkan dengan jurang yang wujud antara apa yang diceritakan kepada saya tentang kehidupan Muslim – dan realiti sebenarnya. 

Saya mula kagum dengan ketenangan yang ada pada kebanyakan mereka. Tidak semua. Tapi ramai sekali. Dan semasa lawatan saya ke sebuah masjid di Iran September lepas, apabila jamaah mengambil wudhuk, berlutut dan membaca bacaan dalam sembahyang mengingatkan saya tentang apa yang dipandang oleh barat adalah sesuatu yang berbeza sama sekali; satu golongan yang menolak keganasan dan memilih kedamaian dan kasih-sayang melalui meditasi secara diam (sembahyang). Satu agama yang kelihatan sama seperti yang dianuti oleh bintang filem seperti Richard Gere, yang lebih mudah diterima masyarakat jika anda membuat pengakuan menganutnya – Buddhisme. Sebenarnya, setiap posisi rukuk, duduk dan sujud dalam sembahyang cara Islam diisi dengan bacaan-bacaan yang bermaksud kesejahteraan dan keredaan. Setiap satunya bermula dengan, “Bismillahir rahmaneer Raheem” – “Dengan nama Tuhan, yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang” – dan berakhir dengan ucapan “Assalamu Alaykhum wa rahmatullah” – Sejahtera atas kamu dan kasih-sayang Tuhan.

Secara tidak disedari, saya telah mula menyebut “Ya Allah” menggantikan lafaz biasa “Ya Tuhan” dalam sembahyang sejak tahun lepas. Kedua-duanya, sudah tentu, membawa maksud yang sama, tetapi bagi seseorang yang baru memeluk Islam, bahasa yang begitu asing digunakan dalam sembahyang dan dalam kitab al-Quran mungkin menjadi halangan besar. Saya dapat melepasi halangan tersebut tanpa saya sedari. Kemudian barulah datang satu tarikan perasaan: iaitu perasaan kasih sesama Islam dan rasa keterbukaan yang cukup tinggi. Itulah apa yang saya rasai.

Betapa rakan-rakanku yang bukan-Muslim mula nampak keras dan tidak berperasaan.

Kenapa kita tidak hebohkan secara terbuka, berpelukan sesama kita, sambil berkata “saya sayangkan awak” kepada seorang rakan baru, tanpa ada perasaan ragu-ragu dan sikap untuk memperlecehkannya? Berlainan dalam masyarakat Islam, saya akan melihat emosi dikongsikan dalam rumah-rumah bersama-sama bekas yang penuh dengan gula-gula dan berfikir, jika undang-undang Allah berdasarkan kepada ketakutan semata-mata, kenapa teman-teman Muslim yang saya sayangi dan hormati itu tidak mengenepikan amalan mereka dan mulai minum alkohol, untuk menikmati “kegembiraan” sama seperti kita yang di barat lakukan? Dan memang kita lakukan begitu, bukan? 


Akhirnya, saya dapat rasakan apa yang dirasai oleh Muslim apabila berada dalam sembahyang yang sebenar: terpahat keharmonian manis, kegembiraan kerana bersyukur atas apa yang saya miliki (anak-anak saya - gambar atas) dan selamat dalam ketentuanNya sehingga saya tidak memerlukan apa-apa lagi. Saya bersembahyang di kompleks pemakaman Mesumeh (gambar) di Iran selepas membersihkan muka, lengan, kepala dan kaki dengan air. Dan segalanya berubah selepas itu. 


Sheikh yang mengislamkan saya di sebuah masjid di London beberapa minggu yang lalu memberitahu saya: “Jangan terburu-buru, Lauren. Lakukan apa yang kamu rasa mudah. Allah sedang menunggu kamu. Jangan dihiraukan mereka yang berkata: awak mesti buat begini, pakai begitu, mempunyai rambut seperti ini. Ikutlah naluri kamu, ikut al-Quran – dan biarkan Allah memimpin kamu..”

Dan sekarang saya hidup dalam dunia realiti yang mempunyai persamaan dengan watak Jim Carey dalam Truman Show. Saya menyedari satu penipuan besar iaitu tentang kepalsuan dalam kehidupan moden kita; bahawa materialisme, konsumerisme, seks dan dadah akan membawa kebahagian yang berpanjangan. Saya juga berada di belakang skrin dan melihat wujudnya kasih-sayang, kedamaian dan harapan. Buat masa sekarang, saya teruskan kehidupan harian, memasak untuk makan malam, membuat program TV tentang Palestin dan Ya, mengerjakan solat selama lebih-kurang setengah jam sehari. 

Sekarang, waktu pagi saya bermula dengan sembahyang subuh pada pukul 6 am, sembahyang lagi pukul 1.30pm, kemudian yang terakhir pukul 10.30pm. Pembacaan Quran saya juga konsisten dan ada peningkatan hari demi hari (lebih kurang 200 mukasurat). Saya sering mendapatkan nasihat dari Ayatollah, imam dan sheikh, dan setiap mereka memberitahu bahawa perjalanan seseorang menuju kepada Islam adalah haknya. Ada yang menghafal teks sebelum memeluk Islam; bagi saya pula, pembacaan kitab suci akan dilakukan secara perlahan mengikut kemampuan saya. 

Pada masa lepas, usaha saya untuk berhenti mengambil alkohol selalu berakhir dengan kegagalan; sejak memeluk Islam saya tidak pernah terfikir pun untuk minum semula. Saya tidak ragu-ragu lagi bahawa inilah sebenarnya kehidupan: banyak lagi tentang Islam yang perlu saya pelajari, nikmati dan sanjungi; Saya tewas dengan kehebatannya. Beberapa hari lepas, beberapa wanita saudara baru memberitahu saya bahawa yang ini hanya baru permulaan, dan perasaan seperti itu masih mereka rasai walaupun setelah 10 atau 20 tahun memeluk Islam.

Akhir sekali, saya berharap untuk menterjemahkan antara budaya Muslim dan budaya media yang mungkin boleh menghilangkan rasa terkejut anda semua terhadap perubahan yang berlaku dalam hidup saya ini. 

Apabila berita BBC menayangkan gambar orang Islam berteriak “Allahu Akhbar!” di Timur Tengah, kita orang barat pula dilatih untuk mendengar seperti ini: “Kami benci kamu semua warga Britain, dan kami dalam perjalanan untuk meletupkan diri kami di supermarket Lidl semasa kamu sedang membeli belah di sana.”

Sebenarnya, apa yang kami orang Islam katakan adalah “Tuhan Maha Besar!”, dan kami sedang menenangkan perasaan sedih selepas kampung-kampung kami diserang tentera bukan-Islam. Biasanya, perkataan ini mengisytiharkan keinginan kami untuk hidup aman bersama orang Islam dan bukan-Islam. Kalaulah itu sukar dicapai dalam suasana dunia hari ini, maka membiarkan kami hidup aman damai dalam masyarakat kami pun sudah memadai.

Cadang Bakar Mayat Muslim

Dengan tanah perkuburan semakin berkurangan di Turki, gesaan Datuk Bandar Antalya Mustafa Akaydin (gambar) yang mencadangkan supaya pusat pembakaran mayat diwujudkan di bandar Mediterranean itu telah mengundang perbincangan hangat. Syarikat-syarikat pengurusan jenazah berkata permintaan terhadap pembakaran mayat semakin bertambah, dan ianya sah di sisi undang-undang, tetapi dibantah oleh para ulama kerana bertentangan dengan nilai-nilai agama.


Keadaan kesesakan di kawasan perkuburan sekitar bandar Mediteranean Antalya telah mengundang perbincangan hangat di Turki tentang kemungkinan mewujudkan pusat pembakaran mayat (PPM) di negara itu.

“Kami tak dapat selesaikan masalah mencari tanah perkuburan; kawasan yang ada sekarang akan dipenuhi dalam masa tiga bulan,” kata datuk Bandar Antalya Mustafa Akaydın kepada akhbar Hürriyet minggu lepas. “Saya terfikir untuk membuka sebuah PPM sebagai jalan penyelesaian, dan saya tahu akan dicemuh kerana berkata begitu. Kita tinggal dalam sebuah negara Muslim.” 

Walaupun undang-undang semasa membenarkan pihak majlis perbandaran membuka PPM jika ada permintaan, ia tidak pula menyatakan tentang spesifikasi pembinaan, dan sesiapa sahaja yang bercadang untuk menyediakan atau menggunakan perkhidmatan itu akan berdepan dengan penentangan dari penduduk Muslim negara itu, kerana pihak berkuasa agama menentang pembakaran mayat.

“Terdapat peningkatan dalam permintaan kepada perkhidmatan ini, terutamanya dari warga asing yang tinggal di Turki,” kata Murat Arslanoğlu, pemilik Perkhidmatan Pengurusan Jenazah Fempa, kepada akhbar Hürriyet. “Hampir 5 peratus pelanggan kami menghendaki supaya mayat mereka nanti dibakar dan saya rasa ianya berkaitan dengan kebebasan.”

Arslanoğlu berkata yang beliau telah memohon kepada majlis perbandaran metropolitan Antalya dan Istanbul untuk membina sebuah PPM di Turki, tapi mendapat respon negatif.

“Pihak Datuk Bandar Metropolitan Istanbul memberitahu yang isu tersebut di luar bidang kuasa mereka,” kata Arslanoğlu kepada Daily News. “Tapi saya rasa mereka berkata begitu kerana tiada spesifikasi pembinaan.”

Pada masa sekarang, undang-undang sanitasi meletakkan tanggungjawab merekabentuk dan mengurus tanah perkuburan kepada pihak pentadbiran bandar.

“Jika undang-undang membenarkannya tetapi tidak menetapkan peraturan pembinaan, maka ianya harus diinterpretasikan sebagai satu hak undang-undang,” kata Ali Ersin Gür, bekas presiden Kesatuan Peguam Kontemporari, kepada Daily News. “Terdapat ramai yang mempunyai kepercayaan agama berbeza di Turki dan jika terdapat permintaan seperti itu, maka ianya memang sah di sisi undang-undang.”

Halangan agama

Pihak berkuasa agama Islam, bagaimanapun, menentang pembakatan mayat. “Menurut Islam, mayat hanya boleh dikapan dan dikebumikan,” kata Saim Yeprem, professor pengajian ketuhanan di Istanbul Marmara University. “Oleh yang demikian, seorang Muslim tidak boleh dibakar.”

Mehmet Nuri Yılmaz, bekas presiden Direktorat Hubungan Agama, bersetuju. “Ianya amalan yang tidak sah di sisi Islam,” Yılmaz memberitahu Daily News. “Tradisi Islam menetapkan pengkebumian kepada yang telah mati. Walau bagaimanapun, jika seseorang meminta supaya dibakar, permintaan itu harus dipenuhi.”

Artis Turki Meral Okay (gambar) adalah antara Muslim yang memilih untuk dibakar apabila meninggal nanti. “Saya bukanlah seorang yang hampir dengan Buddhisme atau jauh dari Islam. Saya seorang yang taat beragama,” kata Okay dalam satu temubual. “Tapi saya rasa kami harus diberi pilihan bagi menentukan bagaimana jenazah kami diuruskan selepas meninggal nanti.”

Sesetengah orang percaya yang masyarakat Turki belum bersedia untuk menerima kaedah pembakaran mayat. “Ianya sesuatu yang tidak biasa dilakukan, terutamanya di bandar-bandar kecil,” kata Ali Tekinsoy, yang menawarkan perkhidmatan pengkebumian di Konya, kepada Daily News. “Memandangkan kurangnya kepelbagaian etnik, perkhidmatan pengkebumian di sini masih beroperasi secara tradisional. Oleh itu, ramai yang akan menentang ide seperti itu, kerana bercanggah dengan agama.”

Harga tanah perkuburan

Perbahasan tentang pembakaran mayat ini hadir di tengah-tengah kenaikan harga, dan kekurangan ruang, dalam kawasan perkuburan. Menurut satu laporan oleh akhbar Milliyet, harga petak kubur di Istanbul dalam lingkungan antara 1,250 dan 12,000 Lira Turki, manakala perbelanjaan perkhidmatan pengkebumian pula mencecah sehingga 4,000 lira. Di Ankara, ruang yang masih tinggal hanya cukup untuk pengkebumian bagi tempoh tiga tahun yang akan datang saja.

“Kami semakin kekurangan ruang untuk kawasan perkuburan baru. PPM akan membantu mengatasi masalah ini. Setiap tahun, tujuh puluh peratus mayat dibakar di England,” kata Arslanoğlu, pemilik Perkhidmatan Pengurusan Jenazah Fempa. “Jalan penyelesaian lain adalah dengan menswastakan tanah perkuburan bagi mendapatkan ruang-ruang baru. Kaedah ini digunakan di banyak negara Eropah.”

Kes Gencer

Sekalipun terdapat desakan sejak akhir-akhir ini, pembakaran mayat bukanlah sesuatu yang pertama kali dibincangkan di Turki. Apabila penyanyi opera Leyla Gencer (gambar) meninggal dunia dua tahun lalu, beliau membuat wasiat supaya dibakar di Itali. Abunya kemudian dibawa ke Turki dan ditaburkan di Terusan Bosphorus, Istanbul. 


Pada Januari 2010, peraturan baru tentang abu mayat telah dibuat, dimana hanya abu milik warga Turki atau mereka yang mempunyai saudara terdekat warga Turki sahaja dibenarkan dihantar pulang ke Turki.

“Ia adalah hak untuk setiap individu,” kata Arslanoğlu. “Terutamanya jika kita berhasrat menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU), kita perlu menyediakan kebebasan seperti itu.”

PPM tahun 1930an

Buat masa ini, tiada PPM di Turki, tetapi dokumen menunjukkan terdapat kemudahan seperti itu dalam tahun 1930an di kawasan perkuburan Zincirlikuyu, Istanbul.
Menurut Adem Avcı, Pengarah Am Tapak Perkuburan, PPM tersebut dibuka selama lima tahun, tetapi ditutup kemudiannya apabila tidak digunakan lagi.

Percubaan lain untuk mewujudkan PPM di Ankara pada 1975 pula tidak berjaya.