KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG
27 OGOS 2011 KESAL FUNGSI MASJID & RUANG KEBAJIKAN DISEMPITKAN DALAM BULAN RAMADHAN Bulan Ramadhan 1432 Hijrah yang sedang kita jalani selaku Ummat Islam di Malaysia perlu dilihat sebagai Madrasah Ramadhan atau Bulan Tarbiyyah bagi menyucikan jiwa dan meningkatkan keimanan serta ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat Iman dan Islam yang kurniakan.
Seharusnya bulan Ramadhan dijadikan bulan untuk mengeratkan silaturrahim dan menjadi medan ‘Fastabikul Khairat’ ataupun sebagai bulan untuk kita berlumba-lumba melakukan kebajikan. Melakukan kebajikan merupakan salah satu daripada saranan Allah SWT dalam Al-Quran. Sudah pasti fungsi institusi masjid dan surau adalah untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim dan ruangan untuk melakukan kebajikan seperti memberi sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim dan golongan yang memerlukan dalam bulan Ramadhan.
Namun yang saya kesalkan ialah terdapat masjid-masjid dan surau-surau yang merupakan Rumah Allah SWT yang telah disempitkan fungsinya dengan tidak memberikan ruang kepada Ahli Parlimen mahupun pemimpin Pakatan Rakyat untuk bersolat dan memberikan sumbangan kebajikan di Rumah Allah SWT tersebut. Ini merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak-pihak terlibat yang telah menyempitkan ruang melakukan kebajikan di masjid dan surau sempena bulan Ramadhan.
Apakah Rumah Allah SWT seperti masjid-masjid dan surau-surau sudah menjadi rumah politik parti tertentu sahaja? Apakah masjid-masjid dan surau-surau hanya menjadi masjid dan surau UMNO/BN sahaja sama ada di Telok Kemang ataupun N. Sembilan? Ini merupakan politik sempit kepartian yang jelas menunjukkan kedangkalan mereka tentang penghayatan Ramadhan sebagai bulan ibadah.
Umat Islam umumnya berasa kesal dengan situasi yang berlaku seumpama ini yang langsung tidak mencerminkan semangat ukhwah Ramadhan dan semangat ‘Fastabikul Khairat’ seperti mana yang dianjurkan oleh Al-Quran. Sewajarnya institusi masjid dan surau dibuka luas kepada mana-mana pihak untuk melakukan ibadah dan menyumbangkan bantuan kebajikan kepada yang memerlukan.
Pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan perlu mengambil langkah-langkah segera bagi menangani fenomena ‘menyempitkan fungsi masjid & surau’.
Selain itu, saya juga amat kesal dengan tindakan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dalam menangani isu kain rentang ucapan Salam Ramadhan dan Aidilfitri daripada pemimpin Pakatan Rakyat. Saya membantah tindakan MPPD yang telah mencabut dan merampas kain rentang – kain rentang ucapan Salam Ramadhan dan Aidilfitri daripada pemimpin Pakatan Rakyat kononnya tidak mempunyai pelekat kebenaran untuk menggantung kain rentang tersebut. Namun apa yang dikesalkan ialah terdapat juga kain rentang bagi tujuan yang sama daripada pihak lain tidak pula dicabut dan dirampas oleh pihak MPPD walaupun tidak mempunyai pelekat kebenaran untuk digantung atau ditampal.
Situasi ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa majlis perbandaran telah bersikap tidak profesional serta menghalang usaha-usaha oleh Ahli Parlimen dan pemimpin Pakatan Rakyat dalam memaknakan Ramadhan sebagai bulan untuk mengukuhkan silaturrahim. Sikap berat sebelah majlis perbandaran seumpama ini tidak wajar berlaku jika MPPD mengambil sikap bertanggungjawab dan menghormati bulan Ramadhan sebagai bulan ukhwah. Sikap negatif yang wujud dalam pentadbiran majlis perbandaran perlu diubah bagi menghormati kemuliaan bulan Ramadhan.
YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang
"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan