Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Jumaat, Disember 17, 2010

Warga buta dapat membaca Al-Quran

Perkataan pertama dalam al-Quran ialah Iqra. Rasulullah SAW ialah seorang ummi, bagaimana Baginda boleh membaca dan mempelajari al-Quran. 

Malaikat Jibrail a.s membaca al-Quran didengari dan dihayati Rasulullah. Kemudian Rasulullah mengulangi sehingga betul bacaannya (Surah al-Qiyamah16-19). Pun begitu, setiap Ramadan selepas menerima wahyu daripada Allah SWT, Rasulullah menguji bacaannya dengan Jibrail. Pada tahun akhir sebelum kewafatannya, baginda sempat menguji bacaannya dua kali. 

Kaedah bacaan secara hafalan ini kemudian diajar kepada sahabat, tabi’in dan sebagainya. Kaedah yang sama juga diamalkan oleh mereka yang cacat penglihatan (talaqqi bi al-mushafahah) dan ternyata teknik itu berkesan. Orang buta mempelajari al-Quran dengan cara mendengar dan menghafal. 

Walaupun dunia pemandangan mereka gelap, tetapi Allah SWT memberi kecerahan hati kepada mereka. Bahkan, ramai orang buta mempunyai keupayaan menghafal dan membaca al-Quran lebih baik. 

Antara sahabat Rasulullah yang buta ialah Abdullah ibn Umm al-Maktum r.a, beliau seorang hafiz hebat dan Abu al-Qasim al-Shatibi yang digelar tokoh qari dan hafiz terkenal dalam sejarah Islam. 

Penciptaan sistem menggunakan kod titik timbul yang boleh dibaca secara sentuhan atau Braille telah mengubah keadaan ini, khususnya bagi orang buta. Sistem Braille boleh digunakan dalam pelbagai bahasa termasuk Arab. Apabila al-Quran dicetak menggunakan sistem Braille, membolehkan orang buta membaca kitab suci itu secara sentuhan. 

Ramai mengetahui Braille dicipta di Perancis oleh Louis Braille pada 1821. Tetapi sistem sama dicipta 600 tahun terdahulu oleh seorang intelek Muslim dari Syria, Zain Din al-Amidi, iaitu profesor di Universiti Moustansiryeh di negara yang kini dikenali sebagai Iraq. 

Pada 1982, Arab Saudi menjadi negara Timur Tengah pertama dan ketiga di dunia menggunakan komputer dicipta khas menghasilkan al-Quran Braille. Fatwa Abdul Aziz bin Baz pada 1985 membenarkan percetakan al-Quran menggunakan Braille dan tahun sama, naskhah pertama di Arab Saudi dicetak. 

Di Malaysia dianggarkan kira-kira 65,000 orang buta walaupun hanya sepertiga sahaja berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Walaupun harga al-Quran Braille di Malaysia lebih murah dari di Indonesia, namun ia masih sukar diperoleh. Ini kerana satu-satunya pencetak al-Quran braille tempatan ialah Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang menghadapi kekangan dana dan kakitangan. 

Ditubuhkan 30 tahun lalu, Pertis menjalankan kajian 15 tahun sebelum memperoleh pengiktirafan dan kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencetak al-Quran Braille. 

Pertis kini menghasilkan dua naskhah setiap hari. Oleh kerana membabitkan tebukan timbul, maka kertas perlu lebih tebal. Bagi senaskhah al-Quran Braille, 1,666 helai kertas diperlukan. Dilengkapi 30 jilid mewakili setiap juzuk mengambil masa seminggu untuk disiapkan. 

Modal masih menjadi faktor utama kepada Pertis. Memandangkan permintaan besar, Jabatan Perdana Menteri menzahirkan sokongan kepada Pertis melalui Majlis Kasih Sejuta Harapan yang dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pada 17 Disember lalu. 

Pembiayaan diberikan kepada Pertis untuk mencetak lebih banyak al-Quran Braille untuk diagihkan kepada lebih ramai orang buta di negara ini. Melalui program ini, kita yakin lebih ramai Muslimin cacat penglihatan dapat merasa nikmat membaca sendiri kitab suci al-Quran, waima melalui sentuhan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan