Pelawat

free counters

Pengujung Istimewa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Join us here

Isnin, Disember 20, 2010

Perkahwinan palsu



beritaislamglobal.blogspot.com (Original English version here)

Setiap kali sebelum tidur, Valbona, 35, dari Peja, barat Kosovo, akan menatap gambar perkahwinannya yang diambil 13 tahun yang lalu. Di sebelahnya, kelihatan suaminya sedang tersenyum. 

Hari ini, detik-detik itu hanya tinggal kenangan. Dua tahun sudah, suaminya mengahwini seorang wanita Jerman. Valbona, ibu kepada empat anak berumur 4 hingga 11 tahun itu, bukan sahaja tahu tentang perancangan suaminya, malah merestuinya. 

Ini kerana, pada pandangan keluarga dan masyarakat, Valbona tidak diceraikan dalam erti kata sebenar. Ramai lelaki etnik Albania di Kosovo menceraikan isteri pertama mereka berdasarkan persetujuan bersama, kemudian berhijrah ke Eropah barat di mana mereka bertemu pasangan baru yang membolehkan mereka mendapatkan dokumen penduduk tetap.



Mereka meninggalkan anak-anak di Kosovo supaya kelihatan seperti lelaki bujang dan dapat berkahwin dengan segera. Apabila berjaya memperolehi taraf penduduk tetap di Jerman, atau negara-negara EU lain, mereka akan menceraikan isteri kedua, kembali kepada isteri pertama dan kemudian bawa mereka berhijrah bersama ke Barat. 

Jerman adalah destinasi popular pendatang Kosovo kerana terdapat ramai penduduk keturunan Albania tinggal di sana. 

Wanita-wanita barat yang dikahwini lelaki Kosovo ini sering beranggapan bahawa mereka telah bertemu dengan suami yang ideal dan bertanggungjawab. Namun, apabila taraf PR diperolehi – selepas lima tahun perkahwinan dengan warga Jerman – mereka mula menuntut cerai. 

Valbona yakin yang suaminya akan melakukan perkara yang sama. "Perceraian memang menyusahkan, tetapi apabila kami berdua tahu tujuannya, ianya menjadi lebih mudah," jelas Valbona.

Valbona, yang tidak dikenali ‘madunya’, menghabiskan musim panas lalu bersama bekas suaminya yang kembali ke Kosovo untuk bercuti. 

Faedah perceraian

Pada masa lalu, keluarga Albania tidak mudah menerima perceraian.Tetapi sekarang larangan perceraian semakin dilupakan apabila ramai yang mendapati kebaikan perceraian dan perkahwinan dengan warga asing bagi mendapatkan dokumen-dokumen untuk tinggal di barat Eropah.

Setiap bulan, bekas suami Valbona akan menghantar wang untuk kegunaannya dan empat anak mereka. Wang tersebut amat tinggi nilainya jika digunakan dalam negara miskin seperti Kosovo, di mana 40 peratus daripada penduduk masih menganggur dan purata gaji bulanan bagi yang bekerja pula sekitar hanya 200 euros (RM838).

Setiap tahun, warga Kosovo yang telah berhijrah ke negara-negara di barat Eropah mengirim wang berjumlah 530 milion euro kepada keluarga mereka di Kosovo. Jumlah ini menyumbang kepada 13 peratus KDN negara tersebut, menurut Bank Pusat Kosovo. 

Disebabkan latar belakang ekonomi yang tidak memuaskan, ramai yang terdesak untuk mendapatkan hak untuk tinggal dan bekerja di barat Eropah. Bagaimanapun, untuk mendapatkan visa bukanlah sesuatu yang mudah.

Tidak seperti sesetengah negara jiran Balkan mereka, warga Kosovo tidak mendapat kemudahan perjalanan tanpa-visa dalam Kesatuan Eropah. Ianya hampir mustahil bagi warga Kosovo untuk mendapat kerakyatan Jerman melainkan jika mereka dilahirkan di sana, atau masuk ke negara tersebut ketika masih bayi dan kemudian bersekolah di sana. 



Akan tetapi, seperti pendatang-pendatang dari negara bukan-EU lain, warga Kosovo boleh memohon status PR di Jerman, atau Niederlassungserlaubnis, jika sekiranya mereka telah menetap secara sah di Jerman melebihi lima tahun – tempoh yang dibenarkan samada untuk melanjutkan pengajian tinggi atau berkahwin dengan warga Jerman. 

Kadar perceraian meningkat

Di ibu negara Kosovo, Pristina, bandar berpopulasi sekitar 600,000, pihak berkuasa merekodkan 127 perceraian dalam tahun 2007. Jumlah tersebut dianggap kecil jika mengikut piawaian Eropah barat tetapi dianggap tinggi bagi warga Kosovo. Pegawai perbandaran di Pristina merekodkan hanya sebanyak 36 perceraian pada tahun 2003.

Serentak dengan kenaikan jumlah perceraian, perkahwinan dengan warga asing (kebanyakannya warga Eropah barat) juga meningkat. Pada 2009, pegawai di Pristina merekodkan sejumlah 98 perkahwinan seperti itu melibatkan lelaki Kosovo dan wanita dari Barat. 

Sonja, seorang wanita Jerman berasal dari Stuttgart, adalah sasaran lelaki yang ingin mendapatkan taraf PR di Jerman. Sekarang pada usia awal 30an, beliau pernah melalui pengalaman berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Albania dari kawasan Mitrovica utara Kosovo sejak 13 yang lalu.



Beliau yang ketika itu masih menganggur dan keseorangan, terus tertarik apabila dihampiri seorang lelaki tampan, berambut hitam, tampak beberapa tahun lebih tua darinya, dalam sebuah café di Stuttgart sambil mengucapkan hello.

Dia memang tidak tahu bahawa lelaki yang kelihatan bujang itu, sebenarnya, telah berkahwin pada usia 18 di Kosovo dan telah bercerai sebelum datang ke Stuttgart.
Tidak lama kemudian, mereka berkahwin, dan Sonja memaksa dirinya belajar bahasa Albania dan menjalani kehidupan sederhana seperti kebanyakan surirumah Kosovo. "Saya menjadi lebih Albania dari seorang wanita Albania," katanya.

Tidak seperti biasa, suami Sonja tidak meminta cerai selepas lima tahun. Ini kerana mereka mempunyai seoang anak lelaki yang masih kecil yang mungkin menyulitkan urusan perceraian. Suami Sonja mahu memastikan yang beliau diberi hak penjagaan ke atas anaknya sebelum berpisah. 

Mereka akhirnya bercerai dua tahun lalu, selepas Sonja bersetuju untuk menyerahkan anaknya, 8, kepada bekas suaminya. Lelaki itu kemudiannya berkahwin semula dengan isteri pertama, dan sekarang tinggal di luar Stuttgart bersama isteri dan anak hasil pekahwinan dengan Sonja.

Sonja tidak tahu cerita di sebalik perkahwinannya, tetapi beberapa orang jiran beliau berbangsa Albania Kosovo memang tahu latar belakang suaminya itu. Apa yang dia tahu bekas suaminya telah berkahwin dengan “seorang wanita Albania yang tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan".

Tradisi diketepikan

Beberapa tahun lalu, hanya faktor tidak subur yang membolehkan pasangan bercerai, kata Hamdi Veliu, 71, dari Polac, sebuah kampung di tengah Kosovo. 
"Jika isteri tidak boleh melahirkan anak, dia mempunyai dua pilihan; untuk bercerai, atau kekal bersama," jelasnya.

"Hari ini, situasi menjadi teruk," kata Veliu, yang tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah keluarga isteri pertama yang mendesak si lelaki supaya membawa isterinya bersama ke Jerman sebelum dapat menceraikan isteri kedua warga Jerman.

Kebanyakan warga Kosovo berketurunan Albania beragama Islam, tetapi terdapat juga minoriti kecil yang beragama katolik. Kedua-duanya melihat perkahwinan sebagai satu ikatan yang suci yang perlu dikekalkan.

"Perkahwinan hendaklah kekal tanpa had-waktu; ianya sesuatu yang tiada kesudahan," kata Bedri Syla, seorang imam dari Skenderaj, tengah Kosovo, yang beranggapan perceraian sementara seperti ini seperti mempermain dan memperalatkan agama.
Pendapat beliau disokong sepenuhnya oleh Don Shan Zefi, seorang paderi di Pristina. "Samada secara moral, psikologi atau sah di segi undang-undang, perkahwinan seperti ini memang tidak dibenarkan," katanya. 

'Pengorbanan yang berbaloi'

Bagaimanapun, Agron, 40, berkata pengorbanan beliau dan isteri memang berbaloi kerana kini memiliki kehidupan yang lebih sempuna di Eropah. 

Beliau yang bekerja sebagai pengukir batu nisan, kini tinggal bersama isteri pertamanya di sebuah kampung 30 km dari Stuttgart,setelah melalui proses perceraian yang sulit dan panjang dengan isteri kedua warga Jerman bagi membolehkan ia berkahwin semula dengan isteri pertama warga Kosovo itu.

"Pengorbanan ini memang berbaloi, selagi awak tidak melupakan isteri pertama dan anak-anak di Kosovo," ujar Agron. "Bagi saya, tinggal di sini bagai di syurga."
Untuk menikmatai ‘syurga’ yang sama, Valbona dan empat anaknya perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.

Ditanya apa perasaanya tentang perkahwinan kedua suaminya, beliau berkata: "Saya tak kisah…keadaan ekonomi memaksa kami berbuat begini."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan