Sejak dahulu lagi, saya agak tertarik dengan cara penulisan Guru Nik Aziz Nik Mat. Susun atur ayat dan terma yang digunakan oleh beliau sangat dekat di hati. Sangat lokal.
Buku Kelantan : Universiti Politik Terbuka pada saya sangat jujur. Jujur dari perspektif seorang rakyat yang bergelar wakil kepada rakyat. Dan jujur dari perspektif seorang guru yang masih berguru. Nik Aziz Nik Mat.
Membaca perenggan – perenggan Kelantan : Universiti Politik Terbuka seolah membawa saya ke satu suasana kuliah di balasah, pondok dan musolla yang banyak terdapat di Kelantan. Sungguh. Semacam suasana mendengar kuliah subuh menanti hari cerah dan embun berhenti. Asyik.
Buku yang menjadi platform isihati seorang marhaen ini, antara lain bercerita soal sosiobudaya masyarakat Kelantan yang dijamu dan dididik dengan ceramah – ceramah agama yang merata subur di segenap daerah dan jajajah yang terdapat di Kelantan.Ya, Kelantan adalah satu – satunya negeri yang saya kira banyak dianjurkan majlis ilmu berbentuk kuliah dan ceramah ketuhanan.
Cumanya, orang luar (selain daripada rakyat Kelantan) mungkin melihat kuliah dan ceramah yang diadakan itu sebagai ceramah politik untuk menyebarkan ideologi politik kerana majoriti yang menjadi penyampai adalah wakil rakyat PAS.
Pada saya, tajuk buku ini sangat kena. Dan berjaya disampaikan oleh penulis dengan isi dan inti yang dikutip daripada realiti sosiobudaya dan masyarakat Kelantan. Kenapa Universiti Politik Terbuka? Kerana rakyat Kelantan sememangnya membesar dengan ceramah yang diadakan saban malam, bukan sahaja di pondok dan surau, malah di tengah padang rata yang bersifat ‘wayang pacak’.
Siang mereka dipenuhi dengan kerja yang bermacam, petang mereka diselangi dengan borak politik di kedai kopi, dan malam mereka dipersembahkan dengan ceramah politik (saya masih cenderung untuk menyebutnya sebagai ceramah agama).
Walau apapun, buku Kelantan : Universiti Politik Terbuka saya rasa sangat low-profile dari segi gaya penceritaan, namun punya mesej yang berat.
Anda boleh baca, sekiranya suka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan