Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Ahad, November 11, 2012

Sultan Klate mengesa mengekalkan sumber asli di Kelantan



Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Petra
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Petra menghadiri istiadat perbarisan kehormat sempena sambutan hari keputeraan baginda, semalam. - Foto Sinar Harian oleh Khiru Shaleh Abdull
KOTA BHARU- Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengingatkan Kerajaan Negeri supaya menjaga sumber asli termasuk tanah, sungai, dan kawasan tadahan hujan agar terus terpelihara.
Baginda bertitah, ia penting bagi memastikan Kelantan terus subur dan dapat menghasilkan bahan mentah yang banyak dan berkualiti sepanjang masa.
“Dalam merealisasikan dasar pertanian negeri, sektor pertanian perlulah dilihat bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan dan menjana ekonomi, tetapi adalah sebahagian ibadah untuk mendapat keredhaan ALLAH S.W.T,” titahnya sempena Sambutan Hari Keputeraan Ke-43 di Istana Balai Besar, di sini, semalam.
Selain itu, Baginda turut menyeru semua pihak agar meningkatkan usaha dalam rangka menaik taraf kemudahan asas terutama dari Kota Bharu ke Tok Bali, Pasir Puteh.
Titahnya, kemudahan itu penting bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat berkali ganda setelah kawasan perindustrian dan bandar baru Tok Bali yang akan dibangunkan di tanah seluas 2,600 ekar berjaya dilaksanakan.
“Beta difahamkan sehingga kini ia sudah menerima nilai pelaburan mencecah RM600 juta. Jadi semua pihak yang terlibat perlu meningkatkan usaha menaik taraf kemudahan yang ada demi kepentingan masa depan,” titahnya.
Sambil mengalu-alukan kedatangan pelabur ke negeri ini terutama Tok Bali sebagai destinasi pelaburan dalam bidang pembuatan serta perkhidmatan berkaitan minyak dan gas, Baginda turut melahirkan kegembiraan dengan beroperasinya pengkalan bekalan (Supply Base) di kawasan itu.
“Beta percaya pembangunan kawasan industri dan Bandar Baru Tok Bali akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pengkalan bekalan itu,” titah baginda.
Baginda dalam titahnya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang tidak meminggirkan Kelantan dari arus pembangunan negara.
“Beta merasa sukacita dengan perkembangan projek ‘Central Spine Road’ yang sedang giat dilaksanakan di sempadan Negeri Pahang - Kelantan dan akan di laksanakan di Jajahan Gua Musang termasuk pembinaan persimpangan bertingkat di kawasan Bandar Baru Gua Musang,” titahnya.
Baginda berharap projek tersebut menjadi kenyataan, selain menggesa supaya ia dapat dipanjangkan hingga ke Kota Bharu.
Titahnya, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di negeri ini, satu rangkaian jalan raya bertaraf lebuh raya perlu dibina sebagaimana negeri- negeri di Pantai Barat.
Terdahulu, Baginda berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia sempena sambutan ulang tahun keputeraan Baginda semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan