Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Sabtu, Julai 16, 2011

Pemuda Pas:Dimana UMNO dan Perkasa



Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri Kedah yang telah mengharamkan operasi pusat-pusat hiburan seperti - karaoke, pub, disko, dan persembahan terbuka di bulan Ramadhan.  Bagi DPPM, tindakan ini bertepatan dengan ajaran Islam yang menegah sebarang perbuatan mungkar atau mengundang kemungkaran dilakukan terutama di bulan Ramadhan.

Dalam kenyataan Menteri Besar Kedah (gambar kanan), pusat rekreasi seperti snooker, billiard, cuber cafe, dan bowling dibenarkan termasuk persembahan budaya dan agama masyarakat bukan Islam.  Dalam hal ini, DPPM mempersoalkan mengapa MCA harus melenting dan menentang larangan ini.  Larangan ini sebenarnya bukanlah menyanggah hak asasi manusia khususnya masyarakat bukan Islam, tetapi adalah sebagai langkah mendidik masyarakat untuk mengelakkan diri mereka dari tercebur ke gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.  Pemimpin MCA harus melihat kepada realiti yang berlaku dalam masyarakat.  Apakah nilai positif yang ingin diambil dengan berleluasanya pusat-pusat hiburan, pub, disko dan kelab-kelab malam selain untuk menambahkan gejala sosial seperti perzinaan, pelacuran, dadah, gangster, pergaulan bebas sehingga membawa kepada kes pembuangan anak.  Gejala sosial tidak mengira warna kulit, bangsa atau keturunan.  Adakah MCA bangga dengan meningkatnya gejala sosial dan jenayah hasil dari pusat-pusat hiburan pada hari ini.

Selain itu, nilai hak asasi manusia ada batasnya.  Segala perkara yang baik dan menjurus kepada kebaikan bolehlah diteruskan.  Tetapi, perkara yang boleh memudaratkan atau membawa keburukan tidak boleh dibiarkan.  Hiburan dibenarkan tetapi ada batasnya.  DPPM menganggap semua agama dan bangsa tidak boleh menerima hiburan yang boleh membaa implikasi buruk kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. 

Sebagai ingatan, larangan ini hanya berkuatkuasa di bulan Ramadhan, iaitu bulan suci umat Islam.  Bulan Ramadhan dikenali sebagai bulan amal ibadat.  Seharusnya MCA menghormati bulan suci umat Islam ini.

Di dalam isu ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak PERKASA dan UMNO sedangkan mereka sebelum ini kononnya lantang membela agama dan bertindak menyelar PAS yang dikatakan bersekongkol dengan BERSIH 2.0 yang dipengerusikan oleh Ambiga yang dikatakan membela orang murtad sedangkan mereka lupa Ambiga bertindak atas undang-undang yang diluluskan oleh UMNO/BN sendiri.

Ini adalah akibat apabila UMNO yang merupakan parti tunjang di dalam BN tidak menjelaskan Islam yang sebenar sehinggakan selepas 54 tahun merdeka, MCA masih "terkapai-kapai" dalam hendak memahami Islam.  Agama hanya digunakan apabila ada kepentingan politik semata-mata.  Islam hanya dibibir mereka bagi mengaburi mata rakyat kononnya merekalah pejuang agama.  Ini berbeza dengan DAP yang amat-amat menghormati Islam sebagai agama rasmi negara.

Akhirnya, DPPM menggesa UMNO agar menasihati MCA untuk menghormati amalan agama umat Islam.  Jangan hanya kerana memenuhi kehendak politik sempit UMNO tidak berani menegur rakan komponennya.  UMNO perlu jelaskan apakah nilai Islam sebenar serta larangan dalam Islam, jika benar UMNO memperjuangkan agama Islam di negara ini.

*Kenyataan media oleh Mohd Firdaus Jaafar (gambar kanan) selaku Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan